Saturday, July 12, 2008

Jadikan keputusan pilihan raya lalu satu pengajaran perit

KUALA LUMPUR 12 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu semua parti komponen Barisan Nasional (BN) menjadikan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu sebagai satu pengajaran yang amat memeritkan.Beliau berkata, keputusan tersebut mempunyai seribu hikmah serta kebaikan dan bukannya satu tragedi yang harus diratapi selama-lamanya.

Menurutnya, pada pilihan raya lalu rakyat telah memberi mesej cukup jelas bahawa terdapat di kalangan mereka tidak berpuas hati dengan BN dan sesuatu perlu dilakukan supaya keadaan itu dapat dipulihkan segera.

Sehubungan itu, katanya, sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi BN, beliau tidak harus mengetepikan sentimen tersebut begitu sahaja kerana ia pasti akan memberi impak yang lebih buruk pada pilihan raya umum akan datang.

''Perlu diakui dan saya berpendapat, apa pun yang merupakan kesusahan, apa pun yang merupakan kegagalan dan apa pun yang merupakan dukacita yang amat sangat bagi kita, anggaplah ini sebagai satu pengajaran kerana ini bukan satu tragedi tetapi pengajaran yang memeritkan.

''Yang penting kita tidak boleh mengambil sikap sambil lewa terhadap mesej rakyat tersebut. Jika ini yang terjadi saya percaya kesusahan akan bertambah serius pada masa hadapan,'' katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan 3,300 perwakilan MIC ketika merasmikan Perhimpunan Agung parti itu yang ke-62 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak: Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu: Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting dan Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Perdana Menteri berkata, BN harus bangkit untuk memenangi semula hati rakyat dan bukannya meratapi keputusan yang menyaksikan kemerosotan BN sebelum ini.

''Apa yang berlaku, telah pun berlaku. Apa yang penting ialah reaksi kita selepas itu dan apa yang patut kita lakukan selepas itu,'' katanya.

Dalam pada itu Abdullah berkata, Dewan Tertinggi BN baru-baru ini telah merangka satu pelan bagi memastikan BN kembali gagah dan mampu memberi khidmat yang lebih baik kepada rakyat.

''Kita mahu semua parti komponen bangkit. Kita mahu BN menjadi gagah semula dengan menyusun usaha membantu rakyat,'' katanya lagi.

Kata beliau, MIC merupakan parti komponen yang kini dilihat sedang menuju ke arah itu dan berharap langkah tersebut dapat diteruskan demi kebaikan rakyat.

''UMNO dan parti komponen BN yang lain akan tetap bersama MIC pada setiap masa dan memberikan sokongan kepada parti ini. MIC merupakan rakan lama komponen BN dan kami tidak akan membiarkan mereka,'' katanya.

Menurutnya, kerajaan juga telah terpaksa mengambil pendekatan tidak popular bagi menangani masalah kenaikan harga minyak dunia walaupun ia menimbulkan cemuhan rakyat.

''Tujuannya kita mahu memastikan rakyat tidak menanggung beban yang berpanjangan sehingga ke masa akan datang.

''Setiap keputusan yang dibuat mungkin tidak popular tetapi kita mesti lakukan juga kerana kerajaan perlu bertanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negara,'' kata Abdullah.

Dalam ucapannya itu, beliau turut mengumumkan beberapa langkah segera bagi meningkatkan tahap pendidikan pelajar kaum India, sama ada di peringkat sekolah atau universiti yang boleh memberikan manfaat jangka panjang kepada kaum ketiga terbesar negara ini.

Beliau berkata, kerajaan antaranya telah bersetuju untuk menambah bilangan sekolah Tamil bantuan modal yang banyak terdapat di luar bandar ditukar menjadi sekolah bantuan penuh.

''Kerajaan juga akan menyegerakan proses penggabungan atau konsolidasi sekolah-sekolah Tamil yang muridnya kurang daripada 50 orang,'' katanya lagi.

Menurut Abdullah, kerajaan turut bersetuju pelajar-pelajar di University Asian of Medicine, Science and Technology (AIMST) kelolaan MIC di Kedah memohon biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

No comments: