Monday, July 28, 2008

Laporan disiar portal dipertikai

Oleh Faiza Zainudin dan Sazarina Shahrin

bhnews@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mempersoalkan kesahihan laporan perubatan sulit Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disiarkan sebuah portal berita.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata laporan portal berita itu boleh dipertikai kerana tidak diketahui sumbernya, selain mendahului siasatan pihak berkuasa dan memberi gambaran salah kepada orang ramai.

“Sebagai portal, ia kena bertanggungjawab dari mana mendapat sumber berita itu. Kalau tidak ia satu tindakan berniat jahat iaitu usaha untuk memberi maklumat sebelum mahkamah atau polis membuat keputusan.

“Kita tidak tahu kesahihan maklumat itu, betul ke doktor yang rawat Mohd Saiful menulis laporan berkenaan. Apa pun, biar polis dan hospital siasat perkara ini dan badan kehakiman menentukan kes liwat itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas laporan portal itu yang mendakwa tiada bukti Mohd Saiful diliwat berdasarkan laporan perubatan diperoleh dari Hospital Pusrawi, Jalan Tun Razak.

Laporan perubatan dua muka surat dikatakan oleh Dr Mohamed Osman Abdul Hamid, yang memeriksa tubuh Mohd Saiful, mengesahkan tiada kesan dia diliwat.

Mohd Saiful menemui doktor itu pada 28 Jun lalu, mengadu dia sakit dubur ketika membuang air besar.

Mengikut hasil laporan itu, tiada sebarang kesan liwat seperti didakwa selain tiada kesan koyak pada kulit, pendarahan aktif dan kesan nanah.

Dr Abdul Latiff juga mempersoalkan bagaimana laporan perubatan sulit itu boleh terlepas ke tangan pihak lain.

“Sekiranya doktor yang memeriksa Mohd Saiful yang membocor maklumat kepada pihak tidak bertanggungjawab, tindakan tegas boleh diambil mengikut etika perubatan seperti menggantung lesen,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr Khoo Kah Lin, berkata pendedahan laporan perubatan adalah perbuatan melanggar etika kerana ia rahsia antara pesakit dan doktor.

Beliau juga menggesa laporan itu disiasat bagi menentukan kesahihannya.

“Sesiapa saja boleh menyatakan itu laporan sebenar tetapi kita harus mengesahkan kesahihannya sebelum mempercayai kandungannya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Peguam Mohd Saiful, Zamri Idrus, berkata laporan itu tidak menjejaskan semangat anak guamnya untuk mempertahan kesnya.

Pengarah Hospital Pusrawi, Wan Mahmud Wan Yaakob dan pegawai kanannya gagal dihubungi untuk mendapatkan maklumat.

No comments: