Thursday, December 28, 2006

Batu Talam: PAS cepat pukul gendang perang

28-12-2006 09:22:35 PM

KOTA BARU: Walaupun tarikh pilihan raya kecil Dewan Negeri Batu Talam di Pahang belum diumumkan ekoran kematian wakil rakyatnya, Datuk Tengku Paris Tengku Razlan semalam, PAS telah mula memukul gendang perang.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menyuarakan keyakinan parti itu mempunyai peluang cerah untuk menang berikutan apa yang beliau sebut "masalah moral yang melanda Barisan Nasional (Barisan) kebelakangan ini".

Menteri Besar Kelantan itu berkata pilihan raya kecil itu, sekiranya diadakan, akan menjadi garis panduan kepada penerimaan rakyat terhadap dasar Barisan selama ini.

"Perkembangan yang ada sekarang, masalah moral amat serius dan boleh memberi kesan besar kepada Barisan. Barisan tak boleh mengurus moral kalau ia tolak Islam.

"Mana boleh hidup tanpa moral, bila berlaku kejatuhan moral dengan teruk rakyat akan menilai kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan cawangan kedua Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) di sini.

Tengku Paris, 65, meninggal dunia akibat barah usus.

Allahyarham Tengku Paris mengalahkan calon PAS untuk memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2004.

Menurut Nik Abdul Aziz, rakyat tetap menilai sejauh mana keberkesanan dasar kerajaan yang memerintah terutamanya dalam membendung masalah sosial.

"Sepatutnya pengundi di Batu Talam melihat kepada kesan-kesan keruntuhan yang berlaku sekarang ini," katanya.

Ketika ditanya peluang PAS dalam pilihan raya kecil itu, Nik Abdul Aziz memberi jawapan ringkas, "insya Allah". BERNAMA

No comments: