Friday, June 06, 2008

Proses damai akan gagal tanpa pemantau asing – MILF

06/06/2008 5:01pm

MANILA 6 Jun – Pejuang Islam hari ini memberi amaran, gencatan senjata lima tahun dengan kerajaan Filipina akan musnah jika kedua-dua pihak gagal meneruskan rundingan.

Rundingan terhenti tahun lalu selepas Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) membantah desakan kerajaan bahawa sebarang cadangan memberikan autonomi kepada pejuang perlu mematuhi undang-undang Filipina dan melalui proses pungutan suara.

Proses damai turut menghadapi tamparan bulan lalu selepas Malaysia bertindak menarik balik pasukan pemantau berikutan tidak ada kemajuan dicapai dalam proses tersebut.

Pasukan pengaman terbabit ditugaskan sejak 2003 bagi memantau gencatan senjata di Mindanao.

Ketua perunding MILF, Mohaqher Iqbal berkata, gencatan senjata akan musnah pada 31 Ogos sekiranya kerajaan dan MILF tidak merundingkan mandat pasukan pemantau antarabangsa.

Mandat tersebut berakhir pada Ogos ini.

Bagaimanapun Mohaqher memberi amaran, MILF tidak akan bersetuju mengadakan rundingan dengan kerajaan jika ia hanya membabitkan penyambungan mandat sahaja.

Katanya, sebarang rundingan baru perlu menyelesaikan isu-isu wilayah, tadbir urus, kawalan terhadap sumber asli dan pelbagai perkara berkaitan dengan masa depan wilayah penduduk Islam.

Beliau mengulangi amaran bahawa sukar untuk mengelak berlakunya konflik tanpa kehadiran pasukan pengaman asing. – AP

No comments: