Wednesday, June 04, 2008

Muhyiddin: Retreat Umno bincang strategi pelbagai hala

04-06-2008 11:44:49 PM
Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, retreat Umno yang akan diadakan di Shah Alam selama dua hari mulai esok akan menjurus kepada usaha untuk memperkukuh semula parti dengan mengambil kira pandangan ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT).

Beliau berkata, MT akan membincangkan strategi jangka pendek, sederhana dan panjang untuk memperkuatkan Umno selain usaha-usaha yang perlu dilaksanakan dalam meningkatkan keyakinan ahli kepada perjuangan parti dan Barisan Nasional (BN).

"Tentunya kita harus mengambil kira keputusan pilihan raya ke-12 yang lalu dan juga perubahan pemikiran rakyat, pengundi muda, harapan mereka yang meningkatdan juga beberapa pandangan baru yang dikemukakan banyak pihak tentang apa yang harus dilakukan untuk Umno terus relevan," kata beliau selepas menyampaikan ucaptama pada Malam SMIDEC 2008 di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, pertemuan itu bukan hanya membincangkan hal dalaman parti malah turut mengetengahkan soal-soal dalam skop yang lebih luas termasuk bagaimana menjenamakan semula parti-parti komponen BN yang lain supaya lebih menarik dan diterima rakyat.

"Kita akan bincangkan apa sahaja yang bermanfaat kepada parti dan kerajaan, bukan sahaja hal dalaman malah
menjangkau semua yang berkaitan termasuk dasar kerajaan dan usaha membangunkan rakyat dengan lebih berkesan," katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, penjenamaan BN akan ditekankan agar ia lebih menarik untuk menambat hati rakyat dan pengundi.




No comments: