Wednesday, August 01, 2007

Kenali pemerintahan PAS, masyarakat Cina Ipoh lawat Kelantan

Johari Jaafar
Wed | Aug 01, 07 | 01:02:01 PM

IPOH, 1 Ogos (Hrkh) - Lajnah Perpaduan Nasional Negeri Perak akan terus menghantar masyarakat Cina di negeri ini untuk melawat Kelantan bagi melihat sendiri tentang keadilan Kerajaan PAS terhadap masyarakat bukan Islam khususnya orang-orang Cina di negeri `Cik Siti Wan Kembang' tersebut.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Lajnah Perpaduan Negeri, Khalilul Rahman Abdul Samad, ketika ditemubual oleh wakil Harakah di Pejabat PAS Negeri.

Menurut beliau program seumpama itu memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat Cina kerana mereka dapat melihat sendiri apa yang telah dilakukan oleh Kerajaan PAS di Kelantan terhadap masyarakat Cina di Kelantan.

"Pada 20 hingga 22 Ogos ini kita akan menghantar 44 orang Cina dari Ipoh untuk melawat Kelantan, perkara ini telah diberitahu kepada pihak Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan," ujar beliau.

Rombongan masyarakat Cina Ipoh di ketuai oleh Ten Chong Yong dijangka akan mengikuti beberapa program yang disusun sewaktu berada di Kelantan, antaranya suai kenal dengan Menteri Besar Kelantan, Dato' Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat di kediaman rasmi Menteri Besar.

Di samping itu, rombongan tersebut dijangka akan mengikuti majlis taklimat pembangunan Negeri Kelantan di Pejabat Menteri Besar serta taklimat dan jamuan tengah hari bersama Dato' Anuar Tan, Exco Kerajaan Negeri dan Pegawai Khas Menteri Besar, Hu Pang Chaw.

Tidak ketinggalan rombongan Cina dari Ipoh tersebut akan mengunjungi rumah Menteri Besar Kelantan di Pulau Melaka dan tokong buddha di Tumpat .

"Kita berharap rombongan masyarakat Cina Ipoh akan mendapat gambaran sebenar apa yang berlaku di Kelantan akan menceritakannya kepada masyarakat Cina di tempat lain tentang kebaikan pemerintahan Kerajaan PAS di Kelantan," ujar Khalilul.

Beliau turut mengalu-alukan mana-mana rombongan dari masyarakat India yang ingin melawat Kelantan dan pihak Lajnah Perpaduan Nasional Negeri Perak akan mengaturkan program tersebut," katanya lagi.

No comments: