Monday, January 29, 2007

Biar pun dikecam, MB tetap selesaikan masalah rakyat

Rizal Tahir
Mon | Jan 29, 07 | 11:08:05 AM


KOTA BHARU, 29 Jan –
Biar pun terpaksa berdepan dengan tuduhan keras yang dilemparkan sekumpulan penduduk terhadap kerajaan negeri, namun Menteri Besar tetap mempamerkan sikap prihatin dengan menyelesaikan masalah mereka.

Sikap keprihatinan tetap dipamerkan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika penduduk membawa sepanduk bagi mengecam keras kerajaan termasuk menuduh sudah korup dan berlumuran dengan rasuah.

Tududan berupa dakwaan itu terkandung dalam memorandum setebal tujuh muka surat daripada tuan-tuan tanah bagi tapak pembinaan Pasr Borong Bersepadu Wakaf Che Yeh kepada Menteri Besar.

Belum puas hati dengan kecaman keras itu mereka membawa sepanduk yang bertulis macam-macam kata-kata kurang sopan antaranya ‘Rasuah dan Penyelewengan Dalam Kerajaan PAS Kelantan dan MPKB’ dan ‘MPKB Menzalimi dan Menganiayai Tuan-Tuan Tanah’.

Biar pun begitu kerajaan negeri tetap bersikap lembut dengan menyelesaikan segera masalah dihadapi mereka dengan mengarahkan baki pampasan bernilai RM2.3 juta bagi pengambilan tanah untuk tapak pasar borong itu dijelaskan segera.

Sedangkan situasi seperti itu jarang berlaku di negeri-negeri lain. Kebiasaannya keputusan kerajaan tidak memihak kepada penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Haji Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu diambil selepas satu perbincangan dibuat Menteri Besar dengan anggota Exco dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri pagi semalam.

Mesyuarat itu difahamkan diadakan pada hari yang sama berkebetulan ketika demontrasi sekumpulan penduduk dianjurkan.

"Pemilik tanah akan menerima baki 25 peratus yang sebelum ini ditahan kerana permohonan oleh pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) kepada mahkamah agar jumlah pampasan dinilai semula," katanya di sini.

Sebelum itu, kira-kira 30 penduduk mendakwa sebagai pemilik tanah yang sedang dibangunkan untuk membina kompleks pasar borong bersepadu Wakaf Che Yeh berkumpul di hadapan pintu pagar utama Kota Darulnaim.

Mereka juga menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar yang diterima Setiausaha Akhbarnya, Mohd Saiba Yaakob.

Takiyuddin berkata, selepas meneliti memorandum sebelumnya, kerajaan negeri bersetuju memenuhi tuntutan pemilik tanah terbabit atas dasar prihatin terhadap kesukaran mereka.

"Dari segi undang-undang dan peraturan memang kerajaan berhak untuk menunggu keputusan mahkamah berkaitan permohonan yang telah dikemukakan MPKB-BRI, tetapi bagi menzahirkan rasa prihatin terhadap kesukaran yang dihadapi, kerajaan bersetuju supaya permohonan kepada mahkamah ditarik balik," ujarnya.

Dengan keputusan itu, pemilik tanah akan mendapat baki 25 peratus pampasan masing-masing selepas selesai proses menarik balik permohonan mahkamah oleh MPKB-BRI.

Sebelum ini MPKB BRI membawa kes tersebut ke mahkamah memandangkan berlaku perbezaan nilaian harga tanah dibuat antara Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) yang mentaksirkan sebanyak RM7.039 juta.

Sedangkan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) pula menilai sebanyak RM9.3 juta. Penilaian itu dibuat terhadap tanah seluas 28 lot melibatkan 83 pemilik.

Persoalannya mengapa kedua-dua tafsiran itu berbeza jauh sedangkan agensi berkenaan berada di bawah kerajaan Persekutuan.

Ekoran wujud perbezaan itu MPKB membawa kes itu kepada Mahkamah Tinggi memandangkan penilaian dibuat JKPTG lebih tinggi daripada nilaian asal JPPH.

Malah penduduk sudah mendapat sebanyak RM7.039 juta dan baki yang belum dijelaskan menunggu penyelesaikan dibuat mahkamah terlebih dahulu.

Ekoran keputusan membayar kesemua baki dibuat, usaha pihak tertentu untuk menjadi jaguh dalam isu terbabit tidak kesampaian.

No comments: