Thursday, June 07, 2007

Krisis etnik jika ketegangan di selatan Thai berpanjangan

KOTA BHARU 5 Jun – Pergolakan di selatan Thailand dikhuatiri bertukar menjadi krisis etnik sekiranya kerajaan negara jiran itu tidak mengambil langkah drastik dan berani mengurangkan ketegangan yang semakin memuncak.

Ini kerana demonstrasi kumpulan pelajar dan penduduk tempatan yang menuntut pengunduran segera tentera dari selatan Thailand dan mahu penarikan balik perintah darurat merupakan isyarat kepada kemungkinan berlakunya kebangkitan gelombang kedua yang lebih berbahaya.

Seorang penganalisis keselamatan, Muhammad Fuad Mat Nor berkata, kehadiran tentera dibimbangi meningkatkan lagi insiden pengeboman dan serangan bersenjata di wilayah berkenaan.

“Kehadiran anggota tentera menarik perhatian pihak militan untuk melancarkan serangan, jadi apa yang dibimbangi masyarakat ialah kemungkinan tempat-tempat awam yang dikunjungi tentera turut menjadi sasaran.

“Perintah darurat turut menyekat kebebasan masyarakat tempatan untuk ke ladang dan bekerja sehingga hilang mata pencarian selain berada dalam keadaan tidak selamat,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Muhammad Fuad yang juga Ketua Pengarang majalah Tempur memberitahu, kecenderungan pihak militan melancarkan serangan ke atas sasaran tentera yang dikenal pasti menunjukkan operasi penentangan dilaksanakan secara terancang.

Dua hari lalu, sebanyak 12 tentera Thailand terbunuh dalam serangan hendap pihak militan di Yala yang disifatkan sebagai terburuk di selatan negara itu sejak 2004, manakala empat anggota polis yang bertugas mengawal kawasan sekolah daripada ancaman serangan militan juga ditembak mati oleh pihak tidak dikenali dalam dua kejadian berasingan di Pattani dan Narathiwat.

Bagaimanapun, sumber di bandar Yala semalam memberitahu, keadaan tidak banyak berubah dan aktiviti ekonomi masih berjalan seperti biasa cuma anggota tentera didapati berkawal di beberapa lokasi penting di wilayah berkenaan.

Sementara itu, Panglima 8 Briged, Kem Pengkalan Chepa, Brigedier Jeneral Datuk Shaharudin Abu Bakar memberitahu, keadaan kawalan di perbatasan Kelantan - Thailand berjalan seperti biasa dan setakat ini, tidak ada sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Anggota tentera berkawal seperti biasa sahaja kerana pergolakan di Thailand adalah isu dalaman negara itu dan tiada kaitan dengan soal keselamatan di sempadan negara setakat ini,” ujarnya.

No comments: