Wednesday, April 06, 2011

Ayunan undi 20 peratus boleh ancam BN


Dr Jeniri Amir

Antara soalan yang kerap dikemukakan kepada saya sejak kebelakangan ini ialah mampukah Pakatan Rakyat menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya 16 April nanti? Kita tidak mempunyai Lampu Aladin atau teropong ajaib untuk benar-benar dapat meneka jumlah kerusi yang mampu dikuasai Pakatan Rakyat nanti. Jika blog dan komen tertentu di alam maya diteliti, sentimennya seolah-olah menggambarkan bahawa sudah tidak ada lagi masa depan untuk BN.
Hegemoni BN kekal
Hakikatnya, bagaimana? Ramai pemerhati meramalkan bahawa pembangkang tidak mungkin dapat menguasai dua per tiga daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak. Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng sendiri mengakui tidak mungkin bagi Pakatan Rakyat untuk meruntuhkan hegemoni atau kuasa BN. Hakikatnya, bagi memungkinkan Pakatan Rakyat menumbangkan BN, ia memerlukan sekurang-kurangnya 20 peratus ayunan undi, membabitkan 36 kerusi lagi.
Meskipun landsakap politik sudah jauh berubah terutama selepas pilihan raya negeri 2006 dan PRU-13, saya tidak menjangka bahawa akan berlaku tsunami politik dalam pilihan raya negeri ke-10 nanti. Belum terdapat resipi yang membolehkan kejutan berlaku. Sejak 1970, prestasi BN adalah sentiasa agak stabil dan membanggakan kecuali pada 1987.
Saiz kelas menengah masih kecil di negeri 2.5 juta jiwa ini, dua per tiga kerusi atau 56 kerusi terletak di luar bandar, media alternatif belum begitu meluas dan berpengaruh sehingga mampu membentuk perlakuan pengundian seluruh pengundi, dan politik pembangunan masih lagi relevan di kebanyakan kerusi. Banyak lagi faktor yang belum memihak kepada pembangkang.
Tun Abdul Rahman Yakub
Dalam pilihan raya pertama 1970 BN menguasai 23 daripada 48 kerusi dipertandingkan, 1974 sebanyak 30 kerusi, 1979 (45), 1983 (34) dan 1987 sebanyak 28 kerusi. Pilihan raya 1987 menyaksikan persaingan sengit antara BN dengan Kumpulan Maju pimpinan Tun Abdul Rahman Yakub. Kumpulan itu berjaya menguasai 20 kerusi, manakala BN 28 kerusi. Pilihan raya mengejut itu diadakan selepas tercetusnya peristiwa Ming Court di Kuala Lumpur.
Jumlah kerusi mulai bertambah kepada 56 dalam pilihan raya 1991 dan dalam pilihan raya itu BN menguasai 49 kerusi. Kemudian jumlah kerusi ditambah lagi menjadi 62 pada pilihan 1996. Dalam pilihan raya itu BN menguasai 57 kerusi manakala pembangkang hanya lima kerusi.
Pada pilihan raya 2001 pula, BN mengukuhkan kedudukannya apabila memenangi 60 kerusi, peningkatan tiga kerusi. Akhirnya, dalam pilihan raya kesembilan lalu, jumlah kerusi ditingkatkan menjadi 71. Daripada jumlah itu, sebanyak sembilan kerusi dimenangi pembangkang; iaitu DAP enam kerusi, PKR , SNAP dan Bebas masing-masingnya satu kerusi. Namun, kerusi Engkilili dimenangi Jhonichal Rayong Ngipa di bawah tiket SNAP akhirnya terlepas ke tangan SUPP apabila Jhonichal diterima menyertai parti tertua Sarawak itu.
Jika kita kaji pula peratusan undi dimenangi BN sejak 1970 hingga 2006, tentu kita dapat mengetahui trend pengundian dalam kalangan pengundi Sarawak. Berlaku peratusan pengundian turun naik yang menyokong BN dalam tempoh sekitar 40 tahun.
Ayunan undi beri impak
Bagaimanakah agaknya pola dan tingkah laku pengundian kali ini? Adakah sekitar 980,000, termasuk 310,000 pengundi muda akan memihak kepada BN? Atau akan berlaku ayunan undi yang besar terhadap pembangkang? Kita perlu sedar, hanya terdapat 12 kerusi marginal. Jika berlaku 10 peratus sahaja ayunan undi, ini bermakna 12 kerusi akan jatuh ke tangan pembangkang, membabitkan11 kerusi majoriti Cina, tujuh kerusi Dayak, dan tiga kerusi bumiputera Islam
Sejumlah 39 peratus undi sahaja dikuasai BN atau ketika itu Perikatan dalam pilihan raya 1970, sebelum mengukuh menjadi 55 peratus pada 1974. Sesudah itu, peningkatan berlaku selama dua penggal, iaitu 61.2 peratus pada pilihan raya 1979 dan 68.5 peratus (1983).
Tahun 1983 merupakan pilihan raya pertama selepas kuasa diserahkan kepada Ketua Menteri baharu, iaitu Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada 1981 oleh Tun Abdul Rahman Yakub. Tun Abdul Rahman mengambil alih kuasa daripada Datuk Tawi Sli, dan memerintah Sarawak dari 1970 hingga 25 Mac 1981.Kebiasaannya, peratusan sokongan atau populariti BN meningkat selepas kuasa berpindah tangan. Adakah hal yang serupa akan berlaku selepas Taib berundur nanti?
Persaingan sengit 1987
Persaingan sengit dalam tahun 1987 menyebabkan peratusan undi dikuasai BN merosot kepada 55.2 peratus, sebelum mengukuh semula kepada 62.8 peratus pada pilihan raya keenam pada 1991. Terdapat peningkatan yang ketara selama dua penggal, iaitu 66.6 peratus pada 1996, dan mengukuh lagi kepada 71.2 peratus pada 2001. Namun angka itu meroasot kepada 62.9 peratus dalam pilihan raya lalu.
Adakah peratusan sokongan terhadap BN akan meningkat atau merosot pada 16 April nanti?
Antara kesinambungan dan perubahan, yang mana satukah pengundi akan lakukan? Memang akan berlaku perubahan, tetapi perubahan itu tidak akan sampai menggugat penguasaan majoriti dua per tiga kerusi DUN dikuasai BN kini. Hakikatunya, kesinambungan penguasaan BN akan terus berlaku.
*Penulis ialah penganalisis politik di Universiti Malaysia Sarawak

1 comment:

Koteng Keramat said...

Soalnya bukan "kemampuan" atau "keupayaan" sah atau manasabah bagi PBB/BN yang mengekalkan kuasa di Sarawak atau Malaysia.

Yang semua professor barua tak kenal atau tak mampu menilai adalah kerajaan Malaysia atau Sarawak bersifat despotik, authoritarian dan dictatorial !

Mana-mana kononya para "intelektual" atau professor yg tak kenal ini dan mampu mentaksir ini adalah "barua".

Perlukah intelek nak jadi "barua"?

Sila tonton video ini dan nilaikan bagaimana para intelektual konon mempertahankan perbuatan keji!

http://youtu.be/QKRQOZEamrE