Wednesday, January 17, 2007

Purnama kembali diterbitkan

PAS anggap surat semakan alamat SPR berniat serong

KOTA BHARU, 9 Jan – PAS beranggapan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghantar surat semakan alamat dalam daftar pemilih kepada pengundi yang hanya ditetapkan tempoh 15 hari sebagai tidak sah dan berniat serong.
Naib Presidennya, Dato’ Husam Musa berkata, tempoh diberi untuk membolehkan pemilih menjawab surat dihantar SPR terlalu singkat memandangkan sebahagian mereka kini masih berada di Makkah.
“Ini adalah satu cara yang tidak sah dilakukan SPR memandangkan tidak ada sebarang pemberitahuan secara rasmi dibuat pihak berkenaan melalui media massa bagi memaklumkan perkara itu.
“Lagi pun sesetengah penduduk masih menggunakan alamat surat menyurat di kedai-kedai kopi dan kemungkinan surat SPR itu tidak sampai ke tangan mereka.
“Jadi apabila mereka tidak menjawab sehingga 15 Januari ini kita bimbang nama mereka akan tercicir dari senarai pemilih mengikut alamat asal,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara Tabung Amanah Tok Kenali dengan Takaful Malaysia Bhd di sebuah hotel di sini, hari ini.
Baru-baru ini ramai pemilih di Kelantan menerima surat semakan alamat dalam daftar pemilih daripada SPR. Antaranya anggota Parlimen Rantau Panjang, Haji Abdul Fatah Haron.
Surat diterima Abdul Fatah bertarikh 29 Disember 2006 bertajuk ‘Semakan Alamat Dalam Daftar Pemilih’ dan diberi tempoh sehingga 15 Januari 2007 untuk membolehkan beliau menghantar semula kad jawapan kepada SPR.
Surat SPR itu ditandatangani Timbalan Setiausaha (Operasi), Abdul Hamid Ali. Bersama surat tersebut turut dikepilkan kad jawapan bagi mengesahkan pemilih berkenaan tinggal di alamat sebagaimana terdapat dalam daftar pemilih.
“Saya beranggapan SPR berniat tidak ikhlas dan tindakan itu tidak praktikal memandangkan tiada pengumuman rasmi SPR mengenai proses tersebut dilakukan sekarang. Ini tentunya menggelirukan orang ramai,” kata Husam.
Oleh itu menurutnya, PAS Pusat akan menghantar rombongan bertemu dengan Pengerusi SPR bagi menyatakan bantahan tindakan tersebut dalam masa terdekat ini.
Beliau juga tidak pasti surat semakan daftar pemilih SPR itu turut dihantar ke negeri-negeri lain atau membabitkan penyokong-penyokong Umno.
Abdul Fatah ketika dihubungi berkata, di Rantau Panjang lebih 200 penduduk menerima surat semakan alamat daftar pemilih terutamanya di Repek dan Batu Karang yang terletak di kawasan Dun Bukit Tuku.
Menurutnya yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS Kelantan tindakan SPR tersebut adalah jelas berniat serong dan tidak adil terhadap pemilih.
Bagaimanapun beliau bimbang kemungkinan ada pemilih tidak menerima surat yang dihantar SPR bagi mengesahkan alamatnya disebabkan masalah kelewatan pos.
“Ini memperlihatkan agenda SPR yang dilakukan secara senyap dan dibimbangi sekiranya pemilih yang dihantar surat semakan tidak menghantar kad jawapan dalam tempoh ditetapkan, nama mereka tercicir dalam senarai pemilih.
“Lagi pun sekarang masih ramai lagi pemilih yang berada di Makkah kerana menunaikan ibadat haji, dan ramai akan kembali ke tanah air selepas tarikh 15 Januari,” katanya.
Beliau juga telah menghantar kad jawapan bagi mengesahkan alamatnya dalam daftar pemilih kepada SPR pada 5 Januari lalu.
Abdul Fatah juga memberitahu surat semakan alamat yang dihantar SPR kepada pemilih masih lagi diterima orang ramai di Rantau Panjang hari ini, sedangkan tarikh akhir ditetapkan 15 Januari ini.
“Ini jelas menggambarkan sesuatu yang tidak adil berlaku dan tidak dapat ditolak kemungkinan ada agenda tersembunyi dilakukan SPR,” ujarnya.

No comments: