Monday, March 31, 2008

Perak tidak lantik dua Timbalan Menteri Besar

IPOH: Kerajaan pakatan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas yang sebelum ini mahu melantik dua Timbalan Menteri Besar, walaupun tiada peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, berkompromi dengan melantik seorang Exco kanan, apabila senarai Exco kerajaan negeri dikeluarkan Pejabat Menteri Besar, semalam.

Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham yang diuar-uarkan akan dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar 1 untuk mewakili kaum Cina, dilantik Exco Kanan Kewangan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga, Air dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Hal Ehwal Bukan Islam adalah satu-satunya portfolio baru yang diwujudkan kerajaan pakatan berkenaan.

Jawatan Timbalan Menteri Besar 2 yang dikatakan akan dilantik bagi mewakili kaum India pula dibatalkan dan Perak hanya mempunyai seorang Exco keturunan India.

Menteri Besar, Mohammad Nizar Jamaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Panjang (Pas) memegang portfolio Pembangunan Ekonomi, Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Keselamatan dan Pembangunan Luar Bandar.

Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar, Adun Sungkai daripada DAP, Sivanesan a/l Achalingam dilantik sebagai Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Sumber Manusia.

Seorang lagi Adun Pas, Mohd Zainuddin Mohd Yusof (Lubuk Merbau) pula dilantik sebagai Exco Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan.

Setiausaha DAP Perak yang juga Adun Pantai Remis merangkap Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming dilantik Exco Pendidikan, Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Awam.

Adun Pasir Bedamar (DAP), Seah Leong Peng memegang Exco Kebudayaan, Belia dan Sukan, manakala Adun Keranji (DAP) Chen Fook Chye dilantik sebagai Exco Perpaduan, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Pengguna.

Adun Pasir Pinji (DAP), Thomas Su Keong Siong dilantik sebagai Exco Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Komunikasi, manakala Adun Behrang (PKR), Jamaluddin Mohd Radzi memegang portfolio Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pertanian dan Perdagangan.

Adun Kuala Sepetang (PKR), Tai Sing Ng dilantik sebagai Exco Pembangunan Industri dan Penerangan manakala Adun Changkat Jering (PKR), Kapten (B) Mohd Osman Mohd Jailu adalah Exco Pelancongan, Pembangunan Islam dan Pertubuhan Bukan Kerajaan

No comments: