Friday, January 05, 2007

Rampas Harakah bukan kerana foto Michelle Yeoh

04-01-2007 06:15:48 PM

PETALING JAYA: Kementerian Keselamatan Dalam Negeri menafikan operasi merampas tabloid Harakah berpunca sekeping foto aktres terkenal Datuk Michelle Yeoh bersama Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, lapor agensi berita AP hari ini.Menurut jurucakap kementerian itu Zailani Hashim, rampasan beberapa hari lalu di beberapa lokasi seperti dilaporkan kerana ia dijual secara terbuka, bukan di bilik-bilik gerakan PAS seperti disyaratkan.

"Tindakan ini tidak kena-mengena dengan imej yang disiarkan," beliau dipetik sebagai berkata, sambil menolak tanggapan editor akhbar milik PAS itu yang mendakwa rampasan itu disebabkan usaha menghalang orang ramai melihat foto tersebut.

Foto itu, yang juga tersebar luas di Internet khususnya di kalangan penyokong PAS, menunjukkan Abdullah memegang bahu aktres filem Crouching Tiger, Hidden Dragon sewaktu majlis makan malam bersempena Piala Monson di Terengganu bulan lepas.

Yeoh, anak kelahiran Ipoh, juga membintangi filem James Bond, Tomorrow Never Dies.

Tidak sampai 100 naskhah Harakah dirampas di Kuala Lumpur, tambah Zailani.

No comments: