Friday, July 18, 2008

Anwar minta Syed Hamid berhenti buat kenyataan

KUALA LUMPUR 18 Julai - Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Menteri Dalam Negeri, Datuk Syed Hamid Albar berhenti daripada mengeluarkan kenyataan berhubung kes liwat melibatkannya kerana ia boleh menjejaskan siasatan polis.

Peguamnya, R. Sivarasa berkata, sekiranya Syed Hamid terus mengeluarkan pelbagai kenyataan ia mungkin boleh mengganggu siasatan.

"Kenyataan beliau (Syed Hamid) semalam bahawa anak guam saya tidak perlu takut menjalani ujian DNA (asid deoksiribonukleik) dan boleh guna doktor sendiri jelas mencampuri siasatan polis.

"Sedangkan, pengambilan sampel untuk ujian DNA anak guam saya masih tak perlu pada masa ini memandangkan siasatan belum sampai ke tahap itu," katanya dalam sidang akhbar di rumah Anwar di Bukit Segambut di sini petang ini.

Sivarasa berkata, DNA itu tidak perlu dilakukan sekarang kerana tiada bukti kukuh yang dapat mengaitkan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dengan kes liwat berkenaan.

"Kita hairan kenapa ia (pengambilan sampel DNA) jadi isu utama," katanya.

Sivarasa turut memberi jaminan bahawa anak guamnya itu bersedia berjumpa dan bekerjasama dengan pihak polis pada bila-bila masa.

Ditanya pemberita di manakah Anwar berada pada 26 Julai lalu, Sivarasa berkata, semua keterangan telah diberikan kepada pihak polis.

Jelasnya, beliau tidak menolak kemungkinan ekoran keengganan memberi sampel DNA, Anwar mungkin akan ditahan semula.

No comments: