Monday, December 18, 2006

Tidak perlu aibkan pasangan khalwat dalam akhbar

18-12-2006 10:27:56 AM

SUNGAI PETANI: Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin menyokong gesaan supaya kes khalwat tidak diperbesarkan dalam akhbar kerana ia hanya memalukan mereka yang ditangkap selain bukan merupakan jalan yang berkesan untuk mendidik umat Islam supaya menjauhi maksiat.

Zainuddin yang mengulas kenyataan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa kes tangkap khalwat tidak perlu diperbesarkan, berkata beliau sendiri tidak bersetuju terhadap tindakan mendedahkan kes tangkap khalwat dalam akhbar termasuk menyiarkan gambar pasangan yang ditahan.

"Tindakan membetulkan akhlak seseorang tidak boleh dilakukan dengan memgaibkan orang berkenaan, tetapi ia harus dilakukan dengan cara berhemah dan pendidikan," katanya.

Beliau juga bimbang akhbar tidak dapat berlaku adil dalam membuat laporan kes tangkap khalwat itu.

"Ketidakadilan mungkin berlaku. Katakan yang kena tangkap itu orang biasa, surat khabar siarkan beritanya, tetapi apabila yang kena tangkap itu anak orang berkedudukan, akhbar tidak siarkan berita itu," katanya pada persidangan media selepas merasmikan seminar "Merbok-Prospek dan Potensi Pelancongan" di sini, Ahad.

Zainuddin juga berkata alim ulama juga harus melihat perkara yang lebih besar daripada "seronok" menahan orang berkhalwat.

Banyak lagi perkara besar yang berlaku di depan mata yang perlu dibendung bersama oleh alim ulama seperti kes ragut, rompak, mat rempit dan penagihan dadah, katanya.

Mengenai Anugerah Filem Pendek (AFP) 2006 yang ditutup penyertaan pada 11 Dis lepas, Zainuddin berkata penganjur menerima 227 penyertaan dalam enam kategori.

Katanya daripada jumlah itu, 24 merupakan penyertaan untuk kategori jenaka pendek, dokumentari (42), animasi (39), eksperimental (37), iklan (45) dan khidmat awam 40 penyertaan.

"Yang paling membanggakan, penyertaan daripada kaum Cina yang menghantar 88 penyertaan, sekaligus membuktikan RTM mempunyai penonton yang ramai dalam kalangan masyarkat Cina," katanya.

Penjurian AFP dilakukan menerusi dua peringkat iaitu penjurian awal dri 18 hingga 20 Dis manakala penjurian akhir untuk memilih pemenang akan diadakan pada 23 Dis hingga 7 Jan depan.

Sepuluh penyertaan peringkat akhir dalam enam kategori itu akan mula ditayangkan di RTM mulai 1 Jan depan, sementara malam anugerah AFP berlangsung pada 27 Jan yang akan disiarkan secara langsung di RTM. BERNAMA

No comments: