Wednesday, December 27, 2006

Malaysia tidak perlu Mufti Besar: Harussani

27-12-2006 10:27:32 PM
Oleh SALHAN K. AHMAD

KUALA LUMPUR: Mufti negeri Perak Datuk Seri Harussani Zakaria hari ini menolak mentah-mentah cadangan supaya ditubuhkan jawatan Mufti Besar kerana bimbang ia akan menghapuskan kuasa Raja-raja ke atas perkara-perkara melibatkan agama Islam.

Beliau turut menuduh Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas yang membuat cadangan diwujudkan jawatan Mufti Besar itu sebagai tidak berhak memperkatakan isu-isu penting mengenai agama.

Katanya, pendapat bahawa kepincangan pendapat di kalangan para ilmuan agama dan mufti di negara ini pada masa kini disebabkan oleh ketiadaan tokoh yang paling berhak untuk memperjelaskan isu-isu berkaitan umat Islam adalah tidak tepat.

Dr Syed Ali Tawfik, ketika membuat cadangan agar diperkenalkan jawatan Mufti Besar, berpendapat langkah itu akan dapat mengelakkan Islam daripada menjadi porak-peranda akibat pertelingkahan pendapat pihak-pihak yang bertindak hanya mengikut kepentingan masing-masing.

Ketika dihubungi mStar Online hari ini, Harussani berkata kepincangan yang berlaku sekarang timbul kerana ada pihak yang tidak berhak tetapi telah diberi peluang untuk membincangkan isu-isu agama secara terbuka.

Ketika diminta menjelaskan golongan manakah pada pendapat beliau dianggapnya tidak berhak untuk bersuara mengenai isu-isu agama, Harussani berkata:

"Orang macam Syed Ali itulah. Dia tidak ada kuasa dan hak (authority), tapi nak bercakap soal agama. Mufti-mufti ini sudah dilantik oleh kerajaan dan Sultan, mereka berhak untuk berbicara tentang agama."

Katanya lagi, peruntukan mengenai kuasa Raja-raja ke atas hal-ehwal agama Islam sudah termaktub dalam Perlembagaan dan sebarang percubaan untuk mewujudkan jawatan Mufti Besar sebagai orang paling berhak untuk bercakap mengenai isu-isu berkenaan akan melunturkan kuasa Raja-raja ke atas perkara tersebut.

Ditanya jika Mufti Besar boleh dilantik mengikut pemasyhuran sultan negeri mereka sebagai Yang di-Pertuan Agong seperti cadangan yang dilontarkan Dr Syed Ali sebelum ini, beliau berkata: "Itu tidak timbul kerana Yang di-Pertuan Agong hanya berkuasa di Wilayah Persekutuan sahaja.

"Inilah masalahnya, orang seperti itu tidak boleh berbicara tentang Islam sebab mereka berhujah menggunakan nafsu sahaja."

No comments: