Saturday, June 21, 2008

Undi tidak percaya: BN beri SAPP surat tunjuk sebab?

22-06-2008 02:25:51 AM
Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB

YONG Teck Lee (kiri) mendengar sesuatu yang diperkatakan oleh Raymond Tan sambil diperhatikan oleh Dr. Chua Soon Bui pada sidang akhbar selepas mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi SAPP di Kota Kinabalu kelmarin. - fotoTHESTAR

(Mutakhir) PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) mempertimbangkan pendekatan lebih tegas kali ini - mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Parti Maju Sabah (SAPP), yang semalam meluluskan pendirian parti itu untuk membawa usul tidak percaya ke atas kepimpinan Perdana Menteri di Dewan Rakyat Isnin ini.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika dihubungi mStar Online berkata, beliau akan berbincang dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi BN berhubung tindakan itu.

"Saya akan meminta pandangan Pengerusi BN (Abdullah) supaya Majlis Tertinggi SAPP dikemukakan surat tunjuk sebab berhubung tindakan mereka dalam mesyuarat petang semalam (kelmarin) yang menyokong untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri tetapi tidak memutuskan kedudukan mereka dalam BN," katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan bila surat tunjuk sebab akan dikeluarkan jika dipersetujui Abdullah.

“Pada saya, cara mereka seperti mereka mahu BN menyingkirkan mereka supaya imej BN akan nampak tidak baik di mata rakyat.

“Saya memang tidak faham mengapa mereka bertindak demikian dan saya percaya ini adalah agenda Datuk Yong (Teck Lee) untuk mencapai matlamat peribadinya,” katanya.

Tengku Adnan berkata, tindakan SAPP itu umpama anak dalam sebuah keluarga yang tidak boleh terus hidup dengan bapanya.

“BN ini macam sebuah keluarga. Mereka (SAPP) macam seorang anak yang mahu berada dalam keluarga itu tetapi tidak boleh terus hidup dengan bapa mereka. Mana boleh begitu?” katanya.

Tengku Adnan berkata, beliau percaya usul yang ingin dibawa dua Ahli Parlimen SAPP itu tidak akan dibentangkan Isnin ini (esok)kerana sebarang usul yang mahu dikemukakan perlu melalui beberapa prosedur.

“Malah sehingga semalam pun usul itu masih belum diterima. Jika diterima, ia perlu pula mengikuti prosedur tertentu dan saya tidak rasa ia akan dibentangkan di Parlimen Isnin ini seperti yang didakwa SAPP,” katanya.

Mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi SAPP yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Yong Teck Lem secara muafakat memutuskan untuk tidak membuat ketetapan berhubung isu keluar daripada BN tetapi bersetuju supaya usul undi tidak percaya terhadap Abdullah dibawa.

Rabu lalu, Yong mengisytiharkan parti itu hilang kepercayaan terhadap Abdullah dan dua Ahli Parlimennya, Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr. Chua Soon Bui (Tawau), akan menyokong usul undi tidak percaya itu di pada sidang Dewan Rakyat.

Keesokan harinya, Dewan Tertinggi BN mengadakan mesyuarat tergempar menangguhkan keputusan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap SAPP sehingga Majlis Tertinggi Parti itu mengesahkan atau menafikan kesahihan Yong.


(Mutakhir) KOTA KINABALU: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee menyifatkan sebagai tidak masuk akal dakwaan Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bahawa beliau mengkritik Perdana Menteri kerana termakan tawaran daripada Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya tidak termimpi pun mahu jadi Timbalan Perdana Menteri. Mungkin kerana saya lantang menyuarakan isu mengenai Sabah maka beliau (Khairy) boleh cakap apa aja.

"Kalau bukan kerana kemenangan cemerlang BN Sabah dan Sarawak... BN sudah jatuh dalam pilihan raya yang lepas.

"Jadi apa salahnya kita minta perhatian sedikit. Khairy seorang muda. Dia kena banyak belajar (dalam politik)," katanya ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di Dewan Serbaguna Likas, dekat sini hari ini.

Semalam, Khairy berkata beliau difahamkan Yong akan dilantik jawatan nombor dua kerajaan sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri kelak.

Yong berkata beliau tidak tamak jawatan dalam kerajaan seperti yang diwarwarkan dalam media.

"Saya ditawarkan jawatan senator dan Wakil Khas berkaitan Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMPEAGA) tetapi saya tidak terima kerana saya melihatnya sebagai "sogokan politik" supaya tidak terus menyuarakan isuisu mengenai Sabah," katanya.

Ditanya sama ada SAPP akan mengambil tindakan terhadap Timbalan Presiden SAPP, Datuk Raymond Tan yang tidak sehaluan dengan anggota Majlis Tertinggi SAPP dalam memutuskan usul tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Yong berkata parti itu tidak bercadang berbuat demikian. BERNAMA

BERITA TERDAHULU:

Usul: Raymond tetap kekal walaupun BN singkir SAPP

(Dikemas kini) KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Raymond Tan Shu Kiah berkata beliau akan terus setia dan bersama SAPP meskipun parti itu berkemungkinan disingkirkan daripada Barisan Nasional (BN).

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, walaupun beliau dan Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee berbeza pandangan berhubung keputusan parti untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi namun kesetiaannya kepada SAPP tidak harus dipertikaikan.

"Dalam mesyuarat (Majlis Tertinggi SAPP semalam) itupun saya katakan bahawa saya tidak akan pergi ke mana-mana (tinggalkan parti). Tolonglah, saya tidak berniat untuk melarikan diri daripada parti walaupun Presiden kita (Yong) mahu meneruskan membawa usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri dan hakikat bahawa BN akan mengambil tindakan terhadap parti SAPP.

"Saya tidak akan pergi ke mana-mana. Saya boleh terima apa juga keputusan yang akan dibuat oleh pihak BN," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sejurus sebelum berlepas ke Sandakan.

Bagaimanapun, Tan yang Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah melahirkan kekecewaannya terhadap kenyataan Yong selepas mesyuarat semalam yang menyatakan keputusan parti untuk meneruskan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri itu dibuat secara sebulat suara.

"Kami tidak ada keputusan sebulat suara. Itu sudah cukup jelas," katanya sambil menjelaskan bahawa dalam mesyuarat itu beliau dan ramai anggota majlis SAPP yang lain memberi pandangan tidak menyokong keputusan parti.

Tan berkata, beliau juga tidak bersetuju dengan kenyataan Yong bahawa pandangan yang dikemukakan anggota majlis dalam mesyuarat berkenaan sebagai pandangan peribadi meskipun keputusan dibuat secara konsensus.

Beliau berkata, setiap anggota majlis tertinggi sepatutnya diberikan kebebasan bersuara dan menyatakan pendirian masingmasing.

"Saya mohon kepada Presiden (Yong) supaya menyampaikan perkara sebenar yang berlaku dalam mesyuarat," katanya.

Ditanya pandangan yang dikemukakannya dalam mesyuarat berkenaan, Tan berkata, memandangkan SAPP sudahpun menyatakan pendirian untuk tidak meninggalkan BN, adalah tidak wajar untuk meneruskan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.

Mengenai kenyataan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Seri Ahmad Said Hamdan untuk menyiasat presiden SAPP yang dikaitkan dengan rasuah berjumlah RM5 juta yang dikatakan berlaku ketika menjadi Ketua Menteri Sabah, Tan berharap kenyataan itu tidak bermotifkan politik.

Sambil menahan sebak, Tan merayu kepada Perdana Menteri supaya tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap Presiden SAPP berkaitan isu rasuah berkenaan kerana ia akan dianggap sebagai "ugutan" bagi menghalang anggota parti untuk menyuarakan pandangan secara bebas.

BERITA TERDAHULU:

SAPP khianat BN: Bakal disingkir, parti berpecah?

(Dikemas kini) KUALA LUMPUR: yang ditubuhkan 14 tahun lalu hasil perpecahan dalam Parti Bersatu Sabah (PBS) dilihat bakal berpecah dengan perkembangan terbaru pendirian yang diperlihatkan oleh Presidennya, Datuk Yong Teck Lee.

Ia masih belum jelas tetapi keputusan SAPP semalam bagi meneruskan rancangan untuk membawa undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Isnin ini dipercayai sudah pun membuka laluan ke arah itu.

Ini kerana, menurut Timbalan Presidennya Datuk Raymond Tan, keputusan tersebut tidak dibuat sebulat suara memandangkan beberapa pemimpin parti berkenaan membantah tindakan itu.

Tan, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, beliau dan Ketua Pemuda parti, Au Kam Wah, adalah antara pemimpin yang menyuarakan bantahan keras terhadap tindakan itu semasa mesyuarat Majlis Tertinggi SAPP di Kota Kinabalu semalam.

Au juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Elopura.

Menurut Tan, beliau akan berbincang dengan Au untuk menggerakkan tindakan susulan.

"Apa saja tindakan yang saya akan ambil adalah mengikut budi bicara saya," kata Tan yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat menyatakan dengan pasti jumlah pemimpin yang tidak menyokong usul itu kerana beliau mendakwa keputusan itu dibuat bukan dengan mengangkat tangan.

"Majlis tertinggi tidak bersetuju sepenuhnya. Ada pandangan yang membantah," kata beliau menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Yong memberitahu sidang akhbar selepas mesyuarat berkenaan bahawa keputusan berhubung usul itu dicapai 'sebulat suara'.

Tan berkata, untuk mengatakan beliau hadir dalam mesyuarat semalam dan mempersetujui semua keputusan dibuat adalah salah.

Tan, seorang daripada tiga Timbalan Presiden SAPP dipetik oleh Bernama sebagai berkata, beliau telah pun merangka satu perkara untuk dimasukkan ke dalam agenda mesyuarat supaya majlis tertinggi tidak meneruskan usul berkenaan dan semasa mesyuarat itu, beliau cuba memberikan sebab kenapa mereka tidak patut melakukannya.

"Anda tidak boleh mengatakan kami kekal dalam BN tetapi anda mahu menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri," katanya, bagaimanapun beliau mendakwa Yong hanya mahu setiap orang supaya bersetuju dengannya.

Sehubungan itu, Tan berkata beliau dan Au melangkah keluar dari bilik persidangan sebelum sidang akhbar bermula sebagai menunjukkan perselisihan pendapat dengan Yong.

Tan juga berkata, beliau lebih suka SAPP "meneruskan perjuangannya dalam lingkungan gabungan pemerintah".

"Tindakan berbuat begini (menyokong usul tidak percaya terhadap Abdullah) sama seperti menyokong Anwar (Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan saya tidak boleh mempersetujuinya," katanya.


BERITA TERDAHULU:

KUALA LUMPUR: Mesyuarat tergempar Parti Maju Sabah (SAPP) lebih lima jam hari ini, yang mengesahkan pendirian Presidennya, Datuk Yong Teck Lee tidak yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri dan mahu membawa usul undi tidak percaya di Parlimen Isnin ini, membuka laluan 'cerah' untuk disingkirkan?

Bagaimanapun Majlis Tertinggi SAPP tidak membuat apa-apa keputusan mengenai keanggotaan parti itu dalam Barisan Nasional (BN).

Pun begitu, sejauh mana SAPP akan membawa usul berkenaan di Dewan Rakyat menjadi tanda tanya memandangkan menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, sehingga petang ini tiada usul dikemukakan kepada Parlimen.

Walaupun tiada usul rasmi berkaitannya, Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula masih yakin usul sedemikian akan dibawa ketika Dewan Rakyat membahaskan usul berkaitan kenaikan harga pada Isnin ini jika mempunyai cukup sokongan wakil rakyat.

Dalam pada itu, dua parti komponen BN menggesa pakatan kerajaan persekutuan ini mengambil tindakan tegas dengan memenuhi kehendak Yong agar parti berkenaan disingkirkan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Liew Vui Keong berkata, BN kini tidak ada pilihan lain kecuali menyingkirkan SAPP setelah Majlis Tertinggi parti itu memutuskan untuk menyokong desakan Yong bagi mengusulkan undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Rakyat.

"Ini sejajar dengan keputusan yang diambil oleh mesyuarat Dewan Tertinggi BN semalam," kata beliau yang juga presiden Parti Liberal Demokratik (LDP).

Kata beliau, sesebuah parti komponen tidak harus kekal dalam BN jika ia tidak mempunyai keyakinan terhadap pemimpinnya.

MIC juga memandang serius keputusan SAPP hari ini.

"BN mesti memandang serius keputusan SAPP kerana semua anggota BN yang lain menyokong Perdana Menteri. Kita tidak boleh membiarkan mereka membuat tamparan terhadap kita dan pada masa yang sama masih kekal sebagai rakan kita.

"Pada prinsipnya, kita tidak boleh kekal dalam BN dan kemudian membuat usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik menerusi undian majoriti," kata Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib menyifatkan tindakan SAPP hari ini menunjukkan ia tidak menghormati semangat BN meskipun Majlis Tertinggi BN telah "memberikan peluang semalam."

Ketika ditanya sama ada SAPP perlu dipecat keanggotaannya, beliau berkata, "kita serahkan kepada BN yang akan bermesyuarat untuk memutuskannya."

"Setelah menimbang semua pendapat, Majlis Tertinggi membuat keputusan menyetujui usul itu dibawa," kata Yong kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar di Kota Kinabalu hari ini.

Jelas Yong, mesyuarat hari ini tidak membuat keputusan sama ada SAPP akan keluar daripada BN.

Mesyuarat itu diadakan sehari selepas BNmengadakan mesyuarat tergempar di sini semalam.

Majlis Tertinggi SAPP juga menggariskan lapan "perisytiharan penduduk Sabah" bagi membawa perubahan dalam negara ke arah mewujudkan satu kerajaan beramanah dan satu masyarakat yang adil, harmoni dan progresif.

Lapan perisytiharan itu ialah :

* Kerajaan berasaskan kepada tadbir urus yang baik, masyarakat madani dan politik bukan perkauman.
* Sabah harus mempunyai autonomi politik, yang kerajaannya dibentuk dan diuruskan oleh penduduk Sabah.
* Sabah dan negeri lain yang mengeluarkan minyak berhak mendapat 20 peratus royalti petroleum.
* Wilayah Persekutuan Labuan dikembalikan kepada Sabah dan diuruskan sebagai satu wilayah khas.
* Undang-undang pusat yang tidak adil kepada Sabah, dan jabatan persekutuan yang tidak membawa manfaat kepada negeri itu, dikaji semula.
* Sabah diberikan penyertaan adil dan saksama dalam pentadbiran persekutuan, perkhidmatan awam dan sektor swasta, dan jabatan persekutuan di Sabah, sebolehnya diketuai rakyat tempatan.
* Kerajaan pusat dan kerajaan negeri menyediakan sumber, kesungguhan dan kepimpinan dalam menyelesaikan masalah kehadiran pendatang tanpa izin dengan cara yang tegas tetapi berperikemanusiaan, dengan tumpuan kepada konsep serantau dan perkongsian bijak.
* Kerajaan pusat dan kerajaan negeri bekerjasama membetulkan ketidakseimbangan dalam struktur ekonomi dan sosial melibatkan Sabah dan negeri lain.


Kelmarin Yong menggemparkan negara apabila, buat kali pertama dalam sejarah BN, mengisytiharkan tidak yakin dengan Perdana Menteri yang merupakan Pengerusi BN dan dua Ahli Parlimen parti itu, Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr. Chua Soon Bui (Tawau) akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Abdullah.

SAPP yang ditubuhkan oleh bekas penyokong Parti Bersatu Sabah (PBS) menyertai BN pada 1994.

Sebelum permulaan mesyuarat pagi tadi, Yong dan salah seorang daripada tiga timbalannya, Datuk Raymond Tan mengadakan pertemuan empat mata hampir sejam sementara anggota majlis pula menanti di bilik mesyuarat.

Mesyuarat itu dipengerusikan Yong sendiri.

Seramai 33daripada 35 anggota Majlis Tertinggi SAPP menghadiri mesyuarat itu.

Semalam, Majlis Tertinggi BN yang mengadakan mesyuarat tergempar mengutuk kenyataan SAPP ekoran pendiriannya Yong bahawa pihaknya sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Abdullah.

Parti-parti komponen BN berpendirian pandangan Yong sebagai "sebagai tidak berprinsip, tidak beretika dan bertentangan dengan semangat pakatan BN" manakala Majlis Tertinggi BN sendiri tidak mengambil sebarang tindakan termasuk penyingkiran SAPP.

Sebaliknya BN mahu mendengar penjelasan rasmi dan melihat pendirian dua wakil rakyatnya di Dewan Rakyat minggu depan dan SAPP.

Tindakan ke atas SAPP hanya akan diputuskan selepas mendapat penjelasan daripada Majlis Tertinggi parti itu secara rasmi mengenai kenyataan Yong, kata kenyataan itu.

SAPP mempunyai tiga timbalan presiden. Selain Tan dua yang lain ialah Datuk Liew Teck Chan dan Datuk Eric Majimbun iaitu Ahli Parlimen Sepanggar, yang menurut Yong akan menyokong usul undi tidak percaya ke atas Abdullah di Dewan Rakyat minggu depan.

Tan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Karamunting dan Timbalan Ketua Menteri Sabah mendakwa beliau dan yang lain tidak dirunding terlebih dahulu berhubung isu berkenaan manakala Majlis Tertinggi SAPP tidak dimaklumkan sewajarnya.

"Ia salah sama sekali," kata Tan semalam.

No comments: