Wednesday, June 25, 2008

Sesi soal jawab catat sejarah

KUALA LUMPUR 25 Jun - Sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini mencatatkan sejarah apabila sebanyak 13 soalan berjaya dijawab dalam tempoh sejam 31 minit.

Yang dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, beliau berpuas hati dengan kerjasama yang diberi semua ahli Parlimen pada hari ini.

''Saya berharap perkara ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa. Sekarang sesi soal jawab telah selesai pukul 11.31 pagi, sila setiausaha jalankan agenda seterusnya," katanya di sini hari ini.

Pada kebiasaannya sesi soal jawab dari pukul 10 hingga 11.30 pagi hanya menyaksikan sejumlah 11 soalan dijawab.

Ia dicapai melalui ketegasan Pandikar yang pada awal sesi soal jawab mengingatkan semua ahli Parlimen supaya memastikan soalan tambahan adalah singkat bagi memastikan sekurang-kurangnya 12 soalan dapat dijawab pada hari ini.

Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) kemudiannya berkata, beliau setuju dengan saranan Speaker bagaimanapun soalan tambahan yang ingin beliau kemukakan ialah berkenaan Iskandar Malaysia di Johor dan ia melibatkan soal maruah negara.

''Bertanya hal ini (Iskandar) memerlukan sedikit penjelasan yang diperlukan oleh rakyat," jelas Mohamed.

Pandikar kemudiannya menjelaskan, semua soalan adalah maruah negara dan jika tidak melibatkan maruah ia tidak akan dibangkitkan di Dewan Rakyat.

''Semua maruah negara...jadi janganlah satu maruah sahaja dijawab, maruah lain tidak dijawab," ujarnya.

Pandikar kemudiannya turut menegur Dr. Mohd. Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) yang cuba mengaitkan isu pelaburan Singapura di Kelantan dengan Iskandar Malaysia supaya mengemukakan soalan sahaja dan bukannya membawa fakta lain kepada Dewan,

Beliau juga mengingatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A.Aziz supaya terus menjawab soalan dan tidak menyentuh fakta-fakta yang tidak ditanya.

Ini menyebabkan Mohamed bertanya kepada Pandikar, mengapa beliau begitu garang pada hari ini.

''Tan Sri kenapa garang sangat pagi ni? Saya naik takut," katanya sambil disambut dengan gelak-ketawa ahli-ahli Dewan.

No comments: