Monday, July 28, 2008

UMNO, Pas hadiri persidangan di Jakarta

PETALING JAYA 28 Julai - Kepimpinan tertinggi UMNO dan Pas akan dijemput menyertai persidangan khas di Jakarta, Indonesia pada November ini bagi membincangkan usaha mewujudkan kesepakatan di kalangan penduduk nusantara dalam bidang politik, ekonomi dan budaya.

Pengerusi Bersama Yayasan Generasi Baru Nusantara yang menganjurkan persidangan itu, Mohamad Ezam Mohd. Nor berkata, antara pemimpin yang dijangka hadir ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan kepimpinan tertinggi Pas.

"Saya telah memaklumkan kepada kepimpinan UMNO mengenai usaha mengadakan persidangan ini yang akan turut melibatkan Pas sebagai sebuah parti Melayu yang agak besar dan telah diberikan maklum balas yang cukup menggalakkan.

"Pimpinan tertinggi Pas juga mengalu-alukan langkah ini dan saya berharap dengan adanya usaha muzakarah antara kedua-dua parti, ia akan lebih memudahkan kerja-kerja mengadakan persidangan ini," katanya.

MengumumkanBeliau yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata demikian pada sidang akhbar di sini hari ini untuk mengumumkan penubuhan yayasan itu yang beribu pejabat di Jakarta.

Turut hadir Pengerusi yayasan itu, Sapto Waluyo; Pengarah I, Imam Nur Azis dan Ahli Lembaga Penasihat, Dr. Yon Mahmudi.

Menurut Mohamad Ezam, beliau tidak dapat memberikan maklumat lengkap mengenai persidangan itu yang juga akan mempunyai sesi bengkel kerana ia masih di peringkat perancangan tetapi menjangkakan ia akan dihadiri 200 peserta.

"Antara yang akan dijemput ialah Presiden Indonesia, Dr. Susilo Bambang Yudhoyono; Ketua Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) republik itu, Nurhidayat Wahid dan tokoh-tokoh dari Singapura dan Brunei," jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamad Ezam berharap pengumumannya sebagai Pengerusi Bersama yayasan itu akan menamatkan spekulasi orang ramai mengenai ke arah manakah hala tuju perjuangannya selepas menyertai UMNO.

"Jawapannya ialah saya akan ke Jakarta bagi memperjuangkan kepentingan umat Melayu Islam dan kumpulan etnik lain di nusantara supaya wujud perubahan dalam segala bidang.

"Dalam masa sama saya tidak akan tinggalkan politik Malaysia. Saya akan terus penuhi undangan untuk memberi ceramah kepada ahli UMNO di peringkat negeri dan bahagian," ujarnya.

No comments: