Tuesday, December 26, 2006

Penduduk bimbang kawasan perkelahan dikorek pasir

Rizal Tahir
Tue | Dec 26, 06 | 10:09:15 AM


TUMPAT, 26 Dis (Hrkh) –
Selepas dibantah penduduk, kontraktor yang mengorek pasir di Pantai Geting dekat sini, kini menggunakan taktik baru iaitu menggali pasir di tepi laut pula.

Malah lubang besar yang terbentuk akibat pasir dikorek sejak sebulan lalu juga telah ditimbuskan tiga hari lalu. Namun persoalannya bagi penduduk, kawasan perkelahan mereka tetap rosak.

Seorang penduduk tempatan, Kamalzelan Abu Talib, 32 berkata, kerja-kerja mengorek pasir di kawasan daratan di Pantai Geting sudah dihentikan dan kawasan yang berlubang akibat dikorek telah ditimbus semula.

“Namun kontraktor terbabit pula menggali pasir di tepi pantai iaitu di gigi laut sehingga menyebabkan kawasan itu menjadi dalam dan orang ramai tidak dapat lagi berkelah seperti biasa.

“Penduduk masih tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut kerana difahamkan pihak berkuasa tidak pernah meluluskan pasir di kawasan itu digali untuk ditimbuskan bagi kerja-kerja pembinaan Maktab Rendah Sains Mara di kawasan berdekatan,” katanya di sini.

Minggu lepas lebih 100 penduduk menandatangani memorandum membantah kerja-kerja mengorek pasir tersebut dan telah dihantar ke Pejabat Menteri Besar. Ekoran itu kerja-kerja menggali pasir di kawasan daratan dihentikan.

Dan lubang besar yang terbentuk akibat pasir digali telah ditimbus semula. Bagaimanapun pasir yang digunakan bagi menimbuskan lubang itu digali di tepi laut.

Difahamkan pihak berkuasa hanya meluluskan kerja-kerja menggali pasir dilakukan di Kuala Pantai Seri Tujuh yang terletak agak jauh dari tapak pembinaan MRSM.

Projek pembinaan MRSM itu dijalankan di kawasan yang ditebusguna daripada paya. Difahamkan projek itu mempunyai hubungan rapat dengan seorang pemimpin Umno tempatan.

Kamalzelan juga melahirkan rasa kesal kerana Adun Barisan Nasional dari Pengkalan Kubur langsung tidak mengambil endah masalah tersebut biar pun isu itu mendapat bantahan penduduk tempatan.

Seorang lagi penduduk Zulkifli Mahmood, 44 berkata, kontraktor yang terbabit dengan pembinaan MRSM hanya mahu melakukan kerja mudah dan tidak menggali pasir di kawasan yang diluluskan iaitu di Kuala Pantai Seri Tujuh.

“Pantai Seri Tujuh pernah mengalami hakisan tujuh tahun dahulu akibat kerja-kerja pengambilan pasir. Bagaimanapun telah pulih semula beberapa tahun lalu selepas ditimbus semula oleh ombak,” katanya.

Beliau bimbang Pantai Geting akan mengalami nasib serupa Pantai Seri Tujuh sekiranya kerja-kerja menggali pasir tidak dihentikan segera.

Rosdi Abdul Ghani, 42 mendakwa kontraktor yang terbabit dengan projek berkenaan dimiliki pemimpin Umno.

Malah katanya, orang yang rapat dengan pemimpin Umno terbabit pernah mengugut penduduk kampung untuk tidak lagi diberi bantuan kerajaan Pusat sekiranya membuat laporan mengenai kegiatan mengorek pasir.

“Kegiatan mengambil pasir di pantai berkenaan kadang-kadang berlarutan sehingga lewat malam. Lima jengkaut digunakan untuk mengambil pasir,” ujarnya.

Kampung Pantai Geting didiami hampir 200 keluarga yang rata-ratanya bekerja sebagai nelayan.

Sementara itu, Penyelia Dun Pengkalan Kubur, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmood gagal dihubungi bagi mendapat penjelasan lanjut mengenai isu tersebut.

No comments: