Wednesday, April 06, 2011

PAS suatu ancaman di Beting Maro?



Oleh: Dr Awang Azman Awang Pawi
Pentas ceramah dan khalayak sudah hampir penuh. Khalayak pendengar ceramah politik sudah berkumpul. Mereka terdiri daripada beberapa pihak, iaitu segelincir daripada penyokong tegar Pakatan Rakyat, ada sebahagiannya pula mengakui belum pernah dan ingin melihat sendiri sosok pemimpin alternatif secara langsung, kecuali di media alternatif termasuk Youtube dan TV alternatif dalam portal berita di alam maya. Beberapa orang ditemui tersebut merupakan anak Sarawak dari kawasan Beting Maro.
Kelihatan Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim persis gaya Soekarno menggunakan sepenuhnya platform ceramah untuk menangkis skandal terbaru dan mengaitkan dengan politik arus perdana dan politik di Sarawak. Bagi khalayak yang pertama kali menyaksikan Anwar sudah pasti terpukau dengan ucapan pedas dan tajam memberikan kepuasan kepada khalayak pendengar terdiri daripada generasi muda dan tua.
Kemudian dengan kesan dan momentum ceramah politik yang agak panas tersebut, giliran ketua Umum PAS yang dinanti-nantikan pun tiba. Bagi sebahagian besar khalayak, bukannya selalu berpeluang untuk menatap sendiri dan mendengar ceramah Tok Guru Nik Aziz. Mereka ingin mendengar secara langsung amanat pemimpin PAS nombor satu tersebut.
Namun ternyata kebanyakan yang hadir di situ amat kecewa. Ruang awam yang sangat panas yang dihujani oleh ucapan pedas Anwar Ibrahim menjadi sejuk, kaku dan senyap. Nik Aziz yang diharapkan menyampaikan ceramah pada ketika itu gagal menyempurnakan harapan tersebut. Sebaliknya Tok Guru tersebut cuma bertakbir, mengangkat doa sahaja dan selesai!
Tentulah bagi peminat politik semasa yang terlatih gaya PKR atau mana-mana politik lain selain PAS akan menganggap Nik Aziz gagal beraksi dalam ceramah politik itu, lantas mengecewakan mereka. Segelincir sahaja yang dapat membaca makna simbolik bertakbir dan berdoa yang jauh lebih tinggi daripada berhujah pejal dan bermain dengan kata-kata. Beberapa anak Sarawak dari Beting Maro yang ditemui itu menggeleng-geleng kepalanya apabila ditanya mengenai respon mereka terhadap tindakan Nik Aziz itu.
Adakah ini lambang kegagalan sebahagian besar rakyat di Sarawak memahami dasar politik PAS? Adakah PAS terlalu asing di Sarawak walaupun sudah bertapak 15 tahun? Sekurang-kurangnya, demikian persoalan, pengalaman dan kesan yang saya peroleh pada majlis tersebut.
Namun mengapakah hampir sebahagian besar pengundi khususnya di kawasan Beting Maro hampir memilih parti PAS pada pilihan raya 2006? Adakah isu personaliti memainkan peranan utama atau terdapat janji politik belum sempat ditunaikan? Sejauh manakah isu kemudahan asas- bekalan air bersih, jalan raya berturap, dan elektrik terus menyebabkan undi semacam berubah arah sebagai protes?
Rata-rata penyokong PAS bangga walaupun tewas kerana dapat mengurangkan majoriti kerusi milik BN tersebut dengan memperoleh 1,901 undi manakala manakala BN memperoleh 2,796 undi pada pilihan raya 2006. Dengan kata lain, sekitar 40 peratus undi beralih ke arah PAS. Majoriti 895 undi ini memberikan momentum kepada PAS untuk meneruskan agenda mereka.
Namun adakah ruang untuk parti PAS bertapak di Sarawak? Hakikatnya, pada pilihan raya lepas(2006) PAS cuma meletakkan satu kerusi sahaja, iaitu di Beting Maro manakala pada pilihan raya 2001, Pas pernah meletakkan calon di kawasan Saribas, Samariang dan Sadong Jaya yang kesemua tewas. Berdasarkan prestasi PAS dalam tempoh tersebut, tidaklah terlalu besar peluang parti tersebut untuk memenangi sebarang kerusi di Sarawak.
Dengan jumlah bumiputera Islam di Sarawak cuma sekitar 25 peratus sahaja ideologi PAS sukar dikembangkan di Sarawak. Kepelbagaian etnik menyebabkan rakyat di Sarawak menganggotai pelbagai parti yang terdiri daripada beberapa etnik. PBB misalnya mewakili masyarakat Iban, Melayu, Bidayuh, dan orang ulu. SUPP pula terdiri daripada etnik Cina dan Bidayuh. Apakah PAS terbuka untuk menerima penyertaan kepelbagaian etnik di Sarawak atau hanya layak menjadi ahli kelab penyokong PAS sahaja?
Isu ini adalah rumit untuk PAS bergerak ke akar umbi di Sarawak. Masyarakat bumiputera Islam kebanyakan lebih selesa dengan parti PBB yang dianggap berjaya membawa pembangunan di Sarawak. Lazimnya, golongan yang menyertai pembangkang lebih selesa dengan Parti Keadilan Rakyat.Tidak hairanlah PKR atau Keadilan sebelum itu lebih banyak meletakkan calon berbanding PAS.
Soalnya, mengapakah bumiputera Islam pro pembangkang lebih selesa menganggotai PKR berbanding PAS di Sarawak? Adakah mereka melihat hambatan pada masa akan datang dalam konteks realiti kepelbagaian etnik di Sarawak?
PAS bukan sahaja berhadapan dengan realiti jumlah bumiputera islam yang kecil di Sarawak. Umpama anak tiri ternyata DAP, PKR dan SNAP lebih dominan sedangkan PAS juga mempunyai peluang yang sama untuk memenangi pilihan raya sekurang-kurangnya satu kerusi kali ini kiranya mempelbagaikan strategi kempen mereka. Dalam perebutan kerusi untuk bertanding seolah- olah parti SNAP , DAP dan PKR terlalu dominan manakala suara PAS terus tenggelam dalam arus politik di Sarawak.
Barangkali disebabkan keterpinggiran PAS dalam kalangan parti pembangkang di Sarawak, parti tersebut akan cuba memulihkan imej dan dijangka cuba bertanding di lima kerusi kawasan bumiputera islam Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Tanjung Datu dan Beting Maro. Namun mahukah bumiputera islam di Sarawak mengalih arah kepada PAS sedangkan sebahagian besar daripada mereka kini nampaknya lebih selesa di bawah teraju utama PBB yang mempunyai peranan utama dalam parti dan kerajaan negeri Sarawak.
Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah pasti tahu akan hal ini, sebab itu beliau menggesa agar menolak PAS yang menurutnya akan hanya membawa perpecahan kepada umat Islam di Sarawak. Adakah PAS pembawa perpecahan umat di Sarawak? Apakah pernyataan ini menggambarkan realiti dan suasana masyarakat bumiputera islam di Sarawak? Pastinya, apa-apa keputusan pilihan raya nanti akan mengubah landskap politik setempat.
*Penulis ialah pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Dalam dunia kesarjanaan beliau pernah mendapat biayai Southeast Asian Studies Regional Exchange Program (SEASREP), Toyota Foundation selain daripada Mardjani Foundation Russia, ahli European Association for South East Asian Studies (EuroSEAS), dan anggota Scientific and Technical Committee & Editorial Review Board on Human and Social Sciences, di Paris.

No comments: