Tuesday, January 29, 2008

Ahli Parlimen Selatan Thailand tuntut jawatan kabinet

29-01-2008 07:47:12 PM

BANGKOK: Empat anggota Parlimen dari kawasan bergolak di selatan mengancam untuk mengoncang kerajaan campuran Thailand ketika usaha mendapatkan jawatan Kabinet meningkat, apabila pemimpin Parti Kuasa Rakyat (PPP) Samak Sundaravej mendapat sokongan diraja untuk menjadi perdana menteri baru.

Anggota Parlimen Narathiwat dari Parti Puea Pandin, Dr Waemahadi Wae-dao berkata PPP perlu menunaikan janji untuk memberikan sekurang-kurangnya satu jawatan Kabinet kepada wakil dari selatan atau menanggung risiko kehilangan sokongan mereka.

Pada Ahad, Dr Waemahadi mengancam untuk tidak mengundi Samak semasa pengundian bagi jawatan perdana menteri di Parlimen jika mereka tidak diberikan jawatan menteri kerana parti itu telah berkempen atas platform untuk menyelesaikan pergolakan di selatan, dengan satu jawatan Kabinet diperuntukkan kepada anggota Parlimen dari selatan jika Puea Pandin menjadi sebahagian kerajaan baru.

"Pucuk pimpinan parti berjumpa kami sehari sebelum pengundian untuk memilih perdana menteri semalam dan berikrar janji itu akan dikotakan. Sebab itu kami mengundi memilih Samak," katanya kepada Bernama.

Dr Waemahadi berkata Puea Pandin, yang merupakan anggota kerajaan campuran enam parti pimpinan PPP, dijangka diberikan empat jawatan Kabinet, tetapi setakat ini tiada petanda jelas bagi mana-mana anggota Parlimen di selatan akan mendapatnya.

Samak, yang dipilih oleh Parlimen untuk menjadi perdana menteri ke-25 negara itu, Selasa menerima perakuan diraja daripada Raja Bhumibol Adulyadej. Beliau dijangka memuktamadkan barisan Kabinet minggu ini.

PPP mendahului kerajaan campuran 316 kerusi, dengan 235 kerusi, termasuk dua daripada pilihan raya kecil baru-baru ini, diikuti Chart Thai (34), Puea Pandin (22), Matchimathipataya (11), Rum Jai Thai Chart Pattana (9) dan Pracharaj (5).

Demokrat merupakan parti pembangkang tunggal dengan 164 kerusi.

Dr Waemahadi berkata memenangi empat kerusi, masing-masing dua di Narathiwat dan Pattani, merupakan pencapaian besar dengan mengambil kira Puea Pandin bertanding buat pertama kalinya dalam pilihan raya dan berjaya memecahkan kubu Demokrat.

"Ia merupakan isyarat jelas bahawa rakyat mahukan perubahan dan lebih banyak usaha untuk menyelesaikan masalah. Kami perlukan wakil yang kuat dalam Kabinet untuk mencapainya atau jika tidak kami perlu menilai semula sokongan kami kepada kerajaan campuran," katanya.

Lebih 2,900 orang terkorban sepanjang empat tahun lepas sejak puak pemisah bersenjata melancarkan serangan bagi menuntut kemerdekaan bagi tiga wilayah majoriti penduduk Islam iaitu Pattani, Narathiwat dan Yala. BERNAMA

Saturday, January 26, 2008

Selepas 18 tahun, Kelantan dilihat bakal kembali kepada BN

26-01-2008 03:32:21 PM

KOTA BAHARU: Suasana politik ketika ini meyakinkan banyak pihak bahawa selepas 18 tahun Kelantan berada di bawah pentadbiran PAS, masanya sudah tiba bagi Barisan Nasional (BN) untuk kembali menerajui jentera pentadbiran kerajaan negeri.

Penganalisis politik berpendapat sokongan rakyat kali ini akan beralih kepada BN, yang sebelum ini mentadbir Kelantan selama 18 tahun, sebelum ia dijatuhkan PAS dalam pilihan raya umum pada tahun 1990.

Bagi kalangan pemimpin BN, nombor 18 adalah angka penting dalam usaha mereka menjulang kembali maruah parti itu di mata rakyat, sekaligus memenangi pilihan raya umum ke 12 ini untuk membentuk sebuah kerajaan baru.

Sungguhpun PAS yakin bahawa rakyat tidak mempunyai sebab menolak mereka di Kelantan, namun bagi BN, tempoh masa 18 tahun pemerintahan PAS sudah cukup membuat rakyat Kelantan menderita dan sudah tiba masanya penderitaan itu ditamatkan.

"Kembalilah ke pangkuan BN, agar kita dapat bawa perubahan kepada negeri Kelantan," kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yang juga Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Annuar Musa.

Beliau berkata BN Kelantan kini berada pada kedudukan terbaik untuk kembali menyapu bersih 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum kali ini.

"Ya, kita berada pada kedudukan terbaik dan mempunyai barisan pemimpin berkaliber untuk mencorakkan kembali negeri Kelantan yang ketinggalan ini," katanya.

Perubahan suasana politik itu turut dirasai sebuah parti komponen BN yang baru bertapak di Kelantan iaitu Parti Progresif Penduduk (PPP), yang turut menyuarakan keyakinan BN bakal kembali menguasai Kelantan.

Pengerusinya, Datuk Nik Sapeia Nik Yusof berkata walaupun hampir setahun PPP bertapak di Kelantan, kini sudah lebih 3,000 penduduk Kelantan menyertai parti itu.

"Kita gembira dengan sambutan baik ini, dan anggota baru ini kebanyakan daripadanya adalah kalangan bekas penyokong PAS dan pengundi atas pagar sebelum ini. Kita yakin BN kembali kuat dan perpaduan yang saya lihat antara parti komponen kini semakin jitu," katanya.

Pilihan raya umum 1990 meninggalkan kenangan pahit kepada BN apabila ia kalah teruk 390 kepada PAS, seakanakan merebahkan terus parti gabungan itu, dan pilihan raya berikutnya menyaksikan BN masih terumbang-ambing dalam usaha meyakinkan penduduk Kelantan.

Pada pilihan raya umum 1995 BN memenangi tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua kerusi Parlimen manakala pada 1999 kedudukan BN merosot kembali dengan hanya memenangi dua kerusi DUN dan satu Parlimen.

Namun pada pilihan raya umum 2004 kepercayaan rakyat terhadap BN khususnya Umno begitu mengejutkan PAS, apabila BN menguasai 21 daripada 45 kerusi DUN dan memenangi sembilan daripada 14 kerusi Parlimen di Kelantan.

Kedudukan PAS semakin terancam apabila BN merampas DUN Pengkalan Pasir pada pilihan raya kecil Dis 2005 menjadikan bilangan kerusi yang dipegangnya kepada 22 kerusi berbanding 23 bagi PAS.

Ada pemerhati politik berpendapat BN sepatutnya memenangi Kelantan pada pilihan raya umum 2004 kerana pada tahun itu rakyat di seluruh negara memberikan majoriti yang tinggi kepada BN dan ia adalah persembahan terbaik BN.

Annuar percaya rakyat Kelantan bijak menilai yang mana batu dan yang mana permata setelah melihat kegagalan PAS memerintah Kelantan.

Katanya jurang kemiskinan di Kelantan terus melebar dan lebih 200,000 rakyatnya terpaksa berhijrah keluar untuk mencari pekerjaan, manakala defisit terkumpul belanjawan negeri pula menghampiri RM400 juta setakat 2006 sementara hutang terkumpulnya sudah hampir RM1,000 juta.

Beliau berkata bilangan rakyat miskin tegar dianggarkan hampir 25,000 orang di Kelantan, jumlah tanah terbiar dianggar 40,000 hektar (100,000 ekar), dan Kelantan juga mencatatkan kadar kemiskinan tertinggi dalam negara, dengan pendapatan perkapita rakyat antara yang rendah.

"Semakin lama PAS memerintah Kelantan semakin lama negeri ini akan ketinggalan dan rakyatnya akan terus menderita," katanya. BERNAMA

Friday, January 25, 2008

3 cawangan Pas akan dibubar

PASIR PUTEH 25 Jan. - Lebih 1,000 ahli dan penyokong Pas di tiga cawangan akan membubarkan cawangan masing- masing sekiranya pimpinan Pas Kelantan masih mengekal calon lama bertanding bagi kerusi Undangan Negeri (DUN) Limbongan pada pilihan raya umum akan datang.

Kesemua mereka dari cawangan Pas Mekang Hilir, Merkang Hujung dan Sungai Jernih di kawasan peti undi Merkang akan berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan khidmat wakil rakyat yang ada sekarang.

Ketua Peti Undi Pas Merkang, Mat Din Idris, 56, berkata, tindakan itu akan diambil berikutan kewibawaan wakil rakyat Pas yang ada sekarang ternyata gagal menunaikan pelbagai janji walaupun diberi peluang dan mandat mentadbir sepanjang dua penggal oleh rakyat di kawasan Limbongan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di Dewan Latihan Dikir Barat Kampung Merkang Hujung, dekat sini malam tadi.

Mat Din yang juga Penghulu Kampung Merkang berkata, pengundi tidak menolak akan menyertai UMNO sekiranya wakil rakyat yang ada sekarang terus diberi kepercayaan oleh pimpinan Pas Kelantan untuk bertanding di kawasan itu.

Ketua Cawangan Pas Merkang Hujung, Mohd. Nordin Jusoh, 38, berkata, pemimpin Pas pernah berjanji akan membangunkan kampung itu selepas penubuhan cawangan di situ tetapi sehingga sekarang tiada apa-apa yang dilakukan bagi faedah penduduk di situ.

"Bukan setakat gagal membangunkan kemudahan asas yang diperlukan tetapi turut gagal untuk melaksanakan projek yang boleh membantu meningkatkan ekonomi penduduk," katanya.

Setiausaha Cawangan Pas Merkang Hujung, Zamri Muhamad, 40, pula berkata, wakil-wakil rakyat Pas yang ada sekarang tidak sedar mereka dipilih oleh rakyat untuk berkhidmat dengan penuh dedikasi.

Bagaimanapun, katanya, apa yang dilaksanakan hanyalah untuk kepentingan segelintir individu tertentu sahaja dan bukan bagi kepentingan masyarakat umum dan jauh sekali mengikut ajaran Islam sebenar sebagaimana yang mereka uar-uarkan.

"Kalau macam inilah gayanya... saya pun boleh jadi wakil rakyat kalau sekadar untuk mendapatkan gaji dan jawatan," katanya.

Negeri kebajikan: Kelantan bina 2,000 rumah mampu milik

Salmah Mat Husain
Wed | Jan 23, 08 | 6:08:13 pm MYT

KOTA BHARU, 23 Jan (Hrkh) - Ketika pemimpin Umno mempersoalkan konsep negara kebajikan yang dihasratkan PAS, hari ini kerajaan Kelantan meluluskan pada dasarnya bagi membina 2,000 unit rumah mampu milik.

Sebanyak RM15 juta diperuntukan dalam Belanjawan 2008 bagi melaksanakan projek tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, rumah mampu milik itu merangkumi tiga jenis iaitu teres, rumah kembar empat dan pangsa empat tingkat.

"Rumah pangsa akan didirikan di tanah-tanah kerajaan khususnya di kawasan bandar, di mana rumah teres dan kembar empat di kawasan yang sesuai.

"Kerajaan mengambil keputusan itu untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri. Ia bersesuai dengan Kelantan sebagai sebuah negeri berkebajikan," katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini.

Menurutnya kerajaan negeri telah memutuskan untuk memberi secara percuma rumah berkenaan kepada penduduk miskin bagi kategori pertama, keduanya pembeli perlu membayar 50 peratus dan selebihnya ditanggung kerajaan.

Manakala kategori ketiga dijual mengikut harga biasa kepada orang ramai yang berkemampuan.

Takiyuddin berkata, projek perumahan berkenaan yang akan dibina akhir bulan depan dan dikendalikan anak syarikat kerajaan negeri, Bina Raya Sdn Bhd.

Katanya, syarikat berkenaan kemudiannya akan memberi sub kontrak kepada syarikat lain yang berkelayakan.

Mengenai pembangunan Bandar Satelit di Pasir Tumbuh, beliau berkata, majlis pecah tanahnya akan diadakan pada akhir Februari atau awal Mac depan.

Hari ini Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan mencabar PAS menyenaraikan secara terperinci bentuk sebenar negara kebajikan.

Kelantan perkenal kaunter bayaran keluarga di pasar raya

Rizal Tahir
Tue | Jan 22, 08 | 7:15:22 pm MYT

KOTA BHARU, 22 Jan (Hrkh) - Selepas berjaya mempelopori kaunter bayaran berasingan lelaki dan wanita di pasar raya di negeri ini, kaunter keluarga pula akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tujuan diwujudkan kaunter khas untuk keluarga kerana ramai golongan tersebut datang membeli belah bersama suami dan isteri.

“Kita perhatikan ramai yang membeli belah bersama keluarga. Kerajaan negeri bersetuju mewujudkan kaunter untuk mereka dengan mengurangkan bilangan kaunter untuk lelaki,” katanya selepas majlis penyampaian watikah pelantikan ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan di sebuah hotel di sini, semalam.

Sejak lebih 10 tahun lalu kerajaan negeri melalui PBT memperkenalkan dua kaunter berasingan jantina bagi mengatasi perbuatan segelintir pihak mengambil kesempatan terhadap wanita ketika beratur di kaunter yang sama.

Takiyuddin berkata, kaunter untuk keluarga boleh juga digunakan wanita yang datang seorang diri, namun ditegah bagi lelaki yang datang tanpa keluarga.

Bagaimanapun tambahnya wanita juga boleh mengunakan kaunter khas untuk lelaki sekiranya didapati lorong berkenaan kosong.

“Kaunter untuk lelaki tidak banyak disediakan memandangkan tidak ramai pembeli dari golongan tersebut keluar membeli belah,” ujarnya.

Oleh itu beliau berkata, tindakan denda sehingga RM1,000 boleh dikenakan kepada pemilik pasar raya yang tidak menguatkuasakan peraturan pemisahan kaunter bayaran lain jantina.

Namun kata beliau peraturan itu tidak tertakluk kepada kedai kecil yang hanya mempunyai satu kaunter bayaran sahaja.

Sunday, January 13, 2008

Pondok Islah Diri Baitul Taubah terima pelatih secara sukarela

Pasir Puteh, 10 Jan - Pondok Islah Diri Baitul Taubah akan menerima anak bina (pelatih) yang hadir secara sukarela bagi memastikan keberkesanan kaedah pemulihan yang akan dilaksanakan.

Pengerusi Baitul Taubah, Dato' Haji Takiyuddin Hassan berkata kedua-dua pihak iaitu anak bina dan ibu bapa dikehendaki membuat perakuan bahawa mereka secara sukarela bersedia untuk menjalani sistem pemulihan yang disediakan.

"Untuk tujuan itu satu sesi perjumpaan khas akan diadakan pada 12 Januari ni bagi mengenalpasti kumpulan pertama yang akan memulakan proses pemulihan bermula 16 Januari 2007," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat khas di pondok terbabit hari ini.

Pondok Islah Diri Baitul Taubah dijangka menerima kumpulan pertama anak bina 16 Januari ini dan bakal dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan pada bulan Februari depan.

Saturday, January 12, 2008

Misteri salji di Baghdad

11-01-2008 09:10:56 PM

PETALING JAYA: Pertama kali dalam sejarah, penduduk Baghdad kini boleh bermain dengan salji.

Menurut seorang penduduk, seperti dipetik agensi berita Reuters yang melaporkan dari Baghdad, inilah kali pertama dia melihat salji turun di kota Iraq itu dalam usianya 60 tahun.

Penduduk yang ditemui dilaporkan berkata salji itu menandakan alamat baik dan simbol keamanan di kota yang musnah akibat perang sejak diduduki tentera Amerika Syarikat pada 2003.

Friday, January 11, 2008

PAS yakin tambah kerusi dalam pilihan raya

11-01-2008 08:58:22 PM

TUMPAT: PAS percaya parti itu akan menambah bilangan kerusi pada pilihan raya akan datang berdasarkan aliran sokongan turun naik pengundi setiap kali pilihan raya umum berlangsung, kata presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Jika pada pilihan raya umum 2004 sokongan kepada PAS berkurangan sehingga parti pembangkang itu kehilangan Terengganu dan hampir-hampir kehilangan Kelantan yang dikuasainya, beliau percaya pada pilihan raya ke-12, sokongan terhadap mereka akan melonjak semula.

"Kita lihat senario pilihan raya sejak dulu lagi berlaku turun naik (sokongan terhadap PAS), jika pada pilihan raya umum 1959 (sokongan kepada PAS) naik, pada 1964 turun, 1969 PAS naik semula.

"Pada 1974 (sokongan) turun semula, 1978 naik, 1982 turun...

"Pada 1999 naik dan pada pilihan raya tahun 2004 turun, kita percaya pilihan raya umum akan datang kita akan melonjak semula ditambah pula dengan isu yang banyak berlaku dalam negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis mesra bersama rakyat di sini, hari ini. BERNAMA

Thursday, January 10, 2008

Kontroversi Maya Karin: Kelantan mulai hati-hati

10-01-2008 07:58:49 PM

KOTA BAHARU: Kerajaan negeri Kelantan menegaskan mereka tidak serik untuk menjemput artis ke negeri itu walaupun isu kedatangan seorang pelakon baru-baru ini telah dipolitikkan.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi Negeri, Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata pihaknya bagaimanapun akan lebih berhati-hati bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang.

"Kerajaan negeri tidak pernah terfikir tindakan mempelawa Maya Karin untuk bercakap fasal seni dan filem, dipolitikkan sehingga menimbulkan masalah kepada artis itu.

"Bagaimanapun selepas ini kita akan lebih berhati-hati bagi mengelak artis yang dijemput untuk menyertai program yang kita anjurkan tidak menghadapi sebarang masalah seperti yang berlaku kepada Maya Karin," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nik Mohd Amar mengulas mengenai kenyataan artis tersebut yang kesal kerana kehadirannya di Kalantan untuk menjadi ahli panel forum bagi membicarakan filem karyawan Iran terkenal, Majid Majidi sempena MiniFest Kelantan 2007 bulan lepas telah dipolitikkan.

Sementara itu Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad berkata langkah Pas Kelantan yang semakin kerap membawa masuk artis dan selebriti untuk program yang dianjurkannya menunjukkan parti itu semakin terdesak untuk mencari sokongan rakyat.

"Dulu apa yang Umno buat mereka bising, kata gunakan artis tak elok, tak ikut budaya Islam, tetapi sekarang mereka sendiri buat, nampak yang mereka semakin terdesak," katanya. BERNAMA

Nik Aziz: Peluang Muslimat jadi wakil rakyat terhad

10-01-2008 06:55:15 PM

KOTA BAHARU: Pas Kelantan sedia menimbang untuk memberi kerusi tambahan kepada calon wanita untuk bertanding pada pilihan raya umum kali ini namun dengan jumlah yang masih terhad, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau yang juga Mursyidul Am Pas berkata walaupun mempunyai ramai anggota Dewan Muslimat yang berwibawa untuk bertanding, pihaknya lebih cenderung untuk meletakkan calon lelaki.

"Boleh minta, kita akan pertimbangkan nak bagi sebanyak mana. Ini kerana susah untuk wanita (menjadi wakil rakyat), misalnya kena minta izin dengan suami dulu untuk keluar berkhidmat.

"Rakyat nak jumpa malam-malam pun susah, jadi peluang tu terhadlah sikit," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian bangunan Kompleks Purnama oleh Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra di sini hari ini.

Pada pilihan raya umum 2004, Pas Kelantan hanya meletakkan dua calon wanita, masing-masing bagi Parlimen Pasir Puteh dan Dewan Undangan Negeri Tanjung Mas.

Bagaimanapun hanya calon Dewan Undangan Negeri Tanjung Mas, Rohani Ibrahim yang menang.

Namun Nik Abdul Aziz berkata Pas tidak meminggirkan wanita dengan turut memberi keutamaan kepada mereka untuk dilantik sebagai senator. BERNAMA

Friday, January 04, 2008

Kenyataan GAMIS berkaitan kes Dr Chua Soi Lek

Muhammad Nor Abd. Samad
Thu | Jan 03, 08 | 2:35:36 pm MYT

Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) dengan tegasnya meminta supaya Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan Menteri Kesihatan, YB Dato¢ Dr. Chua Soi Lek untuk meletakkan jawatannya berkuat kuasa serta merta.

Ini ekoran daripada pengakuannya kepada media semalam selepas pihak media melaporkan bahawa DVD Skandal Seks salah seorang pemimpin MCA telah diedar secara meluas di Johor. Walaupun beliau sudah memohon maaf secara terbuka, pihak GAMIS berpendirian bahawa sikap, wibawa, karismatik, amanah dan budaya kerja seorang menteri telah tercemar. Tidak ada sebab kerajaan Malaysia akan terus menyimpan pemimpin komponen Barisan Nasional ini untuk menerajui kementerian.

Sebagai sebuah kerajaan, ia mesti mengekalkan pemimpin-pemimpin yang bersih sebagai model yang terbaik kepada rakyat. Sebaliknya, pemimpin-pemimpin yang korup, terlibat dengan rasuah, penyelewengan kuasa, kebejatan moral mestilah disingkirkan. Kerajaan Malaysia juga seharusnya mencontohi kabinet Jepun. Para menteri Jepun yang gagal dalam mengendalikan tanggungjawab mereka dan terlibat dengan masalah moral yang tinggi meletakkan jawatan mereka serta merta. YAB Perdana Menteri mesti bertanggung jawab terhadap barisan menterinya dan ini jelas menguji sikap terbuka dan prinsip beliau sendiri.

GAMIS beranggapan tahun baru 2008 ini bakal menyaksikan krisis politik dan ekonomi yang agak membimbangkan. Ia bukan sahaja memfokuskan mengenai demokrasi dan Pilihan Raya Umum ke-12 semata-mata, tapi ia melibatkan kewibawaan legislatif, integriti kehakiman, ketelusan badan eksekutif, soal hak asasi, peningkatan kos sara hidup, pertumbuhan ekonomi yang dijangka perlahan, jurang ekonomi di antara golongan miskin dan kaya, pendidikan, kredibiliti pihak keselamatan terutamanya polis dan masalah jatidiri generasi muda.

Semua tanggapan ini harus dibersihkan dan dimurnikan dengan membentuk sebuah kerajaan Malaysia yang baru. GAMIS amat berharap kerajaan Malaysia yang akan dibentuk pasca PRU ke-12 ini memiliki daya kepimpinan yang dinamik, akauntabiliti, telus, amanah dan tidak terlibat dengan mana-mana skandal demi memastikan Malaysia dan kehidupan rakyatnya harmoni dan sejahtera.

Jurucakap Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)
Mior Isfandy Mior Azizan
Jalan Gombak, Selangor Darul Ehsan