Saturday, July 12, 2008

Jadikan nilai murni indeks pengukur prestasi

BATU GAJAH 12 Julai - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menasihatkan golongan pelajar agar sentiasa berpegang kepada prinsip hidup yang kukuh terutamanya dalam mempertahankan kebenaran dan keadilan.

Baginda bertitah, insan yang berprinsip teguh tidak akan berkompromi dalam soal kebenaran, berdolak-dalik, bersifat pepat di luar rencong di dalam, mengamalkan perangai lain padang, lain belalang dan membenarkan matlamat menghalalkan cara.

''Insan yang berprinsip tidak akan melakukan kezaliman sesama makhluk, tidak akan melakukan kezaliman terhadap alam dan kehidupan, tidak akan melakukan kezaliman terhadap ketenteraman dan keamanan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Hari Penghargaan 2008 Sekolah Menengah Sultan Yussuf dan perasmian Dewan Sultan Yussuf di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara.

Raja Dr. Nazrin bertitah, untuk itu amatlah penting kejayaan menyemai dan membina nilai-nilai murni dijadikan satu indeks prestasi pencapaian dalam proses membangunkan modal insan.

Baginda bertitah, pelajar harus disemai dengan rasa jijik terhadap kaedah yang ber- canggah dengan nilai-nilai murni seperti amalan meniru, bercakap bohong, sikap menipu atau perbuatan mendapatkan soalan bocor hanya untuk mencapai gred tinggi dalam penilaian peperiksaan.

Titah baginda, dunia hari ini secara kuantitatif telah melahirkan lebih ramai orang pandai dengan Sekolah Menengah Sultan Yussuf juga tidak kurang melahirkan ramai pelajar yang mencapai gred akademik lebih cemerlang.

''Perlumbaan berlaku untuk menentukan sekolah mana yang lebih berjaya melahirkan pelajar dengan deretan gred A teramai.

''Namun pencapaian gred A adalah sekadar pakaian luaran, jika para pelajar tidak menghayati, menghargai dan mengamalkan nilai-nilai murni; akan berlaku ketidakseimbangan pembangunan modal insan, lalu mengakibatkan masyarakat dan negara pa- da akhirnya berjalan tempang," titah baginda.

Sehubungan itu, baginda mahu ibu bapa dan guru mengimbangkan pencapaian luaran anak-anak dengan membina kekuatan dalaman melalui penyemaian nilai-nilai murni dalam jiwa anak-anak.

''Kepada pelajar-pelajar, binalah kekuatan dalaman supaya dapat menjadi gagasan kukuh dalam membina jati diri untuk muncul sebagai insan yang senantiasa berpegang teguh kepada prinsip; mengutamakan kebenaran dan melaksanakan keadilan ketika memenuhi amanah dan tanggungjawab," titah baginda.

Raja Dr. Nazrin turut mengingatkan pelajar bahawa pangkat dan jawatan bukan sekadar memberikan kuasa dan pengaruh tetapi juga meletakkan seseorang insan berdepan dengan ujian dan penilaian.

''Begitu ramai yang mendapat pangkat, mendapat jawatan, namun begitu sedikit yang berjaya menghadapi ujian untuk meninggalkan nama yang harum sepanjang zaman," titah baginda.

No comments: