Thursday, December 21, 2006

Apabila Fatah berdegil

Oleh: AZLINARIAH ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN)

DALAM sejarah, tidak pernah ada pemimpin Amerika Syarikat (AS) yang memuji akan demokrasi di Palestin. Seingat kita, semuanya mencemuh proses damai di rantau itu. Rata-rata membidas bahawa kesilapan pemimpin Palestin yang membuatkan konflik di antara Israel-Palestin berlarutan begitu lama.

Cemuhan yang dibuat akhirnya membawa kepada kutukan terhadap pemimpin Palestin itu sendiri, bukannya di pihak Israel. Sebagai contoh, apa yang tidak diperkatakan oleh pemimpin AS ke atas pemimpin pejuang Palestin, Yasser Arafat.

Arafat pernah dituduh tidak komited dalam perjuangan damai di Palestin selain rasuah dan mendalangi keganasan ke atas Israel.

‘‘Arafat ialah orangnya yang menjadi duri dalam daging proses damai di Asia Barat. Selagi hayatnya ada, Israel dan Palestin tidak akan dapat berdamai.’’ Itu adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon sebelum ini. Ia juga disokong oleh pentadbiran di Washington, Presiden George W. Bush. Kini, telah lebih tiga tahun Arafat meninggal dunia manakala Sharon pula nazak di hospital akibat diserang angin ahmar sejak awal tahun ini.

Dalam hal ini, dapat diringkaskan bahawa segala yang buruk itu adalah Palestin, yang baik-baik pula Israel. Yang nista ialah pemimpin Palestin, yang elok pula pemimpin Israel. Namun dalam banyak pemimpin di AS, bekas Presidennya, Jimmy Carter pernah mengeluarkan kenyataan memuji pilihan raya perundangan Palestin yang diadakan pada 25 Januari lepas.

‘‘Inilah pilihan raya terbersih, paling demokratik pernah diadakan dalam sejarah di rantau Asia Barat,’’ kata Carter sebelum ini dengan merujuk kepada pilihan raya Parlimen Palestin yang memberi kemenangan kepada Hamas.

Hamas mendapat mandat daripada rakyat Palestin untuk mewakili mereka bagi tempoh lima tahun akan datang. Itu adalah hakikat. Realitinya pula, Fatah tidak diterima oleh ramai rakyat Palestin kerana dakwaan banyak pemimpin kalangan mereka terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa. Apabila ini semua berlaku, telah ada dua kumpulan yang tidak sependapat atau tidak sehaluan lagi. Fatah dengan kumpulan mereka manakala Hamas pula bersama kelompok mereka. Itulah yang membawa kepada sengketa terbaru di Palestin – kerana mereka tidak sependapat.

‘‘Isunya sekarang ialah Fatah enggan menerima kekalahan mereka. Titik. Kumpulan ini pula bukan sahaja tidak boleh terima hakikat bahawa mereka tewas tetapi cuba pula menafikan kemenangan Hamas dengan cara bersekongkol bersama Israel dan Barat.

‘‘Mereka yang tewas ini sedaya upaya tidak mahu Hamas terus menambat hati rakyat Palestin. Caranya mereka cuba mempersalahkan Hamas di atas apa yang berlaku sekarang. Contohnya, bantuan kepada Palestin, bukan sahaja tidak boleh disalurkan tetapi disekat sama sekali untuk sampai kepada rakyat Palestin. Apabila ini terjadi, Hamas yang memerintah perlu memikul silap, bukannya Fatah. Dan apabila ini berlaku, senang bagi kumpulan tewas mengambil peluang yang terbuka luas,’’ ujar Profesor Dr. Mohammad Redzuan Othman, yang cuba mengupas secara panjang lebar pergaduhan terbaru di antara Fatah dan Hamas.

Kepada Timbalan Dekan Fakulti Sejarah dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM) ini, apabila ditanya apakah di sebalik konflik di Palestin, beliau menjawab begini: ‘‘Ia sukar diselesaikan. Di belakang Fatah, berdiri kuasa Barat dan Israel. Hamas pula melambangkan hati nurani rakyat Palestin. Pertembungan ‘kuasa’ ini boleh melanjutkan tempoh persengketaan. Ia tidak akan mengubah apa-apa, bukan ke mana-mana.’’

Menurut laporan, sengketa Hamas dan Fatah sejak lebih seminggu lalu telah meragut 14 nyawa termasuk lima orang kanak-kanak cedera. Krisis yang bermula dengan serangan ke atas kumpulan yang setia kepada Hamas, disusuli kemudiannya dengan cubaan membunuh Perdana Menteri, Ismail Haniyeh (Hamas) itu dilaporkan hampir menjerumus kepada perang saudara.

Membicarakan sisi lain berhubung soal konflik di Palestin, kata Mohammad Redzuan, ia mengukuhkan pandangan bahawa kumpulan berkelompok Islamis tidak akan pernah sesekali mahu mengaku kalah berbanding kumpulan berhaluan nasionalis sekular. Mereka ini tidak akan boleh saling bekerjasama dalam keadaan apa sekalipun. Contoh jelas ialah apa yang berlaku di Algeria, Indonesia, Mesir dan Pakistan serta Filipina. Ini semua adalah nasionalis sekular. Pemimpin Filipina, Ferdinand Marcos setelah ditewaskan akibat kuasa rakyat, tetapi boleh menerima dengan baik kepimpinan Corazon Aquino selepas itu.

Tetapi ini tidak berlaku kepada kumpulan berhaluan Islamis. Inilah juga apa yang berlaku di Palestin selain Iraq dan Iran.

Fatah dan Hamas tidak akan boleh bersatu. Hamas tidak boleh bekerjasama dengan Fatah kerana di belakang kumpulan itu ialah Barat. Seperti lembu dicucuk hidung, Fatah turut sama mengiktiraf Hamas sebagai kumpulan pengganas. Hal Fatah mengikut telunjuk Barat dan Israel bukan perkara yang boleh disembunyikan lagi. Soal Fatah, yang diasaskan oleh Arafat sanggup diperkudakan oleh Barat, sudah terang lagi bersuluh. Apabila berlaku krisis terbaru di antara Fatah-Hamas ini, Perdana Menteri, Mahmoud Abbas dilaporkan dikunjungi oleh Perdana Menteri Britain, Tony Blair.

Terbaru dalam satu laporan pula, Mahmoud Abbas dinyatakan berkata bahawa: ‘‘Roti itu lebih penting daripada demokrasi.’’ Maknanya untuk makan atau kelangsungan hidup, Palestin (lebih khusus Fatah) sanggup menggadaikan harga demokrasi. Ertinya juga, mereka lebih mementingkan makanan.

Hamas ialah kumpulan yang membantu rakyat Palestin daripada terus dibelenggu cengkaman Barat dan Israel.

Israel menuduh Hamas pengganas dan apabila bercakap mengenai perdamaian, rejim itu meletakkan syarat meminta Palestin menggantungkan serangan.

‘‘Untuk rekod, Hamas sudah tidak melancarkan serangan ke atas Israel sejak tahun 2004. Mereka ini jenis yang mematuhi syarat dalam gencatan senjata. Kalau pun ada serangan ia adalah untuk mempertahankan diri.’’

Apabila Israel berkata mereka memerlukan pengiktirafan Hamas sebelum Hamas diiktiraf, soalan itu harus diajukan semula kepada Israel.

‘‘Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) atau Fatah telah lama iktiraf rejim. Tetapi apa yang rakyat Palestin dapat daripada sebuah pengiktirafan itu? Jawapannya, tiada apa-apa, yang ada derita serta sengsara berpanjangan,’’ tegas Mohammad Redzuan.

Ini jelas beliau, kembali semula kepada isu pokok atau akar umbi masalah Israel-Palestin. ‘‘Isunya bukan Israel, akarnya juga tidak perdamaian. Isu atau akar umbi ialah Fatah yang enggan mengaku kalah. Itu adalah persoalannya.’’ Jadi, jalan penyelesaian ialah perdamaian Fatah dan Hamas, itu pun jika ia boleh dilakukan.

Kalau itu gagal diselesaikan, usah bercerita mengenai sebarang inisiatif ke atas Palestin yang mungkin telah dan bakal diadakan pada masa akan datang.

No comments: