Thursday, December 28, 2006

Gempa di Taiwan ganggu akses Internet di Malaysia

27-12-2006 09:03:13 PM

TAIPEI, Taiwan: Gempa bumi kuat yang melanda pantai selatan Taiwan malam tadi telah merosakkan kabel bawal laut, mengakibatkan talian telefon putus dan khidmat Internet terganggu ke beberapa kawasan di C hina, Korea Selatan, Jepun, negara-negara Asia Tenggara dan Amerika Syarikat.

Gempa itu juga menyebabkan dua orang terbunuh.

Kerja-kerja memperbaiki kabel yang rosak itu akan mengambil masa sehingga tiga minggu, tetapi mutu perkhidmatan akan meningkat dari sehari ke sehari, kata naib pengurus besar Chunghwa Telecom Co, Lin Jen-hung.

Katanya, kerosakan kabel itu menyebabkan kapasiti komunikasi antara Taiwan dengan Malaysia, Singapura, Thailand dan Hong Kong terganggu pada tahap 98%.

Kerosakan itu juga memutuskan talian khidmat Internet bagi ramai pengguna Hong Kong yang kini tidak dapat mengekses laman-laman web di Asia dan AS.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, perkhidmatan internet oleh TM Net Sdn Bhd sekarang ini mengalami suatu gangguan prestasi disebabkan sambungan talian sesak dan melampau di beberapa jaringan internet antarabangsa.

Di dalam satu kenyataannya yang dikeluarkan di sini hari ini, syarikat itu berkata ia telah mengambil tindakan cepat dengan mengalih laluan trafik ke jaringan-jaringan sokongan lain bagi mengurangkan kesesakan.

"Para pengguna internet di Malaysia dan bahagian-bahagian lain di negara ini mungkin mengalami sedikit penangguhan dalam mengakses kandungan-kandungan dan laman-laman web berpangkalan di luar negara, terutamanya di Amerika Syarikat, Jepun, China, Taiwan, Korea Selatan dan Eropah," katanya.

Menurut TM Net, masalah yang berlaku adalah berikutan berlakunya gempa bumi pada skala magnitud 7.1 Richter di pantai selatan Taiwan hari ini, yang menyebabkan gangguan kepada kabel Asia Pasifik Rangkaian 2 Shantou, China dan Tanshui, Taiwan dan juga antara Lantau, Hong Kong dan Chongming, China.

"Ia telah menyebabkan sambungan internet yang melampau pada talian internet TM Net International secara sambungan transit atau pemula, terutamanya ke negaranegara yang disebutkan," katanya.

Syarikat memohon maaf jika gangguan itu menyebabkan ada pengguna merasa tidak selesa dan segala tindakan yang difikirkan perlu untuk mengaktifkan semula taliantalian yang terjejas sedang diambil.

Para pelanggan boleh menghubungi Pusat Interaksi Pelanggan TM Net di talian 1300889515 (24 jam) atau 1300881515 dari 8 pagi hingga tengah malam atau emelkan ke custcare@tm.net.my untuk pertanyaan lanjut.

No comments: