Sunday, July 20, 2008

Muzakarah: Abdullah dedah sudah temui pemimpin PAS tiga kali

20-07-2008 03:46:04 PM
Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB

(Dikemas kini) PUTRAJAYA: Perkembangan terbaru dalam isu syor muzakarah Umno-PAS!

Hari ini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengesahkan beliau telah pun mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin PAS sebanyak tiga kali bagi membincangkan soal agama Islam dan perpaduan orang Melayu.

Beliau yang juga Presiden Umno bagaimanapun enggan menyatakan bila pertemuan itu diadakan dan pemimpin-pemimpin yang menyertai pertemuan tersebut.

Bagaimanapun jelas beliau, pertemuan dengan pemimpin peringkat tinggi itu tidak disertai oleh Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga Menteri Besar Kelantan.

"Saya dah ada pertemuan sebenarnya, dan pertemuan ini pada peringkat awal. Tak perlulah saya bagi maklumat yang lain, nanti saudara buat spekulasi yang bukan-bukan.

"Nik Aziz tak ada, itu saya boleh katalah, yang lain tak boleh tanya....(pertemuan) pada peringkat orang yang boleh membuat keputusan," kata beliau.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Pengisytiharan Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Sambutan Hari Koperasi Negara 2008 di sini.

Beliau berkata, pemimpin PAS yang menghadiri perjumpaan itu adalah "orang yang boleh membuat keputusan" yang yang seakan memberi gambaran bahawa antara yang terlibat dalam muzakarah itu ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Isu muzakarah mula diperkatakan sejak dua bulan lalu.

Dalam temu bual dengan Harakah, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga mendedahkan bahawa usaha ke arah muzakarah kedua-dua parti sudahpun dimulakan.

Abdul Hadi menerusi wawancara itu menyatakan bahawa Pas berhak mengadakan rundingan bersama UMNO tanpa perlu merujuk dengan manamana parti dalam pakatan pembangkang untuk menyampaikan mesej Islam.



Dalam kenyataan semalam, kata Abdullah, perpaduan Melayu perlu diperkukuhkan kerana mereka menghadapi pelbagai cabaran baru.



Abdullah berkata beliau juga mahu melihat perpaduan di kalangan masyarakat Islam negara ini kerana orang Melayu tidak dapat dipisahkan.

Pada sidang media pagi ini, ketika ditanya sama beliau ada meletakkan syarat-syarat berhubung pertemuan itu, Abdullah berkata, itu semua tidak perlu dan pada peringkat ini, kedua-dua pihak hanya mahu mengadakan perbincangan antara mereka tanpa kehadiran pihak ketiga.

Kata beliau, perpaduan masyarakat Islam Malaysia menyumbang kepada imej dan perpaduan lebih baik ummah Islam dunia.

Katanya, antara isu yang dibincangkan adalah berhubung hal agama iaitu supaya tidak timbul perbalahan berhubung hal-hal yang berkaitan dengan Islam.

“Kita sudah muafakat apa yang perlu dijalankan dan jangan bergaduh atas isu agama misalnya.


“Kalau hal agama jadi isu politik, dia akan bawa masalah... Itu satu tajuk, ada tajuk lain..tak payahlah saya huraikan,” katanya.



Abdullah juga berkata, perjumpaan itu tidak membincangkan apa-apa kerjasama dengan pihak lain termasuk daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.



Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa ketika dihubungi mStar Online hari ini, turut mengakui perkara itu namun enggan mengulas lanjut.



"Saya tidak menafikan apa yang dikatakan Pak Lah (berhubung perjumpaan sebanyak tiga kali) itu betul.



"Bagaimanapun, saya tidak dapat mengulas lebih kerana PAS akan mengeluarkan kenyataan berhubung hal itu esok," katanya.


Di KOTA BAHARU, Timbalan Ketua Umno Bahagian Ketereh, Datuk Alwi Che Ahmad berkata, Umno di peringkat bawahan telah lama mewujudkan perbincangan dengan Pas mengenai isu-isu berkaitan umat Islam di negara ini.



Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas itu berkata, beliau sendiri sentiasa mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).



Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis perasmian berkelompok mesyuarat agung Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri cawangan-cawangan bahagian Ketereh semalam, Alwi berharap kedua-dua belah pihak ikhlas membincangkan masa depan umat Islam sambil mengetepikan perbezaan pandangan.



Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meminta adanya pihak ketiga sebagai hakim dalam muzakarah PAS-Umno yang dicadangkan.



Pun begitu Nik Aziz juga pernah menyuarakan pendapat bahawa sekarang bukan masa sesuai untuk parti itu bermuzakarah dengan Umno yang didakwanya kini berhadapan dengan kemelut kepimpinan.



Nik Aziz bagaimanapun tidak menolak bermuzakarah jika gesaan itu datangnya daripada akar umbi, diputuskan pada Perhimpunan Agung Umno dan Umno membuktikan parti itu ingin kembali kepada pendekatan Islam sebenar.



Tiga hari lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, PAS tidak harus meletakkan sebarang syarat untuk bermuzakarah jika parti itu benar-benar berminat untuk mengutamakan perpaduan umat Islam di negara ini.

No comments: