Monday, June 04, 2007

Muktamar tonjol kelemahan sendiri

Oleh Norfatimah Ahmad
MUKTAMAR Pas Pusat ke-53 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan selama empat hari berakhir kelmarin, tetapi sepanjang tempoh mesyuarat tahunan itu, tiada jauh bezanya dengan muktamar sebelum ini dan isunya tetap berkisar kepada isu pilihan raya umum, barisan kepemimpinan dan laungan untuk menyelamatkan demokrasi.

Memang bersemangat perbahasan perwakilan, terutama Dewan Pemuda Pas yang tidak henti-henti mempromosikan projek menghimpunkan 100,000 rakyat untuk turun ke jalan raya bagi membuktikan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN), mereka benar-benar serius mendesak supaya reformasi dilaksanakan sebelum pilihan raya umum ke-12 nanti.

Namun, apabila terlalu ramai yang asyik mengulangi ungkapan sama, bagaikan tidak ada istimewanya lagi perhimpunan raksasa itu.

Mungkin itulah Pas agaknya, parti yang tidak akan henti menyampaikan apa yang dihajatkan, walaupun perancangan yang dirangka itu boleh ‘memakan’ diri mereka. Bayangkan berapa ramai ahlinya mungkin akan terdedah kepada bahaya ditahan pihak berkuasa kerana mengganggu perjalanan lalu lintas, ketenteraman awam dan mungkin juga melakukan jenayah akibat tekanan ketika berlangsungnya perhimpunan itu.

Apa pun, rancangan itu sudah mendapat perakuan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengakui perhimpunan rakyat di Putrajaya itu akan dilaksanakan, bagaimanapun masa dan tarikhnya belum ditetapkan.

Jika diselak lipatan laporan muktamar ke-52 di Alor Star, Kedah, tahun lalu, Abdul Hadi merestui ahli dan penyokongnya mengadakan demonstrasi jalanan serta boleh bertindak balas membaling batu kepada pihak berkuasa yang menghalang mereka berdemonstrasi. Kenyataan itu jelas mengancam keselamatan dan ekonomi negara.

Selepas dua tahun, mana perginya laungan itu hinggakan mereka terpaksa memperbaharui ikrar dengan alasan untuk mewujudkan semangat juang di kalangan ahli bagi menghadapi pilihan raya.

Memang jelas impian parti Islam ini tinggi menggunung, namun untuk mencapai matlamat memerintah negara, belum pasti bila kejayaan itu bakal dikecapi Pas.

Akhirnya punca kelantangan Pas untuk cuba menanam semangat juang di kalangan ahlinya menjelang pilihan raya umum itu terbongkar apabila Pengarah Pilihan rayanya, Datuk Mustafa Ali, memaklumkan hanya lima negeri mengemukakan laporan berkaitan persiapan menjelang hari memilih calon wakil rakyat itu.

Itu pun kalau dinilai daripada peratusan tahap persiapan negeri berkenaan, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Pahang, ia baru mencecah antara 60 hingga 70 peratus.

“Dah tu macam mana nak menang kalau tak sedia lagi, kata pilihan raya beberapa bulan saja,” rungut rakan wartawan yang membuat liputan muktamar itu dan selepas itu satu lagi data mengejutkan dimaklumkan Mustafa. “Ada negeri yang persiapan pilihan raya mereka hanya 20 peratus.”

Itulah bahananya kalau asyik cakap, cakap dan cakap tanpa mengetahui apa sebenarnya yang berlaku, hingga akhirnya malu sendiri.

Selepas setahun menyandang jawatan Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub pernah mengkritik barisan kepemimpinan tertinggi parti kerana dikatakan belum ada anjakan besar dilakukan untuk meletakkan Pas sebagai peneraju politik negara.

Tetapi, berdasarkan rungutan perwakilan yang tidak mahukan perubahan dan masih mahu mengekalkan imej lama parti gerakan Islam itu, jelas di sini wawasan dan angan-angan kepemimpinannya terutama yang muda, masih samar.

Walaupun mereka dengan gah menyuarakan penerimaan pelbagai pihak kepada penjenamaan semula dan konsep merakyatkan Pas, tetapi semua itu tidak akan berjaya jika ahli akar umbi masih berpendirian lama.

Persoalannya, jika tidak mahukan perubahan, mampukah Pas mencapai matlamat memenangi pilihan raya dengan bergaya nanti? Jika soalan itu diajukan kepada mana-mana ahli atau kepemimpinan parti itu, tentu jawapan balasnya mudah sekali, “Pas boleh menang dengan syarat demokrasi pilihan raya dijalankan dengan telus dan adil.” Itulah juga laungan tidak henti sepanjang muktamar kali ini, mungkin juga sama pada masa lalu.

Perlu diingat kejayaan menawan Terengganu dan kemenangan cemerlang di beberapa kawasan tradisi Umno pada Pilihan Raya Umum 1999, dianggap sebagai ukuran kekuatan, lalu Pas bercita-cita besar menawan Kedah, Perlis dan Selangor pada pilihan raya 2004. Pada hal semua orang politik tahu prestasi agak baik parti pembangkang pada 1999 bukan disebabkan mereka kuat, tetapi kerana Umno lemah. Umno ketika itu berpecah akibat isu ‘mata lebam’ Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun apabila keadaan kembali pulih, Umno tetap diberi kepercayaan oleh orang Melayu sementara Pas ditolak seperti jelas terbukti menerusi keputusan Pilihan Raya Umum 2004 apabila Pas kehilangan Terengganu, hampir terlepas Kelantan dan hilang lebih separuh daripada kerusi Parlimen yang dimenanginya pada 1999.

Ketika itu, Abdul Hadi bukan saja terus menafikan kelemahan kepemimpinan partinya sebagai punca kekalahan, malah melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Umno dan BN – suatu tindakan lumrah kerana tanpa cakap-cakap sebegitu tentunya sukar untuk mereka menanam keyakinan dalam diri sendiri atau ahli, sekali gus masyarakat secara umum.

Sehinggalah pada muktamar 2005 apabila Abdul Hadi mengakui parti itu perlu melakukan perubahan drastik jika mahu pulih sebelum pilihan raya akan datang kerana kurangnya sokongan di kalangan pengundi bukan Melayu, pengundi atas pagar dan golongan muda anggap antara punca parti itu masih gagal menunjukkan taringnya. Persoalannya, selepas dua tahun, apakah parti itu sudah berjaya dipulihkan?

Dalam proses untuk memulihkan parti itu dan tiba-tiba ada persaingan dalam barisan kepemimpinannya pula. Bohong jika dikatakan perubahan saf kepemimpinan Pas pada muktamar kali ini tidak menyebabkan berlaku perpecahan dalam parti itu, malah bekas Ketua Dewan Muslimat Pas, Azizah Khatib Mat yang terkejut dan berkecil hati apabila ditewaskan Ketua Dewan Muslimat Pas Wilayah Persekutuan, Nuridah Mohd Salleh, dikatakan terus meninggalkan persidangan itu. Apakah itu satu tindakan sihat?

Begitu juga jawatan Timbalan Presiden disandang Nasharuddin Mat Isa yang turut dicabar Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib yang sedia melepaskan jawatannya itu. Memang Nasharuddin nampak tertekan sepanjang muktamar ini, mana tidaknya dengan desas-desus mungkin kemenangan memihak kepada Harun, tentunya anak muda ini agak ‘cuak’ kerana bukan calang-calang pemimpin yang tampil memberi saingan kepadanya.

Dua contoh ini sudah memadai untuk menunjukkan senario pada muktamar ini, kerana tentunya penyokong mereka mempunyai alasan untuk mengundi dan tidak mengundi antara keduanya. Tentunya yang memilih Harun itu adalah suara perwakilan yang mahu mengekalkan imej perjuangan Islam, iaitu pembawaan asal parti itu sejak 56 tahun lalu, manakala Nasharuddin bertuah kerana rata-rata dalam senarai perwakilan itu, ramai antaranya kalangan golongan muda yang masih boleh menerima pendekatan dilaksanakannya sejak sepenggal lalu.

No comments: