Wednesday, August 15, 2007

Dilema baru Dr Mahathir

15-08-2007 05:01:28 PM
Oleh SA'ODAH ELIAS

PUTRAJAYA: "Saya tidak pernah menyebelahi pembangkang. Saya tetap setia pada parti saya, negara saya, agama saya dan bangsa saya," demikian tegas Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini bagi menangkis persepsi pihak-pihak tertentu bahawa beliau kini menyokong pembangkang.

Bagaimanapun, kata bekas perdana menteri itu, pendiriannya yang tetap menyokong Umno itu tidak semestinya bermakna beliau juga menyokong sepenuhnya kepemimpinan parti.

Sebagai ahli Umno, Dr Mahathir berkata, beliau kini menghadapi dilema kerana jika terus menunjukkan sokongan padu kepada parti itu dalam pilihan raya umum nanti, ia mungkin diterjemahkan umum sebagai menyokong kepimpinan sekarang.

"Ia seperti telan mati emak, luah mati bapak. Kalau kita beri sokongan dan parti menang 90% atau lebih, pemimpin akan dakwa itu kemenangan mereka.

"Ini adalah satu masalah, tetapi jangan tanya saya bagaimana untuk menyelesaikannya," katanya ketika menjawab satu soalan dalam dialog bersama anggota Majlis Rakyat Prihatin di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Dr Mahathir juga menyifatkan Umno kini tidak dapat membuat keputusan tegas dalam menangani isu-isu yang membabitkan kepentingan Melayu kerana tidak memberi keutamaan kepada membela nasib masyarakat.

Beliau mengajak orang Melayu agar bertindak “membetulkan keadaan” dan tidak membiarkan undi dan maruah mereka di beli.

"Saya terpaksa mengakui bahawa selama 22 tahun saya sebagai perdana menteri saya telah cuba mengubah pemikiran orang Melayu saya gagal, dan sehingga kini pun saya masih gagal. Saya sangat hampa dengan bangsa saya sendiri," katanya menjawab satu lagi soalan.

Katanya, tidak seperti bangsa lain, terutama orang Cina yang sangat pandai menggunakan undi mereka ketika pilihan raya secara strategik untuk menyampaikan sesuatu mesej, orang Melayu akan membuta tuli menyokong parti mereka walaupun calon yang diketengahkan adalah “tunggul”, tanpa mengira kepentingan bangsa, agama dan negara.

Ketika sebelum merdeka dahulu, katanya, orang Melayu setia pada Raja-Raja, tapi kini mereka telah mengubah kesetiaan itu kepada pemimpin parti-parti mereka.

Sifat inilah, menurut Dr Mahathir, yang mesti diubah supaya kedaulatan negara dapat terus dipertahankan.

"Yang penting, orang Melayu sepatutnya boleh menyampaikan mesej kepada pemimpin bahawa mereka mesti meletakkan kepentingan rakyat melebihi segalanya dan jika mereka membuat salah, mereka boleh ditarik turun," tambahnya.

Ditanya mengapa beliau tidak menggunakan zaman bersaranya untuk berehat daripada terus memikirkan tentang isu-isu sosial, politik dan ekonomi negara, Dr Mahathir menjawab: "Saya merasakan bertanggungjawab untuk berbuat demikian kerana apa yang berlaku sekarang sedikit sebanyak timbul daripada keputusan saya sendiri."

Ditanya mengenai kenyataan Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengenai kemungkinan perlunya semua parti komponen mencapai satu konsensus baru mengenai kontrak sosial antara kaum beliau berkata: "Kontrak sosial yang telah kita persetujui dahulu mesti dipertahankan.

"Kalau ia ditukar-tukar, ia tidak akan mempunyai sebarang makna lagi."

No comments: