Friday, January 05, 2007

Batu Talam: PAS belum pasti, Umno susun jentera

05-01-2007 03:46:45 PM

MARANG: Keputusan sama ada PAS akan bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam, Pahang, akan diketahui Isnin ini kerana ada cadangan supaya parti itu memulaukan sahaja pilihan raya berkenaan.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata mesyuarat Jawatankuasa Pusat akan dilangsungkan di Kuala Lumpur pada tarikh itu bagi mendapatkan laporan daripada Badan Perhubungan PAS Pahang, selain mendengar pandangan daripada anggota jawatankuasa PAS Pusat mengenai pilihan raya kecil itu.

"Keputusan muktamad (sama ada bertanding pada pilihan raya kecil Batu Talam atau sebaliknya) akan diputuskan Isnin ini. Bergantung kepada laporan daripada PAS Pahang kerana mereka dan pemimpin PAS di Batu Talamlah yang akan bekerja.

"(Bagaimanapun) pada dasarnya, bagi menghidupkan demokrasi, insya allah PAS akan terus menyertai pilihan raya kecil DUN Batu Talam," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Rusila dekat sini hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 16 Jan ini sebagai hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Batu Talam dan pengundian akan berlangsung pada 28 Januari sekiranya terdapat pertandingan.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Datuk Tengku Paris Tengku Razlan daripada Barisan Nasional (BN) pada 27 Dis lepas kerana barah paruparu dan usus.

Pada pilihan raya umum 2004, Tengku Paris menang dengan majoriti 2,761 undi. Beliau mememperoleh 5,414 undi, menewaskan calon PAS, Dr Mohamed Nilam Abdul Manap yang meraih 2,653.

Abdul Hadi membayangkan bahawa sekiranya parti itu bertanding pada pilihan raya tersebut, peluang PAS untuk menang adalah sukar kerana Umno dan BN sudah tentu akan menggunakan seluruh jentera kerajaan.

Beliau berkata berdasarkan pengalaman lepas terutama dalam menghadapi pilihan raya kecil, BN akan menggunakan seluruh jentera dan petugas kerajaan termasuk media, untuk membantu mereka mencapai kemenangan di sesuatu kawasan itu.

"Namun demikian, tidak mustahil kita akan menang tetapi ia bukannya mudah. (Bagaimanapun) sekurang-kurangnya kita dapat menggembleng jentera pilihan raya PAS di semua peringkat bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya.

Abdul Hadi turut membayangkan bahawa jika PAS bertanding, calon parti itu merupakan pemimpin tempatan berpengaruh di kawasan itu yang boleh membela nasib rakyat.

"Bagaimanapun, senarai akhir calon bergantung kepada laporan PAS Pahang. Mungkin juga kita letakkan calon dari luar," katanya, dengan menambah jumlah majoriti yang diperoleh calon BN di kawasan itu pada pilihan raya umum lepas bukannya besar.

Sementara itu di RAUB, Umno bahagian itu telah menggerakkan jentera pilihan rayanya sebagai persiapan awal menghadapi pilihan raya kecil kerusi Batu Talam pada 28 Jan ini.

Ketua Umno Bahagian Raub Datuk Shahiruddin Ab Moin berkata antara persediaan awal itu ialah penubuhan beberapa jawatankuasa seperti penamaan calon, penerangan, peti undi, pengangkutan, keselamatan, gerak gempur dan tugas khas.

"Kita telah mengarahkan semua cawangan Umno di DUN Batu Talam supaya membuat persediaan awal dan membuka bilik gerakan masing-masing," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, persedian awal itu perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang pertindihan tugas dan masalah di samping memantapkan jentera pilihan raya tersebut.

Shahiruddin berkata kesemua 12,000 anggota daripada 70 cawangan Umno bahgaian Raub diminta bersama-sama membantu bagi meraih kemenangan calon Barisan Nasional pada pilihan raya itu nanti.

"Kita tidak memandang mudah pilihan raya kecil ini walaupun DUN Batu Talam ini adalah kubu kuat BN sejak merdeka lagi. Kita akan bekerja keras bagi memastikan kerusi DUN ini akan terus menjadi milik BN kali ini," katanya.

Sementara itu, penduduk DUN Batu Talam mahu BN memilih anak tempatan sebagai calon pilihan raya itu nanti kerana hanya anak tempatan sahaja yang mengetahui dan memahami masalah penduduk setempat.

Anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Cheruh, Lim Ah Heng, 54, berkata tidak dinafikan orang luar boleh dipilih sebagai calon, namun jika anak tempatan dipilih, penduduk dapat berjumpa dengannya setiap masa.

"Bekas wakil rakyat iaitu Datuk Tengku Paris Tengku Razlan merupakan anak tempatan yang banyak membantu penduduk menyelesaikan masalah terutama berkaitan tanah, masalah persekolahan anak-anak dan pembangunan, tanpa mengira kaum," katanya.

Yunus Lebai Man, 64, pula berharap bakal calon yang dikemukakan BN mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Kalau boleh biarlah anak tempatan yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat kerana sebahagian besar penduduk di sini terdiri daripada petani yang banyak bergantung hidup kepada tanah," katanya. BERNAMA


No comments: