Monday, July 28, 2008

Lima Exco masa Idris juga guna Mercedes

KUALA TERENGGANU 28 Julai - Pembelian dan kegunaan Mercedes sebagai kenderaan rasmi Exco bukan merupakan suatu isu baru kerana kerajaan negeri semasa bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh (gambar) (2004-2008) pernah meluluskan pembelian enam buah kereta mewah itu yang berharga RM1.080 juta pada akhir tahun 2006.

Mercedes itu digunakan oleh lima Exco dan seorang pegawai kanan negeri untuk dijadikan kenderaan rasmi bagi menggantikan Proton Perdana V6.

Menurut sumber, pembelian dan kegunaan Mercedes tersebut dibuat adalah atas alasan penyelenggaraan dan keselamatan khususnya bagi Exco yang tinggal jauh dari Kuala Terengganu.

Katanya, kerajaan negeri semasa era pemerintahan Idris pernah membeli enam buah Mercedes bagi kegunaan lima Exco dan pegawai kanan yang masing-masing berharga RM180,000 sebuah.

"Jadi isu Mercedes bukanlah suatu isu baru kerana ia juga pernah berlaku di Terengganu semasa di bawah pemerintahan Idris," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, lima Exco yang dimaksudkan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari dan Kebajikan negeri, Datuk Rosol Wahid yang bernombor pendaftaran TV6.

Katanya, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Ahmad Said (kini Menteri Besar) pula menggunakan Mercedes yang bernombor pendaftaran TAG 8228.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Pelancongan Negeri, Datuk Mohamad Awang Tera menggunakan Mercedes bernombor pendaftaran TAN 113, manakala Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Wanita Negeri, Wan Mohamad Wan Hassan menggunakan Mercedes bernombor pendaftaran TL29.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Belia, Sukan dan Badan NGO Negeri, Datuk Din Adam pula menggunakan Mercedes bernombor pendaftaran TAN 222.

Seorang pegawai kanan kerajaan negeri yang menggunakan Mercedes bernombor pendaftaran TAN 191 pula ialah Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokthar Nong (kini Setiausaha Kerajaan).

Bagaimanapun, menurut sumber itu lagi, lima Exco yang lain kekal menggunakan Proton Perdana V6 ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri, Toh Chin Yaw dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Wilayah Negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafee.

Ini diikuti Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Industri Kecil, Sederhana dan Peniaga Kecil Negeri, Datuk Rahin Said dan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Komunikasi dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Bagaimanapun Idris hanya menggunakan Proton Perdana V6 sebagai kereta rasmi.

No comments: