Sunday, February 10, 2008

Kelantan rintis program kebajikan sejak 17 tahun lalu

Muhammad Yusri Amin
Sun | Feb 10, 08 | 5:35:53 pm MYT

NEGARA kebajikan yang bakal diketengahkan PAS dan Barisan Alternatif (BA) bukan sekadar angan-angan. Buktinya telah ada di depan mata. Usaha-usaha ke arah itu telah bermula di Kelantan sejak lebih 17 tahun lalu.

Dan tidak menjadi masalah besar sekiranya model serupa diketengahkan di peringkat negara, sekiranya rakyat memberi mandat kepada BA. Tidak salah lagi apabila dikatakan PAS telah lama menuju ke arah negara kebajikan.

Usaha awal dilakukan di Kelantan termasuk memperkenalkan Al Rahn (pajak gadai Islam) pada 1992. Ia banyak membantu rakyat miskin yang kesempitan kewangan. Ar Rahn dapat mengelakkan barang kemas yang digadai lesap begitu sahaja.

Tabung Amanah Kebajikan Darulnaim (Tabung Serambi Mekah) juga banyak membantu rakyat yang ditimpa sesuatu musibah. Mangsa-mangsa kebakaran, banjir dan ribut mendapat bantuan segera melalui tabung tersebut.

Kerajaan negeri menaik taraf guru-guru sekolah bantuan Yayasan Islam Kelantan (Yik) di mana bilangan guru tetap semakin ramai dan peruntukan tahunan ditambah.

Di Kelantan juga elaun tetap Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar, anggota-anggota Exco dan Speaker dipotong sebanyak 20 peratus kepada Badan Perhubungan PAS Kelantan dan lima peratus kepada PAS kawasan.

Elaun Menteri Besar dan timbalannya juga dipotong sebanyak 10 peratus kepada Perbendaharaan Negeri.

Menteri Besar juga tidak menggunakan peruntukan sebanyak RM30,000 setahun bagi menyediakan juadah Hari Raya. Selain itu Menteri Besar tidak menggunakan peruntukan berbuka puasa sebanyak RM15,000 setahun.

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak tinggal di rumah kerajaan di JKR 10. Agak menarik juga apabila lesen beca roda tiga dihapuskan. Cuti bersalin 60 hari dilaksanakan sejak 1997. Cuti dua hari seminggu pula dilaksanakan mulai 1 Januari 1996.

Hampir 100 perubahan yang dirintis kerajaan PAS di Kelantan semuanya mengambil kira aspek kebajikan rakyat. Ia telah dipraktik dengan jayanya sejak lebih 10 tahun lalu.

Dan kini elemen kebajikan disemarak lagi dengan adanya skim Takaful Warga Emas (Kifaalah) yang dilaksanakan mulai awal 2007. Kerajaan negeri mencarum sebanyak RM25 setahun kepada setiap 100,000 warga emas.

“Dan apabila mereka meninggal dunia manfaat yang diberi sebanyak RM2,500 iaitu RM500 dibahagi pada hari kematian. Sedangkan ketika mengisi borang pencarum hanya menandatangani sahaja,” kata Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan (BBC), Haji Zakaria Yaakub.

Beliau berkata, apa yang dilakukan kerajaan negeri sekarang sudah cukup jelas untuk memberi makna terhadap program kebajikan yang dimanfaatkan rakyat. Manakala skim Takaful Armalah pula dilaksanakan sejak 2006.

Zakaria yang juga Adun Kemuning berkata, peruntukan khas kepada armalah juga disediakan sebanyak RM80,000 bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) setahun.

Pada Bajet Kelantan 2008 sebanyak RM2 juta disediakan kepada armalah. Jumlah itu tidak termasuk sumbangan untuk kebajikan dan pembangunan wanita sebanyak RM2 juta.

Selain itu sumbangan kebajikan orang bukan Islam dan Orang Asli sebanyak RM1 juta. Bantuan untuk anak yatim juga sebanyak RM2 juta.

Bantuan bekalan air dan elektrik kepada penduduk miskin sebanyak RM1 juta. Baja subsidi kepada petani yang disisih daripada mendapat baja cap dacing disediakan sebanyak RM3 juta.

Bagi rakyat yang ditimpa sakit kronik disediakan tabung khas berjumlah RM300,000. Bantuan kepada golongan orang kurang upaya bagi meningkatkan taraf hidup sebanyak RM800,000.

Tidak kurang dengan juga dengan program rumah dhuafat. Program itu dimulakan pada 2006 di mana sebanyak 45 rumah bernilai RM28,000 setiap satu dibina di seluruh Kelantan. Dan tahun lepas 90 rumah dibina untuk penduduk miskin yang melibatkan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM2.6 juta.

Penduduk miskin yang mahu membaiki rumah diberi bantuan sehingga RM5,000. Program kebajikan juga terserlah dengan adanya program Pembangunan Ladang Rakyat yang memberi dividen secara bulanan kepada penduduk miskin sebanyak RM200.

Peserta yang dipilih berpendapatan kurang RM530 sebulan. Lebih 2,000 penduduk miskin mendapat manfaat bantuan tersebut sejak diperkenalkan pada 2006.

Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa berkata, memerintah negara merupakan amanah yang wajib ditunaikan setiap pemimpin untuk faedah rakyat.

Pada manifesto bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12, PAS dan BA memberi jaminan akan menurunkan harga petrol sekurang-kurangnya 30 sen daripada harga semasa.

Selain itu, menghapus Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menawarkan sistem pembelajaran percuma di sekolah rendah dan menengah bagi semua aliran.

Perkhidmatan kesihatan percuma di hospital kerajaan, rakyat miskin di kalangan warga emas akan diberi elaun sara hidup bagi menampung kehidupan mereka.

Kesusahan rakyat sama ada Melayu, Cina, India, Siam dan Orang Asli tetap diambil kira.

Tema Manifesto PAS ‘Pengurusan Kekayaan Negara’ ternyata membuatkan Umno seperti cacing kepanasan. Ramai pemimpin Umno termasuk Timbalan Presiden, Dato’ Seri Najib Razak memperlekehkan usaha tersebut. Sedangkan ia sudah lebih 17 tahun tersaji di Kelantan.

Pelaksanaan Negara Kebajikan selaras dengan ajaran Islam yang mementingkan umatnya melakukan kebajikan, seperti firman Allah s.w.t dalam surah Al-Maidah: 48: “Berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh)”.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, PAS membuat tawaran melaksanakan lebih banyak program kebajikan sekiranya berjaya menerajui pentadbiran peringkat persekutuan.

Seorang penduduk, Fauzi Muhammad, 50 dari Pasir Tumboh berkata, Kelantan sudah melaksanakan agenda kebajikan sejak lebih 17 tahun lalu.

“Kalau kita memerintah Malaysia, lebih banyak kita boleh buat untuk rakyat, bahkan sekarang pun banyak dilaksana kerajaan Kelantan ditiru negeri lain,” katanya.

Mohd Noor Mat Yajid, 40, dari Kota Bharu pula berkata, selepas pelbagai program kebajikan diperkenal kerajaan negeri kadar kemiskinan di Kelantan telah berkurangan.

“Hasil negeri ini dibahagi sama rata di kalangan rakyatnya tanpa mengira orang PAS atau Umno,” katanya yang juga seorang pendidik.

Noraini Husin, 47, berpendapat kebajikan rakyat hanya benar-benar menjadi kenyataan apabila pemimpinnya orang beragama seperti berlaku di Kelantan sekarang.

Tengoklah apa yang berlaku terhadap wang bagi program pembangunan rakyat termiskin (PPRT) sehingga RM36 juta lesap begitu sahaja angkara pemimpin yang tidak amanah.

No comments: