Wednesday, June 25, 2008

Lembaga Tembakau Negara dibubar

KUALA LUMPUR 25 Jun - Lembaga Tembakau Negara (LTN) yang ditubuhkan bagi menggalakkan aktiviti penanaman tembakau di negara ini akan dibubar dan digantikan dengan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).

Langkah itu selaras dengan dasar kerajaan untuk mengurangkan aktiviti penanaman tembakau secara beransur-ansur di negeri utara dan pantai timur bagi menggantikannya dengan tanaman kenaf.

Pembentangan rang undang-undang bagi menubuhkan LKTN akan dibuat oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Rang Undang-Undang Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2008 menggariskan pelbagai langkah termasuk panduan operasi dan pelantikan petugas lembaga pengarah baru.

Gentian daripada batang pokok kenaf kini mendapat permintaan tinggi khususnya dalam industri pembuatan kereta, makanan haiwan dan pembungkusan barangan.

No comments: