Saturday, September 22, 2007

MPKB BRI atasi kesesakan lalu lintas di Cabang Tiga

Salmah Mat Husain
Thu | Sep 20, 07 | 12:31:53 pm MYT

PENGKALAN CHEPA, 20 Sept (Hrkh) – Masalah kesesakan lalu lintas di Cabang Tiga dekat sini sejak sekian lama kini berjaya diatasi apabila tapak pasar tani, pasar malam dan bazar Ramadan dipindahkan ke Taman Bendahara.

Pengarah Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Azman Mohd Daham berkata, tapak lama di Cabang Tiga sudah beroperasi hampir 30 tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, disebabkan masalah kesesakan lalu lintas, MPKB BRI terpaksa memindahkan ke tapak yang lebih sesuai kerana kedudukannya juga tidak jauh dari tapak asal.

Ekoran pemindahan tapak perniagaan itu ke Taman Bendahara ada peniaga melahirkan rasa tidak puas hati.

Azman berkata, pemindahan ke tapak baru perlu dilakukan setelah MPKB BRI menerima banyak aduan daripada orang ramai dan polis mengenai kesesakan lalu lintas yang berlaku.

Tapak pasar tani, pasar malam dan bazaar Ramadan di Taman Bendahara beroperasi sejak sebulan lalu.

“Kebetulan Cabang Tiga Pengkalan Chepa merupakan laluan utama dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra menuju bandar Kota Bharu, jadi sekiranya berlaku kesesakan lalu lintas ia memberi kesan kepada pelbagai pihak.

“Kalau dulu mungkin ia tidak menjadi masalah, tetapi sekarang kenderaan semakin bertambah, orang juga semakin ramai. Jadi atas sebab itulah kita mengambil keputusan untuk memindahkan ke Taman Bendahara,” katanya.

Kata beliau juga lokasi baru lebih sesuai kerana mempunyai tempat letak kenderaan yang lebih banyak, di samping terdapat premis perniagaan lain dan kampus sementara Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

No comments: