Friday, January 04, 2008

Kenyataan GAMIS berkaitan kes Dr Chua Soi Lek

Muhammad Nor Abd. Samad
Thu | Jan 03, 08 | 2:35:36 pm MYT

Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) dengan tegasnya meminta supaya Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan Menteri Kesihatan, YB DatoƂ¢ Dr. Chua Soi Lek untuk meletakkan jawatannya berkuat kuasa serta merta.

Ini ekoran daripada pengakuannya kepada media semalam selepas pihak media melaporkan bahawa DVD Skandal Seks salah seorang pemimpin MCA telah diedar secara meluas di Johor. Walaupun beliau sudah memohon maaf secara terbuka, pihak GAMIS berpendirian bahawa sikap, wibawa, karismatik, amanah dan budaya kerja seorang menteri telah tercemar. Tidak ada sebab kerajaan Malaysia akan terus menyimpan pemimpin komponen Barisan Nasional ini untuk menerajui kementerian.

Sebagai sebuah kerajaan, ia mesti mengekalkan pemimpin-pemimpin yang bersih sebagai model yang terbaik kepada rakyat. Sebaliknya, pemimpin-pemimpin yang korup, terlibat dengan rasuah, penyelewengan kuasa, kebejatan moral mestilah disingkirkan. Kerajaan Malaysia juga seharusnya mencontohi kabinet Jepun. Para menteri Jepun yang gagal dalam mengendalikan tanggungjawab mereka dan terlibat dengan masalah moral yang tinggi meletakkan jawatan mereka serta merta. YAB Perdana Menteri mesti bertanggung jawab terhadap barisan menterinya dan ini jelas menguji sikap terbuka dan prinsip beliau sendiri.

GAMIS beranggapan tahun baru 2008 ini bakal menyaksikan krisis politik dan ekonomi yang agak membimbangkan. Ia bukan sahaja memfokuskan mengenai demokrasi dan Pilihan Raya Umum ke-12 semata-mata, tapi ia melibatkan kewibawaan legislatif, integriti kehakiman, ketelusan badan eksekutif, soal hak asasi, peningkatan kos sara hidup, pertumbuhan ekonomi yang dijangka perlahan, jurang ekonomi di antara golongan miskin dan kaya, pendidikan, kredibiliti pihak keselamatan terutamanya polis dan masalah jatidiri generasi muda.

Semua tanggapan ini harus dibersihkan dan dimurnikan dengan membentuk sebuah kerajaan Malaysia yang baru. GAMIS amat berharap kerajaan Malaysia yang akan dibentuk pasca PRU ke-12 ini memiliki daya kepimpinan yang dinamik, akauntabiliti, telus, amanah dan tidak terlibat dengan mana-mana skandal demi memastikan Malaysia dan kehidupan rakyatnya harmoni dan sejahtera.

Jurucakap Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)
Mior Isfandy Mior Azizan
Jalan Gombak, Selangor Darul Ehsan

No comments: