Sunday, March 09, 2008

Pas kekal kuasai Kelantan

KOTA BHARU 8 Mac – Pas terus menguasai Kelantan buat penggal keempat berturut-turut setelah ia bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi 39 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri, dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.

Pas mencatatkan kebangkitan mengejutkan dengan pencapaian jauh lebih baik berbanding pilihan raya umum lalu apabila memperoleh 38 daripada 40 kerusi manakala PKR satu daripada lima kerusi ditandingi.

Bagi kerusi Parlimen pula, Pas menguasai sembilan kerusi, PKR (3) manakala BN hanya 2 kerusi melalui Tengku Razaleigh Hamzah yang berjaya mengekalkan kerusi Gua Musang dan juga Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed (Jeli).

BN hanya memenangi enam kerusi DUN iaitu Pengkalan Kubor melalui calonnya, Datuk Norzahidi Omar, Kuala Balah (Abd. Aziz Derashid), Nenggiri (Mat Yusof Abdul Ghani) dan Paloh (Datuk Norzula Mat Diah), Kok Lanas (Datuk Md Alwi Che Ahmad) dan Bukit Bunga (Adhan Kechik).

Sebanyak 608,862 daripada 751,682 pengundi berdaftar keluar mengundi iaitu sebanyak 81 peratus berbanding pilihan raya umum lalu yang mencatatkan 80.7 peratus daripada keseluruhan 662,722 pemilih.

Dalam Pilihan Raya Umum 2004, Pas menguasai 24 kerusi DUN dan hanya lima daripada 14 kerusi Parlimen. BN memenangi 21 kerusi DUN dan sembilan kerusi Parlimen tetapi mengatasi Pas secara keseluruhannya dari segi undi popular.

Beberapa orang pemimpin UMNO dan BN Kelantan termasuk Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin tewas bagi kerusi DUN Perupok dan Parlimen Bachok.

Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa pula tewas bagi kerusi Parlimen Ketereh dan Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Sazmi Miah (Machang) turut mengalami nasib yang sama.

Selain Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengekalkan kerusi Chempaka, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa memenangi kerusi DUN Salor dan seorang lagi anggota Exco Mohd Amar Nik Abdullah memenangi kerusi Panchor.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, calon Bebas yang bertanding atas tiket Pas pula memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas dengan menewaskan calon BN, Ahmad Rosdi Mahamad.

No comments: