Tuesday, July 24, 2007

Pengaruh sekular Turki kian lemah

Oleh AZRUL AZLAN ISKANDAR MIRZA

KEMENANGAN Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) Turki dalam pilihan raya Parlimen 22 Julai lalu membuktikan bahawa ideologi sekular semakin pupus di negara itu.

Keputusan awal kelmarin menyaksikan Parti AKP menang 47 peratus undi, iaitu peningkatan 12 peratus undi berbanding pilihan raya tahun 2002.

Kemenangan ini adalah sejarah buat Turki apabila AKP merupakan parti pemerintah pertama sejak 52 tahun yang berjaya menambahkan peratusan undi dalam pilihan raya Parlimen. AKP memenangi 341 daripada 550 kerusi Parlimen bagi membolehkan AKP membentuk kerajaan secara bersendirian.

Di dalam kempennya, Erdogan menjelaskan beliau akan meninggalkan AKP dan politik sekiranya AKP gagal mendapat mandat memerintah kerajaan secara bersendirian. Erdogan, 53, bercakap demikian ketika menyampaikan kempennya di barat daya negara itu beberapa hari sebelum proses pembuangan undi.

Penganalisis menyatakan bahawa kemenagan AKP dalam pilihan raya ini membuktikan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan dan karisma Erdogan, di samping kepercayaan rakyat terhadap perancangan dan pemulihan ekonomi Turki.

Ekonomi Turki sedang giat pulih dan mula mendapat kepercayaan pelabur sejak AKP memerintah tahun 2002. Peningkatan pelaburan kepada AS$400 juta sekarang daripada cuma AS$180 juta apabila mengambil alih kerajaan pada 2002 membuktikan komitmen Erdogan membangunkan semula ekonomi Turki.

Sekalipun Erdogan dikatakan pro-Islam, kemenangan beliau adalah berasaskan kepada kesungguhan pemulihan ekonomi dan pembangunan negara itu, selain faktor kecenderungan kepada kebebasan dan demokrasi tulen. Sebelum AKP memerintah, ekonomi Turki jatuh teruk dan berlakunya korupsi, rasuah dan penyelewengan.

Selain itu, usaha Turki di bawah kepimpinan Erdogan untuk menyertai Kesatuan Eropah turut menjadi faktor yang membawa kepada kepercayaan pelabur dan masyarakat tempatan. Sekalipun tipis, namun usaha Erdogan sangat dihargai rakyat Turki apabila bibit-bibit demokrasi mula kelihatan di negara itu. Hak-hak asasi seperti kebebasan beragama yang ditentang sekular telah mula kembali menapak dan ia kejayaan besar khususnya bagi mereka yang beragama Islam.

Kemenangan Erdogan kali kedua ini merupakan pukulan kuat buat pejuang sekular di Turki. Ia dapat dirasakan setelah pihak tentera dan prosekular mendesak mengadakan pilihan raya awal setelah berjaya menghalang pemilihan Parlimen bagi melantik Presiden Turki yang baru. Tekanan terhadap AKP mula dirasai apabila pencalonan Menteri Luar, Abdullah Gul oleh AKP sebagai Presiden Turki pada April lalu dibantah keras oleh tentera dan sekularis dan ditambah dengan tunjuk perasaan dan demonstrasi jalanan.

Strategi prosekular itu merupakan kesilapan besar buat mereka sendiri. Sedar dengan sokongan rakyat terhadap AKP, Erdogan tidak teragak-agak menyambut baik supaya diadakan pilihan raya Parlimen lebih awal.

Setelah menjangkakan tewas, pihak keselamatan diarahkan tentera untuk menangkap calon-calon bebas atas kepentingan pihak sekular Turki, bagi menghalang mana-mana kerjasama calon bebas dengan pihak AKP. Terdesak dengan sokongan rakyat terhadap AKP, prosekular dan tentera sanggup melakukan apa sahaja bagi mempertahankan kedudukan mereka.

Namun, Parti Rakyat Republikan (CHP) dan Parti Gerakan Nasionalis (MHP), parti-parti yang mendukung sekular, hanya mampu memperoleh 20 peratus dan 15 peratus sahaja daripada undian pilihan raya kelmarin.

Sebelum itu, isu pemakaian tudung di universiti awam telah menghangatkan politik Turki yang prosekular untuk menjatuhkan AKP. Menjawab isu tersebut, Erdogan melalui akhbar Anatolia di Turki menyatakan “Kami berharap untuk membenarkan semua wanita ke universiti (awam) dengan penuh kebebasan, sama ada memakai tudung atau tidak.”

Menurut beliau, hak wanita dan pelajar memakai tudung tidak harus menjadi isu yang dipolitikkan, tetapi ia adalah hak kebebasan individu.

Tuduhan Erdogan membawa ideologi Islam itu dikuatkan dengan pemakaian tudung oleh isteri dan anaknya. Ia sangat ditakuti oleh pihak tentera dan sekular kerana menganggap tudung adalah ancaman kepada sistem sekular di negara yang majoritinya penduduk Islam itu.

* AZRUL AZLAN ISKANDAR MIRZA Fakulti Ekonomi & Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia.

No comments: