Monday, June 04, 2007

Ke mana arah tuju Pas?

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB (WARTAWAN UTUSAN)

SELAIN keputusan pemilihan barisan kepimpinan parti Pas yang dirahsiakan selama dua hari telah dibocorkan lebih awal, apakah yang lebih menarik tumpuan pada hari terakhir Muktamar Tahunan Pas kali ke-53, kelmarin?

Bagi sebilangan pemerhati, ia mungkin ucapan terakhir Datuk Dr. Hassan Mohd Ali semasa menggulung perbahasan, dengan sesekali bernada sayu, ketika beliau tidak lagi mempertahankan jawatan Naib Presiden.

Ucapan beliau menyentuh tentang perjalanan pemilihan dan kesannya yang disifatkan mengetepikan syura, konsep kepimpinan ulama yang semakin tidak difahami ahli dan juga soal melabelkan sesama sendiri dengan imej sekular, profesional dan ulama.

Hassan turut menyelitkan cerita bagaimana dia perlu menelan ubat pada sebelah pagi dan malam serta dinasihatkan oleh doktor supaya tidak menguji peluangnya kali ini. Beliau juga mungkin sedar sejauh mana susutnya popularitinya di kalangan ahli.

Mungkin itu sudah cukup menggambarkan sengitnya pemilihan kali ini selain cerita-cerita mengenai panggilan telefon dan penerimaan khidmat pesanan ringkas yang mengganggu pemikiran sehingga di dalam solatnya.

‘‘Kesan daripada pemilihan menyebabkan perwakilan Pas tidak lagi duduk bersama, bermesra dan bersalaman sebagaimana sepatutnya. Dua tahun lagi, lagi teruk. Unsur kebendaan lagi teruk,” ujarnya.

Pada pemilihan kali ini, soal pertembungan antara golongan ulama dengan profesional yang awalnya dikatakan hanya digembar-gemburkan oleh media banyak mencuri masa perbahasan.

Penggal lalu, pencalonan Nasharuddin Mat Isa bagi menentang Hassan Shukri daripada kelompok latar belakang agama dilihat sebagai hasrat golongan muda atau profesional untuk bersama dalam barisan kepimpinan ulama bagi membawa perubahan.

Maka cabaran bekas Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib bagi merebut jawatan Timbalan Presiden pula kali ini dikaitkan dengan usaha membetulkan keadaan, bagi mengimbangi suara agar dapat mencerminkan corak kepimpinan ulama sebenar.

Kalangan pemimpin parti mengunci mulut untuk tidak didengar atau dilihat menyokong sesiapa dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa menyampaikan ucapan dasar Jumaat lalu menekankan pentingnya gabungan peranan ulama, profesional, intelektual dan aktivis lainnya mengukuhkan parti.

Namun Abdul Hadi menegaskan kalangan berpendidikan Barat yang turut berada dalam saf kepimpinan ulama adalah mereka yang telah merdeka daripada penyakit sekularisme.

Nasharuddin berjaya mempertahankan jawatannya sementara bagi Naib Presiden, Datuk Husam Musa dan Muhammad Sabu dikekalkan dan bekas Ketua Penerangan Pas, Ahmad Awang dibawa masuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Hassan.

Ada yang berpendapat Harun tewas kerana terlalu awal untuk Nasharuddin dicabar sebelum kelebihan atau kelemahannya dapat disorot lebih panjang untuk dinilai manakala menyingkirkan Nasharuddin bagaikan menolak golongan muda yang cuba memasarkan Pas dengan pelbagai pendekatan popular dan lebih mesra rakyat.

Apa yang berlaku dikatakan ekoran pertembungan aliran pemikiran dan bagi mengimbangi keadaan yang pantas berubah ini, suara dan pengaruh ulama perlu ditingkatkan tetapi menyingkirkan Nasharuddin hanya satu langkah ke belakang bagi Pas dan menyuramkan lagi masa depan parti itu.

Justeru pengisian Ahmad Awang di peringkat Naib Presiden, dilihat memadai. Pada masa yang sama, bilangan yang berlatar belakang agama bagi kerusi ahli jawatankuasa kerja semakin bertambah.

Ia hampir menyamai corak pemilihan ketika arus perubahan mulai melanda Pas dalam pemilihan 2005 bagi meletakkan kembali parti itu dalam arus perdana politik negara dengan pendekatan lebih progresif, setelah sokongan rakyat merudum dalam pilihan raya umum 2004.

Kalangan pemimpin Pas menarik nafas lega dengan keputusan yang dianggap meneruskan tradisi gabungan ulama dan profesional. Ia sekali gus melenyapkan dakwaan mengenai cubaan menyisihkan golongan pembawa pembaharuan yang menyegarkan wajah parti.

Malah Abdul Hadi turut menegaskan, keputusan pemilihan saf kepimpinan baru parti ini akan memantapkan lagi parti ke arah pelaksanaan strategi menghadapi pilihan raya umum ke-12.

Namun ada yang berpendapat bahawa soal pengasingan ini akan menjadi isu berterusan dalam Pas kerana kesamaran pengertian konsep kepimpinan ulama dalam Pas yang dimulakan pada tahun 1982.

Kalangan penyokong Harun sukar membayangkan kebimbangan mereka mengenai masa depan kepimpinan ulama jika barisan pemimpin seperti Nasharuddin menggantikan Abdul Hadi.

Cubaan menyisihkan golongan profesional dalam saf kepimpinan ini ditimbulkan dengan lantang oleh perwakilan dan ada yang mencadangkan supaya slogan kepimpinan ulama ditukarkan kepada kepimpinan Islam agar kriteria pemimpin tidak disempitkan.

Bagi Ketua Dewan Pemuda, Salahuddin Ayub, pemimpin Pas perlu bersifat sebagai negarawan agar dapat meyakinkan rakyat tentang kemampuan memimpin negara, tidak berfikiran tertutup sehingga bersikap keras dalam semua perkara.

Perwakilan telah memberi keyakinan untuk meneruskan apa yang telah dimulakan dan dengan pilihan raya umum yang semakin hampir, ia menjadi tiket bagi Nasharuddin serta barisan kepimpinan untuk membukti Pas semakin terbuka dan menjadi hak semua.

No comments: