Sunday, July 20, 2008

Main belakang

10 Julai lalu, ketika tiada mana-mana akhbar lain menghidu berita berkenaan, Malaysian Insider yang diterajui oleh Brendan Pereira menyiarkan berita eksklusif bertajuk "Pak Lah to quit in June 2010". Selepas itu, barulah media-media lain berebut-rebut menyiarkan berita berkenaan - kesemuanya memetik Malaysian Insider.

Brendan ialah sahabat baik Khairy Jamaluddin, menantu Perdana Menteri.

Hari ini, dalam berita bertajuk "Political changes prompt Umno-Pas talks", laman web berita yang sama melaporkan seperti berikut:
Several nights ago, three senior leaders of Parti Islam SeMalaysia (PAS) sat across Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi in his private home, a short distance away from Istana Negara.
Dalam Harakahdaily, Tuan Guru Presiden membuat kenyataan seperti berikut:
PAS tidak menafikan bahawa memang telah ada pertemuan antara pimpinan tertinggi parti dengan YAB Perdana Menterti yang juga selaku Presiden Umno, bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama berkaitan umat Islam dan bangsa Melayu.

Perjumpaan pertama dengan YAB Perdana Menteri berlaku sejurus selepas PRU ke 12 yang lalu yang melibatkan YB Ustaz Nasharudin Mat Isa Timbalan Presiden PAS, Dato' Mustapha Ali, Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat dan YB Hj Abd Khalid Samad ahli parlimen Shah Alam.

Pertemuan ini telah pun dilaporkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak PAS.

Berikutan itu Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung PAS bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam.

Sehubungan dengan ketetapan itu pertemuan telah diadakan lagi di bangunan Parlimen yang melibatkan Timbalan Presiden PAS dan YAB Perdana Menteri, yang telah dilaporkan kepada saya dan Majlis Syura Ulamak.

PAS bersedia bagi menjayakan muzakarah dengan Umno ini demi kebaikan umat Islam dan bangsa Melayu di Malaysia.
Walaupun saya yang dituduh perekacipta kisah “half truth” dan fitnah telah mengajak pihak yang menuduh bermubahalah, tetapi ajakan saya yang bersungguh-sungguh tidak disambut dan si penuduh dengan lazatnya terus menuduh saya "blogger yang memang tersohor dan licik dengan kisah 'half truth' dan fitnahnya mungkin setanding dengan 'spin doctors' pra PRU12 dahulu."

Demi Allah, saya takut teramat takut nak main-main dengan hukum, ketetapan dan peraturan Allah s.w.t.

Tetapi, bukan untuk kepentingan saya, tetapi demi menegakkan kebenaran, saya amat bersedia untuk bermubahalah dengan si penuduh untuk membolehkan beliau membuktikan kebenaran kenyataannya itu - bahawa saya menulis "half truth" dan fakta yang tidak tepat dan berbaur fitnah dalam posting-posting saya yang beliau rujuk ketika menulis posting bertajuk "Jangan jadi Bal'am bin Ba'ura" atau posting bertajuk "Memegang saham dalam meruntuhkan 'Kepimpinan Ulamak'".

Fitnah? Lihat kenyataan Tok Guru Presiden di atas dan lihat cerita saya dalam posting sebelum ini. Saya sengaja tulis cara begitu. Tak apa, tak payahlah patah balik, saya siarkan semula cerita yang dimarahkan orang sebagai fitnah itu:
Pernah berlaku suatu ketika di negeri antah-berantah, si pemecahbelah persatuannya yang kemaruk jawatan tinggi hendak pergi berjumpa dengan ketua negeri itu yang sakit gila talak kepada rakyatnya. Si kemaruk itu hendak pergi dengan guru politiknya.

Syahadan dengan tiada disangka-sangka dan dengan tiba-tibanya, ketuanya hendak berpergian bersama-sama berjumpa dengan si gila talak itu.

Dihalanglah akan ketua itu dari berpergian oleh penghimpun rakyat yang menerima nasib malang kerana berhimpun di dalam pagar atas arahan ketuanya dan ketua dua persatuan lain yang berkawan dengan persatuan mereka. Sehingga ke saat akhir, bersungguh-sungguh akan si penghimpun rakyat itu mahu berkumpul di tei jalan. Namun tiadalah berdaya akan si penghimpun rakyat kerana telah dipersetujui akan ketua tiga persatuan supaya berhimpun di dalam pagar.

Menjadi perbualan rakyat jelata yang menceritakan bahawa ketua salah satu persatuan yang bermasalah dengan pengawal negeri sedang bersungguh-sungguh hendak mengambil hati pengawal-pengawal negeri lantaran dia sedang berlawan dengan masalah besar yang belum disahkan adakah buatan dirinya sendiri. Dibuatlah persetujuan supaya berhimpun di dalam pagar.

Adapun setelah berhimpun di dalam pagar, rakyat negeri menjadi marah kerana ada binatang terlepas ke dalam pagar. Dipukul dibalunlah oleh rakyat negeri dan ahli persatuan akan si penghimpun rakyat itu. Tiadalah dia berdaya berkata apa-apa kerana mahu mengawal rahsia persatuan dan memohon maaf sahajalah akan dia.

Akan tetapi, tiada siapa pun yang tahu betapa besarnya jasa si penghimpun rakyat itu yang menghalang akan ketuanya berjumpa si gila talak. Lalu disuruhlah akan penghimpun rakyat itu seorang ahli majlis mesyuarat negeri yang kebetulan adik kepada anggota tinggi kerajaan si gila talak untuk menemani akan si kemaruk jawatan tinggi dan guru politiknya menemui si gila talak.

Telah bercerita akan rakyat jelata bahawa tujuan si penghimpun rakyat menyuruh ahli mesyuarat negeri menemani si kemaruk jawatan dan guru politiknya itu adalah untuk memerhati akan perbuatan mereka ketika berjumpa si gila talak.
Itu kisah fitnahlah tu. Petang tadi, selepas tersiar berita pengakuan Perdana Menteri bahawa beliau telah tiga kali berjumpa dengan pemimpin PAS (berita yang dikemaskinikan di sini), saya menerima SMS demi SMS. Yang saya terkejut ialah SMS seorang pemimpin PAS yang kini berada di Sarawak yang tertulis waktu saya terima pada jam 21:11:41 malam, 20/7/08. Saya petik tanpa edit SMS beliau:
"Sapa 3org yang dolah sbut"
Patut saya yang tanya dia, bukan dia yang tanya saya. Terbalik kuang. Kebetulan, petang dan malam tadi saya tidak ada maklumat baru mengenai kerja dalam gelap itu (bukan rahsia partilah!). Saya tak terlepas tangan nak call kawan di dalam Keadilan yang banyak maklumat mengenai perkara itu. Dia antara yang paling kaya dengan maklumat mengenai perkara itu. Sebelum nak marah kat saya kerana mengutip maklumat dari orang Keadilan, izinkan saya beritahu bahawa dia seorang yang memelihara solatnya dan percaya Islam adalah ad-Din. Period.

Ketika merayau-rayau dalam alam siber ini, saya terjumpa bidasan serta-merta Naib Presiden PAS, Haji Husam Musa (kini di Mesir) di dalam posting bertajuk "Abdullah memancing, hati-hati" dalam blognya. Berita mengenai kenyataannya itu di sini.

Tak lama kemudian, saya terjumpa berita Bernama bertajuk "Pemimpin PAS diingatkan pertemuan kanya untuk peribadi bukan parti, kata Nik Aziz" yang memetik Tok Guru Mursyidul Am. Selepas itu, Malaysiakini menyiarkan berita bertajuk "Husam: PM mahu pecah belah PAS..." selepas pada petangnya menyiarkan berita bertajuk "PM sudah jumpa pemimpin tertinggi PAS".

Persoalan saya, Malaysian Insider yang menyiarkan dengan tepat tentang rancangan Perdana Menteri hendak mengaku kalah dan berundur pada Jun 2010 (berita berkaitan bapa mertua Khairy tentulah tepat), telah melaporkan seperti yang saya petik di atas. Tak pa, siar lagi:
Several nights ago, three senior leaders of Parti Islam SeMalaysia (PAS) sat across Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi in his private home, a short distance away from Istana Negara.
Sedangkan, sebelum ini, seorang pemimpin PAS yang melarang saya menyiarkan kerja-kerja dalam gelap ini telah mengingatkan saya:
"Tok sah tulis lagi la, bakaq. Mesyuarat (Jawatankusa PAS) Pusat dah buat keputusan mintak stop semua pertemuan yang hang tulis tu".
Jika benar apa yang dinyatakan oleh pemimpin PAS itu, dan jika benar laporan Malaysian Insider bahawa pertemuan terakhir diadakan beberapa malam yang lalu (several nights ago), tidakkah ia bermakna melanggar keputusan parti?!!

Saya sering dituduh membocorkan rahsia parti, tidak amanah apabila mendapat tahu rahsia parti, half truth, kaki fitnah dan sebagainya. Kononnya nak saman saya.

Rahsia parti? Kalau andaian tentang berapa sahaja kerusi PAS dijangka menang dalam pilihan raya dan perkara-perkara seumpama itu atau perkara-perkara terperingkat (classified) yang diputuskan mesyuarat PAS dan kemudian entah macam mana bocor kepada saya dan kemudian saya jaja suka hati saya dalam blog ini, itu bolehlah ditakrifkan rahsia parti. Dan, berdosa saya membocorkannya.

Tetapi kalau dedah perbuatan melanggar arahan parti atau mempersoalkan kredibiliti orang yang mahu jawatan tinggi parti, itu bukan membocorkan maklumat parti namanya. Apatah lagi kerja dalam gelap yang bertentangan keputusan mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Kerja dalam gelap bukan maklumat parti.

Seorang sahabat dari PAS Selangor yang mengantar SMS kepada saya jam 12:18:14 AM sebentar tadi menggunakan istilah "main belakang". Itu saya tak campur!

No comments: