Saturday, July 19, 2008

20 SAR Kelantan lebih ‘terbela’

Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Dua puluh Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Kelantan yang akan didaftarkan sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) pada 12 Ogos ini bakal menikmati kemudahan setanding sekolah bantuan lain.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata sebelum ini dua SAR yang berdaftar di bawah kementerian, iaitu Sekolah Menengah Agama (SMA) Tengku Amalin A’ishah Putri (SMAATAP) dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Tengku Amalin A’ishah Putri (SRAATAP) menerima peruntukan keseluruhan kira-kira RM9 juta sejak 2006.

Katanya, kementerian akan bekerjasama dengan Yayasan Islam Kelantan (YIK) bagi memudahkan sebarang bentuk bantuan disalurkan kepada sekolah terbabit pada masa akan datang dan ketika ini 20 daripada 66 SAR di Kelantan sudah memberi persetujuan.

Katanya, memorandum persefahaman (MoU) akan ditandatangani antara kementerian dengan Kerajaan Kelantan bagi membolehkan 20 SAR berkenaan didaftar sebagai SABK.

“Niat kita ikhlas untuk memberi pembelaan kepada SAR, memberikan prasarana dan perancangan lebih tersusun. Di negeri lain kita tengok penerimaan mereka terhadap usaha kita ini baik, tetapi kita tak salahkan kerajaan Kelantan.

“Kemungkinan wujud rasa syak wasangka dalam usaha kita nak mendaftarkan SAR ini, seolah-olah nak merampas sekolah agama rakyat Kelantan, nak ambil tanah, mengambil alih kuasa daripada ahli lembaganya. Itu semua tidak akan berlaku,” katanya kepada Berita Minggu.

Katanya, MoU berkenaan mendapat perkenan Sultan Kelantan dan Menteri Besar, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dijangka hadir untuk menyaksikan majlis menandatangani MoU berkenaan.

“Saya menjunjung kasih kerana mendapat perkenan Sultan Kelantan sendiri. Pembabitan Sultan, pemimpin kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Pelajaran di bawah BN, ia bakal direalisasikan demi masa depan anak bangsa kita,” katanya.

Hishammuddin berkata, menerusi usaha mendaftarkan SAR kepada SABK itu, kementerian berupaya untuk meningkatkan taraf pendidikan sekolah berkenaan, selain menarik taraf guru serta sistem pengajaran mereka.

No comments: