Monday, June 04, 2007

Ahli Pas berdepan pertembungan imej menjelang pilihan raya umum

Minda Pengarang


KENYATAAN Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa pengundi yang hendak selamat dunia akhirat haruslah memilih Pas bukan perkara baru sama ada daripada beliau sendiri atau pemimpin lain parti itu. Setiap kali menjelang pilihan raya umum, Pas mengeluarkan kenyataan seumpama itu. Nada atau skripnya mungkin berbeza, tetapi ia tetap menjurus kepada dakwaan kononnya pengundi Pas masuk syurga dan pengundi Umno masuk neraka. Itulah mesej Pas sejak dulu hingga sekarang. Apabila Pas berjaya menguasai semula Kelantan pada Pilihan Raya Umum 1990, Nik Aziz pernah mendakwa rakyat negeri itu yang memilih Pas mendapat pahala dan balasannya adalah di akhirat. Bagaimana pula jika ditakdirkan Kelantan tewas pada pilihan raya umum akan datang seperti berlaku pada Pas Terengganu pada pilihan raya umum lalu. Apakah rakyat negeri itu yang tidak memilih Pas akan menanggung dosa? Inilah masalahnya apabila parti politik menggunakan nama Islam. Dalam sistem demokrasi yang memerlukan sokongan majoriti, penggunaan agama boleh menimbulkan pelbagai kesan negatif.

Pas pernah mencetuskan ketegangan di kalangan masyarakat dengan isu kafir yang dikatakan berpunca daripada amanat Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Naib Yang Dipertua Pas ketika itu) di Banggol Peradong pada 7 April 1981. Dalam ucapan penutupnya pada Muktamar Pas di Alor Star tahun lalu, Abdul Hadi sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila merestui ahli dan penyokongnya mengadakan demonstrasi jalanan yang disifatkannya sebagai tidak bertentangan dengan undang-undang demokrasi. Malah, Abdul Hadi menegaskan ahli dan penyokong parti itu boleh bertindak balas membaling batu kepada pihak berkuasa yang menghalang mereka berdemonstrasi. Kenyataan itu jelas mengancam keselamatan dan ekonomi negara.

Pada Muktamar Tahunan Pas ke-53 selama tiga hari berakhir kelmarin, Abdul Hadi mengekalkan jawatan Presiden tanpa bertanding, manakala timbalannya, Nasharuddin Mat Isa menewaskan bekas Ketua Dewan Ulama parti itu, Datuk Harun Taib bagi mempertahan jawatannya. Dari satu segi, kegagalan Harun memberi gambaran Pas berusaha mengubah imej kepemimpinannya daripada terlalu dikuasai ulama kepada golongan profesional seperti Nasharuddin. Memang isu kafir mengkafir, syurga dan neraka datang daripada kumpulan ulama dalam parti pembangkang itu. Malah ramai percaya berlaku pertembungan golongan ulama dan profesional dalam menentukan hala tuju parti berkenaan.

Dalam keadaan getir meraih sokongan pengundi untuk mempertahankan Kelantan dan menggapai impian menawan Terengganu dan Kedah, Pas sebenarnya berdepan krisis imej menjelang pilihan raya umum akan datang. Golongan pemimpin berlatarbelakangkan profesional dalam parti mahu Pas melaksanakan pembaharuan bagi menarik sokongan pengundi terutama generasi muda dan bukan Islam. Namun, pada masa sama generasi tua parti itu yang mungkin dianggap hampir pupus oleh sesetengah pihak, dilihat mahu imej agama yang menjadi asas penubuhan parti itu dikekalkan. Pas kian hilang identiti Islam yang menjadi asas selama 50 tahun perjuangannya. Sepanjang Muktamar Tahunan Pas ke-53 itu, sudah kedengaran suara mengecam kepemimpinannya kerana hala tuju yang kurang jelas. Pembaharuan yang dibuat terhadap kepemimpinan ulama selama ini termasuk penampilan ulama berkopiah dan tidak pada masa tertentu, membuatkan ahli keliru. Sejak proses pembaharuan itu, jentera Pas tidak bermaya dan hilang semangat berjuang. Ketika golongan pembaharuan menjadi sasaran kecaman kerana mengubah imej Pas, golongan ulama dianggap hidup dalam kepompong sendiri sehingga tidak menguntungkan parti.

No comments: