Sunday, December 31, 2006

Najib: Tambah pajak gadai Islam, sekat kegiatan Along

30-12-2006 08:49:43 PM

PEKAN: Cawangan perkhidmatan pajak gadai Islam Ar-Rahnu di seluruh negara akan ditambah bagi mengelak orang ramai khususnya yang beragama Islam meminjam wang daripada Ah Long.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata buat masa ini, terdapat 160 cawangan Ar-Rahnu di seluruh negara.

"Kerajaan sedang berunding dengan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) bagi menambah cawangan Ar-Rahnu sehingga 400 buah tidak lama lagi," katanya ketika berucap di majlis ramah mesra bersama penduduk Chini 5 di sini hari ini.

Beliau berkata dengan penambahan cawangan itu, orang ramai sekurang-kurangnya mempunyai alternatif meminjam wang melalui saluran yang betul.

"Kita tidak mahu mereka meminjam wang daripada Ah Long kerana kelak tindakan itu akan menjerut leher sendiri," katanya.

Beliau berkata pajak gadai berprinsipkan Islam bukan sahaja mengelak orang ramai daripada sebarang kerumitan malah menambah pendapatan ekonomi umat Islam.

Terdahulu, Najib merasmikan cawangan Umno Chini 5 Jaya yang merupakan cawangan ke133 di kawasan parlimen Pekan di Perkampungan Felda Chini 5 di sini.

Dalam ucapan perasmiannya, Najib berkata pembukaan cawangan itu menunjukkan Umno terus berkembang dan mendapat sokongan padu semua lapisan masyarakat.

"Teguhnya Umno adalah berpaksikan akar umbi dan perjuangan kita akan lebih mantap lagi kerana perjuangan kita atas nama bangsa, agama dan negara," katanya,
Beliau berkata penduduk Felda kini jauh lebih selesa dan anak-anak Felda berjaya berkat perjuangan Umno. BERNAMA

No comments: