Saturday, June 07, 2008

Isu media dibincang dalam retreat Umno

06-06-2008 09:17:28 PM
Oleh SA'ODAH ELIAS dan NURUL AIN HUSSAIN

(Dikemas kini) SHAH ALAM: Retreat dua hari Majlis Tertinggi (MT) Umno yang berakhir tengah hari tadi disifatkan sebagai sangat positif bagi memulihkan parti itu selepas 'kejutan' pilihan raya umum ke-12 tiga bulan yang lalu.

"Reaksi daripada ahli-ahli MT yang hadir sangat positif," kata Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur petang ini.

Bagaimanapun Muhyiddin yang mengatakan beliau "tiada hak" untuk mendedahkan perkara yang telah dibincangkan berkata, strategi-strategi yang dikemukakan amat penting untuk memulih dan memperkukuhkan Umno.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada retreat Umno turut membincangkan mengenai
Pelan Peralihan Kuasa yang disebut-sebut sebagai salah satu isu utama dalam UMNO.

Muhyiddin berkata, “Saya tidak mempunyai kuasa untuk menyatakan sama ada Ya atau Tidak

Wartawan mStar Online yang berada di hotel pertemuan tidak rasmi itu melaporkan tiada sebarang kenyataan dibuat sama ada oleh mana-mana anggota, ataupun pemimpin tertinggi parti.

Semua anggota yang dihampiri wartawan enggan bercakap mengenai topik perbincangan, menguatkan lagi spekulasi bahawa mereka telah pun diarahkan agar tidak membuka mulut kepada wartawan.


ABDULLAH Ahmad Badawi mengatakan sesuatu kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas tamatnya retreat Majlis Tertinggi Umno di Shah Alam tengah hari tadi.

Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Razak meninggalkan hotel di mana pertemuan tidak rasmi itu diadakan kira-kira pukul 12.30 tengah hari tanpa memberikan sebarang ulasan kepada media yang menunggu.

Bagaimanapun, seorang anggota yang enggan namanya disiarkan, melalui SMS sebentar tadi berkata, isu yang dibincangkan, selain program pemulihan parti, juga menyentuh peranan media arus perdana.

Seorang lagi berkata, isu persepsi orang ramai terhadap parti juga disentuh dan ini berkait rapat dengan sumbangan media sama ada untuk mengukuhkan atau melemahkan parti.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob pula apabila ditanya mengenai isu media pula enggan memberikan sebarang ulasan dengan berkata: "Saya sudah angkat sumpah. Kalau saya cakap juga saya hilang kerja."

Ahli-ahli MT yang hadir sebelum itu telah diminta memberikan pandangan dan buah fikiran bagi mencari satu formula paling berkesan bagi memulihkan kekuatan parti berikutan keputusan pilihan raya ke-12 yang kurang menggalakkan bagi parti Melayu paling dominan itu.

Pertemuan tidak formal itu dipengerusikan oleh Abdullah sementara rumusan dibuat oleh Najib.


ABDULLAH bersalaman dengan Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil sementara Najib bersalaman dengan Datuk Mustapha Mohamed sambil diperhatikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Ghani Othman.

Program retreat diadakan bagi membolehkan semua anggota majlis itu mengemukakan pandangan mereka secara terus terang mengenai pelbagai masalah yang dihadapi Umno masa kini, termasuk isu kepimpinan.

Ahli-ahli MT dipecahkan dalam tiga kumpulan dengan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mempengerusikan kumpulan pertama, Muhyiddin mengetuai kumpulan kedua dan Ketua Penerangan, Tan Sri Muhammad Muhd Taib mengetuai kumpulan ketiga.Pertemuan retreat Umno - yang pertama kali diadakan selepas pilihan raya umum ke-12.

No comments: