Thursday, December 04, 2008

Mencurah hasil ke negara lain

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM dan TOREK SULONG



KOTA BHARU 3 Dis. - Pusat pendaratan ikan utama untuk laut dalam di negeri ini iaitu Tok Bali, Pasir Puteh pada tahun lalu dilaporkan mencatatkan pendaratan sebanyak 30,000 tan metrik dengan nilai RM80 juta.

Jabatan Perikanan kini meletakkan sasaran lebih tinggi iaitu sebanyak 40,000 tan metrik atau dengan nilaian RM112 juta pada tahun ini.

Dengan 200 bot laut dalam milik 70 pengusaha aktif, jumlah yang didaratkan dipercayai sekadar separuh daripada hasil tangkapan sebenar kerana sebahagiannya dipercayai didaratkan di pelabuhan negara jiran.

Keadaan itu dikatakan berlaku atas beberapa faktor termasuk sebilangan daripada bot disewa secara tidak rasmi kepada pengusaha asing dengan bayaran dikatakan berbelas ribu ringgit bagi setiap bot.

Ketika usahawan tempatan meraih keuntungan mudah, strategi ini memberikan kebebasan buat pengusaha asing meraih hasil daripada perairan negara pada bila-bila masa.

Mereka tidak lagi menanggung risiko kerugian besar apabila bot dirampas kerana menceroboh selain awak-awak mereka menjadi tahanan di negara ini.

Dengan bot pendaftaran tempatan itu, mereka juga tidak terbeban dengan kos bahan api apabila berpeluang mendapatkan diesel subsidi yang dibekalkan kepada golongan nelayan.

Namun dikatakan tidak kesemua hasil tangkapan ikan yang diperoleh dijual di negara jiran kerana sebahagian kecil perlu dibawa balik ke pangkalan Tok Bali kerana ia menjadi syarat utama wajib mendaratkan ikan bagi mendapatkan bekalan diesel bersubsidi.

Jumlah hasil tangkapan ikan yang diperoleh adalah satu perkara yang subjektif di mana tekong boleh memberitahu bahawa hasil tangkapan ikan merosot atau berkurangan sedangkan sebahagiannya sudah berada di pasaran negara jiran.

Kadar harga pembelian ikan mungkin lebih mahal berbanding harga pasaran tempatan dan mereka juga dikatakan tidak terdesak untuk melambakkan hasil tangkapan dalam negeri kerana ia akan menjejaskan harga dengan agak ketara.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan, Suhaili Lee walaupun tidak membayangkan keadaan sebenar, beliau menyatakan rasa kesalnya kerana terdapat sebilangan pengusaha yang lebih cenderung mencari pasaran di luar sedangkan pada masa yang sama, keperluan tempatan mendesak.

''Jabatan tidak menafikan ketirisan atau aliran ikan ke pasaran luar itu disebabkan oleh faktor penawaran yang lebih tinggi namun pengusaha juga wajar menimbangkan semula pelbagai jenis bantuan dan subsidi yang diberikan oleh kerajaan termasuk diesel," ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, pihak jabatan meningkatkan pemantauan hasil tangkapan dengan mensyaratkan setiap bot mendaratkan jumlah tertentu setahun dan jika gagal mematuhinya, mereka bakal berhadapan dengan masalah memperbaharui lesen.

Suhaili berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Interaksi ke Arah Peningkatan Hasil Pemprosesan Ikan Negara di sini baru-baru ini yang dihadiri oleh 50 pengusaha laut dalam dari Pantai Timur.

Menurut Suhaili, kekurangan ikan menyebabkan negara terpaksa mengimport lebih banyak hasil laut itu dari negara luar untuk memenuhi keperluan tempatan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Perikanan negeri, Ruzaidi Mamat berkata, akibat ketiadaan prasarana seperti pusat penyimpanan stok secukupnya dan industri hiliran memproses hasil laut menyebabkan harga ikan yang dilabuhkan berada dalam keadaan tidak stabil dan mudah dimanipulasikan oleh pelbagai pihak.

Katanya, apabila ikan dilabuhkan dalam kuantiti sedikit maka harganya akan meningkat kerana permintaan melebihi bekalan tetapi keadaan akan bertukar sebaliknya apabila terlalu banyak bot mendaratkan ikan.

"Formulanya adalah mudah iaitu apabila ikan sedikit maka tawaran harga akan meningkat dan ia akan bertukar menjadi rendah jika bekalan didaratkan dengan banyak," katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, perkembangan industri perikanan Tok Bali dibimbangi tidak mampu bergerak pantas kerana wujudnya ketidakseimbangan dengan perkembangan industri hilirannya iaitu tiadanya prasarana khusus bagi memproses hasil laut yang diperoleh oleh para nelayan.

Setakat ini, hanya terdapat empat kilang sejuk beku yang jelas tidak selari dan dilihat tidak mampu mengimbangi pertumbuhan industri perikanan itu yang semakin meningkat saban tahun.

Tambah Ruzaidi, antara jalan penyelesaian kepada masalah itu ialah mewujudkan industri hiliran yang berdaya saing seperti kilang-kilang pemprosesan untuk membuat ikan sardin dan produk laut lain.

Jabatan Perikanan negeri dalam menangani 'ketirisan' ini telah bertindak proaktif apabila setiap bot laut dalam yang memperbaharui lesen diwajibkan memasang gajet alat pengesan bot (VTU), iaitu seperti alat Sistem Penentuan Global (GPS) yang mampu mengesan dengan tepat kedudukan bot yang berada di tengah lautan.

"Sasaran kita ialah pada tahun hadapan semua bot akan dilengkapi dengan VTU yang akan dapat memastikan keselamatan bot dan memberikan pertolongan dengan segera sekiranya berlaku sebarang insiden yang tidak diingini," kata Ruzaidi.

Lesen bot laut dalam juga tidak akan dibenarkan untuk diperbaharui sekiranya tidak mencapai syarat pendaratan ikan yang ditetapkan iaitu minimum 350 tan metrik setahun bagi bot pukat jerut dan 250 metrik tan setahun bagi bot pukat tunda.

Beliau mengakui pergantungan pada ikan yang diimport daripada Thailand sepatutnya tidak berlaku kerana kuantiti pendaratan ikan di negeri ini sepatutnya telah melebihi daripada kegunaan domestik termasuk pada musim tengkujuh.

Mengikut statistik sehingga tahun 2010, dalam masa setahun, setiap penduduk Kelantan akan memakan ikan sebanyak 55 kilogram seorang iaitu menyamai 77,000 kilogram berdasarkan jumlah terkini penduduk negeri ini seramai 1.4 juta orang.