Sunday, September 30, 2007

Pelupusan sampah lebih sempurna di Kelantan, atasi pencemaran toksik

29-09-2007 03:42:54 PM

PASIR PUTEH: Kelantan akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mewujudkan pusat pelupusan sampah yang lebih sempurna bagi mengatasi masalah pencemaran bahan sisa toksik.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata Kelantan akan mengguna pakai garis panduan yang dikeluarkan oleh kementerian berkenaan dengan mengubahsuai sedikit pembinaan pusat itu mengikut keperluan suasana tempat, kos dan kawasan.

"Kerajaan negeri sedang menyediakan satu pelan untuk buat pusat pelupusan sampah secara kelompok bukan satu majlis daerah, satu pusat pelupusan," katanya kepada pemberita pada majlis Pemilihan Bakal Calon Bagi Hadapi Pilihan raya Ke-12 di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas bantahan penduduk di Taman Seri Gedombak di sini yang tidak tahan dengan bau busuk Pusat Pelupusan Sampah di Bukit Gedombak kira-kira 500 meter dari rumah kediaman mereka pada Ogos lalu.

Takiyuddin berkata pelan mengenainya sedang disiapkan dan Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB), Majlis Daerah ketereh (MDK) serta Majlis Daerah Bachok (MDB) dicadangkan akan diwujudkan sebuah pusat pelupusan sampah.

Mengenai bantahan penduduk Taman Seri Gedombak, Takiyuddin berkata kerajaan sedar mengenainya dan sedang meneliti tindakan lanjut bagi mengatasinya.

Beliau berkata untuk memindahkan pusat itu ke kawasan lain yang lebih sesuai, kerajaan negeri tidak dapat melakukannya dalam tempoh terdekat, kerana ia memerlukan perbelanjaan yang besar.

Sambil mengakui pusat itu mengancam bau busuk kepada penduduk yang tinggal berdekatan, Takiyuddin berkata ia juga mengandungi bahan pencemaran sisa toksik yang turut mengancam hidupan lain kerana pusat itu telah lama beroperasi. BERNAMA

No comments: