Wednesday, June 04, 2008

Retreat Umno di Glenmarie: Fokus pulih parti atau pemilihan?

04-06-2008 11:46:36 PM
Oleh SA'ODAH ELIAS

PADA akhir April lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi (MT) Umno berkata, satu lagi mesyuarat susulan akan diadakan dalam tempoh seminggu bagi membolehkan semua anggota majlis itu mengemukakan pandangan mereka secara terus terang mengenai kepimpinan beliau.

Mesyuarat itu diadakan kira-kira dua minggu selepas beliau mengadakan pertemuan dengan ahli Badan Perhubungan Umno Johor yang telah mengemukakan cadangan pelan peralihan kuasa berikutan pencapaian paling buruk Barisan Nasional yang parti tunjangnya adalah Umno pada pilihan raya umum ke-12 Mac pada Mac.

Cadangan peralihan kuasa yang dikemukakan Umno Johor itu seolah-oleh membuka pintu kepada ahli-ahli MT menyuarakan pandangan mereka tentang isu yang selama ini tidak pernah dibincangkan secara terbuka dan spesifik iaitu kedudukan Abdullah sebagai presiden parti dan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, mesyuarat seterusnya yang diumumkan Abdullah itu tidak menjadi kenyataan.

Mungkin memikirkan jika kesemua 52 ahli MT hendak diberi peluang bersuara, mesyuarat akan memakan masa yang amat panjang maka ibupejabat Umno mencadangkan diadakan satu perjumpaan tidak rasmi atau retreat selama dua hari mulai esok.

Rancangan mengadakan pertemuan tidak rasmi itu mula disuarakan beberapa ahli MT yang dikatakan rapat dengan Abdullah awal bulan lalu. Tetapi keputusan hanya dibuat kira-kira dua minggu lalu.

Ini diakui Ketua Puteri Umno Datuk Noraini Ahmad yang berkata, memang mustahil untuk semua ahli MT diberi peluang untuk menyatakan pendirian dan pandangan mereka mengenai pelbagai masalah yang dihadapi Umno dalam satu sesi mesyuarat MT.

"Pak Lah biasanya beri peluang seramai mungkin ahli untuk bercakap. Tetapi dalam mesyuarat-mesyuarat terdahulu, belum pernah terjadi semua ahli dapat bercakap.

"Tetapi ini tidak bermakna kita sebelum ini tidak berani. Malah dalam semua mesyuarat MT pun semua kita tidak pernah rasa takut atau tergugat untuk bercakap apa yang kita fikir, cuma, masa yang menghadkan kita," katanya.

Jadi, katanya, melalui pendekatan mengadakan pertemuan tidak rasmi, masa untuk ahli bercakap tidak terhad di samping suasana untuk berinteraksi yang lebih selesa kerana tidak terikat dengan peraturan mesyuarat.

Seolah-olah mahu mengambil iktibar daripada pendekatan serupa yang kerap diamalkan oleh syarikat-syarikat antarabangsa dan juga mesyuarat pertubuhan peringkat dunia yang pasti mengadakan retreat di kawasan peranginan, Glenmarie Golf and Country Resort di Shah Alam yang dikelilingi pepohon hijau dipilih sebagai lokasi pertemuan tidak rasmi itu.

Lokasi pertemuan tidak penting, melainkan untuk pemberita yang akan cuba untuk mencuri dengar perbincangan "dari hati ke hati" ahli-ahli badan pembuat dasar tertinggi Umno itu, tetapi yang lebih penting ialah matlamatnya.

Mungkinkah pendekatan ini akan dapat mencari penyelesaian kepada pelbagai permasaalahan -- dari isu kepimpinan sehingga kepada isu sama ada Umno masih relevan -- yang kini dihadapi parti Melayu paling dominan itu?

Faktor paling penting menentukan kejayaan atau kegagalan pendekatan itu nanti banyak bergantung kepada kesungguhan pemimpin parti untuk memberi fokus kepada perbincangan yang akan diadakan.

Jika semua ahli MT diberikan kebebasan untuk melepaskan apa yang terbuku di hati, sudah pasti bercelarulah ia nanti kerana ketidakpuasan hati setiap individu pasti berbeza. Isu yang tidak selesai bukan satu atau dua, tetapi banyak, termasuk isu Tun Dr Mahathir Mohamad yang keluar Umno 19 Mei lalu.

Isu Dr Mahathir tidak mati dengan hanya MT menerima keputusannya keluar parti kerana ramai daripada 52 ahli-ahli MT masih mempunyai pertalian emosi dan terhutang budi kepada bekas presiden yang menerajui Umno selama 22 tahun itu.

Antara yang sudah jelas tentang apa yang hendak dibangkitkan dalam pertemuan itu nanti ialah Datuk Seri Rais Yatim yang baru dua hari lalu mengumumkan keinginannya untuk bertanding merebut jawatan naib presiden.

Katanya, beliau sudah pasti akan membangkitkan isu sistem kuota dalam pemilihan Disember depan dan budaya tindik hidung dalam Umno.

Beliau yang semalam dicadang dirujukkan kepada jawatankuasa disiplin parti bersama-sama Naib Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin oleh seorang pemimpin bahagian kerana keberaniannya melahirkan kritikan terhadap parti dan keputusannya kepada media, bagaimanapun seolah-olah tidak gentar.

Dalam susun katanya yang santun, Rais mengeluarkan kenyataan pedas -- jika pemimpin ikhlas mahu mencari penyelesaian, jangan ditegah sesiapa daripada bersuara, walaupun ia menyentuh individu tertentu.

Perjuangan tulen Umno, tegas Rais yang terkenal dengan kenyataan "membakar jambatan" ketika meninggalkan Umno untuk menyertai Parti Semangat 46 pada tahun 1988 ialah tentang orang Melayu, agama Islam dan negara, bukan tentang mana-mana pemimpin.

Justeru, beliau berharap perjumpaan secara tidak rasmi selama dua hari itu akan membuka ruang seluas-luasnya kepada Umno untuk mengenalpasti kekuatan dan kelemahannya serta mengambil langkah perlu jika mahu kekal sebagai payung orang Melayu.

Noraini pula berkata, sebagai Puteri, beliau sudah pasti mahu parti mendengar pandangan dan masalah orang muda dalam parti.

Katanya, isu orang muda ketika ini kurang diberi perhatian kerana masalah lain yang lebih mendesak, tetapi ia perlu ditangani jika Umno mahu terus menarik penyertaan golongan muda menyumbang tenaga serta menjadi pelapis kepada pemimpin sekarang.

Beliau juga ingin melihat pertemuan itu nanti menjadi medan perbincangan yang sihat dan jika pun perlu mengkritik, biarlah ia kritikan membina dan bukan peluang untuk menghentam individu tertentu.

Seorang lagi ahli MT, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo turut melahirkan harapan agar pendekatan baru ini akan membolehkan semua ahli berbincang masalah-masalah dalaman Umno secara terbuka dan ikhlas dengan niat untuk mencari penyelesaian dan bukan menuding jari.

"Yang penting, semua kita perlu bersikap positif. Kalau dari awal lagi sudah berperasangka, gagallah nanti matlamat kita," tambahnya.

Padanya dua isu paling meruncing yang tidak dapat tidak mesti dibincangkan secara terbuka dan ikhlas pada pertemuan itu nanti ialah formula untuk mengembalikan semula kepercayaan orang Melayu pada Umno yang sudah banyak terhakis dalam beberapa tahun kebelakangan serta kepercayaan ahli akar umbi kepada pucuk pimpinan parti.

Selain isu dalaman, Mohd Khir, bekas Menteri Besar Selangor dan kini antara ahli politik yang turut mengendalikan blog sendiri berkata, Umno juga perlu meneliti beberapa dasar kerajaan yang perlu diperbaiki dan diperkukuhkan demi kesejahteraan Melayu Islam, terutama yang melibatkan ekonomi dan hubungan antara agama.

Arikel terakhir beliau dalam blognya bertajuk "Melayu Di Persimpangan", bertarikh 31 Mei.

Berbincang tentang masalah dan cabaran yang dihadapi parti, sama ada dalam kumpulan kecil atau sebaliknya adalah matlamat utama pertemuan itu dirancang. Hakikat bahawa pemilihan parti semakin hampir, pasti tidak jauh dari kotak pemikiran mereka yang bercadang bertanding jawatan lebih tinggi atau mempertahankan jawatan sekarang.

Mesyuarat perwakilan cawangan yang diberi tempoh dua bulan akan bermula 17 Julai sementara mesyuarat bahagian pula akan bermula 9 Oktober. Perhimpunan tahun ini yang akan menyaksikan pemilihan jawatan tertinggi parti akan berlangsung selama lima hari bermula 16 Disember.

Selama dua hari bergaul bebas dalam suasana yang tidak mengongkong, sudah tentu ramai daripada ahli MT tidak akan melepaskan peluang untuk mencari pengaruh, rakan regu dan sokongan untuk sempena pemilihan parti nanti.

Adakah persoalan tentang masa depan dan arah tuju parti serta falsafah perjuangannya akan menjadi prioriti dalam pertemuan itu atau adakah isu-isu pemilihan seperti urus janji dan tawar menawar tempat dan kedudukan akan mencuri konsentrasi ahli-ahli?

"Pertemuan belum mula. Kita tengoklah esok," tegas Khir Toyo.

No comments: