Saturday, June 09, 2007

Isu kedudukan Islam perkara utama manifesto Umno Kelantan

09-06-2007 09:30:59 PM

BACHOK: Umno Kelantan menyediakan tujuh perkara utama dalam manifestonya bagi pilihan raya umum akan datang untuk membawa perubahan di Kelantan di bawah tajuk "Manhaj Islam Hadhari".

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Annuar Musa berkata tujuh perkara itu yang disebutnya sebagai paksi adalah bagi menggantikan konsep Membangun Bersama Islam yang dibawa oleh PAS.

"Inilah pendekatan kami dan janji kami kepada rakyat Kelantan selepas mengambil kira semua pandangan masyarakat dalam menentukan masa depan Kelantan yang lebih baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan dan menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Wanita Umno Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata paksi pertama ialah menempatkan Islam paling hadapan dalam segala perkara.

"Kadi, mufti dan ulama diberi kedudukan yang mulia di sisi masyarakat bukannya sebagaimana sekarang kadi dan mufti sebagai pelengkap majlis sahaja," katanya.

Beliau berkata paksi kedua ialah menghapuskan kemunduran dengan mensasarkan "miskin sifar" bagi mengubah corak hidup masyarakat yang kini dianggap terpinggir berbanding negeri lain terutama dari segi pembangunan.

"Paksi ketiga, merakyatkan pembangunan, dengan menitikberatkan hasil yang dikeluarkan dalam negeri seperti hasil balak untuk dimanfaatkan rakyat sebagai pembayar cukai," katanya.

Annuar berkata perkara keempat manifesto itu ialah ialah menggilap modal insan agar rakyat tidak terus bergantung dengan pekerjaan di negeri lain di samping mengurangkan pengangguran dalam kalangan belia.

Beliau berkata paksi kelima ialah menghapus kemiskinan dalam kalangan kira-kira 21,000 keluarga miskin.

Yang keenam, katanya, mempelbagaikan sumber pendapatan negeri bagi mengurangkan penggantungan terhadap hasil hutan terutama balak dan sumbangan kerajaan persekutuan sebanyak 50 peratus dari hasil kerajaan negeri.

Paksi ketujuh, katanya, memperkayakan seni budaya dan warisan dengan memberi peluang kepada pengiat seni terus hidup di negeri ini. BERNAMA

No comments: