Tuesday, December 19, 2006

Khalwat: Perak mahu terus serbu hotel

19-12-2006 10:17:30 PM

IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (Jaip) akan meneruskan operasi pemeriksaan di hotel-hotel sekiranya mendapat aduan berlakunya maksiat.

Pengarahnya Datuk Jamry Sury berkata Jaip tidak bersetuju dengan cadangan Mufti Perlis Mohamed Asri Zainul Abidin yang mahu serbuan di hotel oleh pihak berkuasa agama dihentikan bagi tujuan membersihkan imej Islam.

Beliau berkata adalah tidak wajar pihak berkuasa agama dihalang daripada membuat pemeriksaan sekiranya mendapat aduan daripada orang awam kerana memang tanggungjawab jabatan itu mencegah perbuatan maksiat tanpa mengira tempat.

"Sekiranya pihak berkuasa berhenti memeriksa bilik hotel, kita khuatir pasangan bukan muhrim akan mengambil kesempatan melakukan maksiat di situ kerana berasa selamat tiada siapa yang mengganggu," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata lagipun tidak ada makna diwujudkan Bahagian Penguatkuasaan khusus untuk mencegah perbuatan maksiat jika fungsinya dihalang, begitu juga dengan Bahagian Pendakwaan yang bertanggungjawab mendakwa pesalah di Mahkamah Syariah.

Jamry berkata setakat ini pegawai penguatkuasa Jaip tidak menghadapi masalah membuat pemeriksaan di hotel-hotel kerana sekiranya pasangan yang diperiksa sah halal, maka mereka akan memohon maaf.

Bagi mengelakkan kekeliruan, katanya, pasangan suami isteri digalak mendapatkan kad perakuan nikah yang mengandungi butir-butir peribadi.

Beliau berkata pegawai penguatkuasa Jaip menahan antara tujuh hingga lapan pasangan beragama Islam kerana berkhalwat di bilik-bilik hotel di seluruh negeri ini setiap bulan yang meliputi golongan remaja dan dewasa termasuk mereka yang sudah berusia dan berumahtangga.

Jumlah tangkapan kes khalwat biasanya meningkat berkali ganda apabila berlangsungnya konsert-konsert hiburan yang dianjurkan sempena sambutan tertentu, katanya.

Jamry berkata sebagai contoh semasa sambutan Hari Kebangsaan ke-49 pada 31 Ogos lepas, Jaip menangkap 25 pasangan berkhalwat di Ipoh sahaja. BERNAMA

No comments: