Wednesday, September 26, 2007

Projek rumah kos rendah terbiar

Oleh Akmal Ilham

Pembinaan kediaman di Jalan Joh didakwa gagal capai matlamat bantu golongan miskin

MACHANG: Penduduk sekitar Labok di sini, kecewa kerana pembinaan rumah kos rendah di Jalan Joh oleh Kerajaan Pas Kelantan, gagal mencapai matlamat untuk memberi kemudahan rumah kepada golongan berpendapatan rendah.

Pada 1992, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar Negeri ketika itu, Datuk Halim Mohamed, dilaporkan mengumumkan 64 unit rumah akan dibina di situ.

Ia adalah sebahagian projek Kerajaan Pas Kelantan menerusi Skim Pertapakan dan Kemudahan Asas membabitkan peruntukan RM7.9 juta yang dilaksanakan menerusi Jabatan Perumahan Negara (JPN).

Turut terbabit dalam projek itu ialah pembinaan 121 unit rumah murah di Tanjung Kuala, Tumpat; 200 unit di Bukit Pak Mud, Jeli dan 450 unit di Kampung Apam, Pasir Mas.

Ketika itu, semua rumah terbabit dilaporkan akan dijual pada harga RM10,000 seunit dan pembeli boleh mengubah suai untuk membesarkan sendiri rumah itu mengikut keluasan kawasan yang ada.

Kelayakan membeli rumah pula adalah bagi rakyat tempatan berpendapatan tidak lebih RM500 sebulan dengan kerajaan negeri dikatakan sedia membiayai pinjaman tanpa dikenakan faedah.

Namun, tinjauan Berita Harian ke tapak projek di Jalan Joh itu mendapati hanya sekitar 10 rumah didiami penghuni, manakala selebihnya dirobohkan kerana ketiadaan pembeli.

Seorang penduduk, Muhammad Yaakob, 55, berkata beliau adalah di antara pemohon yang diterima memiliki rumah itu tetapi tidak meneruskan hajat membeli rumah disebabkan faktor tertentu.

"Kebanyakan pemohon terdiri penoreh getah atau pekerja estet sekitar Labok terpaksa membatalkan hasrat memiliki rumah itu kerana harganya lebih mahal daripada yang dijanjikan.

"Sudahlah harganya meningkat kepada RM16,000 seunit, kualiti kayu pula teruk sama seperti kayu lama. Kami menolaknya kerana tidak mampu membayar deposit, selain kerana kualiti rumah tidak sepadan dengan harganya ketika itu.

"Akhirnya, hanya beberapa unit saja terjual, manakala rumah selebihnya dirombak oleh wakil rakyat untuk membina pondok di kawasan lain," katanya.

Bekas Ketua Unit Peti Undi S46 Kampung Joh, Mohd Yiden Mat, 64, pula berkata, seingat beliau projek itu diusahakan bekas Adun Pulai Chondong, Kapten (B) Mohd Noor Ahmad, khusus untuk penempatan mangsa banjir.

"Ramai di antara pemohon adalah penduduk Kampung Joh, Kubang Belut dan Pulau Raya yang rumah mereka sering ditenggelami air. Adun Pulai Chondong ketika itu menyatakan harga seunit rumah ialah RM10,000 atau RM40 sebulan.

"Bagaimanapun, selepas beliau meninggal dunia, harga itu meningkat menjadi RM16,000 jika dibayar tunai. Bayaran secara ansuran melalui pinjaman bank pula mencecah RM30,000 atau hampir RM200 sebulan.

"Disebabkan penduduk tidak mampu membayarnya, rumah itu terbiar dan dirobohkan beberapa tahun lalu oleh Adun baru. Kayunya diguna membina pondok yang kami pun tidak pasti untuk tujuan apa," katanya.

Kamarudin Abdul Kadir, 57, pula berkata kegagalan projek itu menunjukkan Kerajaan Pas Kelantan tidak mempunyai komitmen membantu golongan miskin memiliki rumah sendiri.

"Masalah utama projek ini ialah rumah disediakan tidak memenuhi keperluan hidup berkeluarga kerana ia hanya mempunyai satu bilik saja manakala dapurnya terletak di bawah serta tiada bilik air.

"Saya kesal kerana ada desas-desus tapak projek itu akan diserahkan kepada pemaju perumahan untuk tujuan komersial. Jika benar, ia secara tidak langsung merampas hak golongan miskin," katanya.

Seorang pemilik rumah di situ, Mohd Zaid Yaakob, 38, berkata beliau dan keluarganya menetap di situ sejak tiga tahun lalu selepas membayar tunai RM16,000.

“Dulu memang banyak rumah kecil begini di sini kerana kerajaan negeri waktu itu bercadang memberinya kepada golongan miskin. Bagaimanapun, ramai tidak mampu membayarnya menyebabkan rumah itu terbiar.

"Harga tiap seunit rumah memang sama iaitu RM16,000. Saiz 10 rumah yang ada di kawasan ini sekarang berbeza kerana saiz tapaknya luas, jadi sesetengah pemilik memperbesarkan sendiri rumah mereka.

"Waktu mula tinggal di sini, semua rumah ini masih ada, tetapi selepas itu ia dirombak untuk dibuat projek perumahan lain, tapi hingga kini belum berjalan walaupun beberapa usahawan Cina pernah melawat," katanya.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Kerajaan Kelantan (Perumahan), Rosnazli Mohd Amin, berkata setahu beliau projek itu sudah lama berjalan dan jika ada masalah sudah tentu ia dihebohkan sebelum ini.

"Bagaimanapun, saya akan membuat siasatan segera ke kawasan perumahan di Jalan Joh itu bagi mengenal pasti jika wujud sebarang masalah dalam pelaksanaannya," katanya.

No comments: