Wednesday, August 06, 2008

Saiful bersyukur Anwar didakwa

06-08-2008 07:51:41 PM

KUALA LUMPUR: Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, (gambar) yang mendakwa diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menyatakan rasa syukurnya berikutan keputusan polis untuk mendakwa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu esok.

Peguamnya, Zamri Idrus berkata, Saiful bersyukur kerana Anwar akhirnya dihadapkan ke mahkamah untuk diadili.

"Anak guam saya memberi jaminan bahawa beliau akan memberi kerjasama yang sepenuhnya bagi memastikan proses keadilan dapat berjalan lancar," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Saiful juga meminta semua rakyat Malaysia membiarkan proses perundangan berjalan dengan lancar agar kebenaran dapat dibuktikan.

Sementara itu, ketika ditanya, sama ada Saiful akan hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok, Zamri berkata, anak guamnya tidak akan hadir atas sebab keselamatan.

"Saiful tidak perlu datang esok ke mahkamah dan beliau hanya akan datang sebagai saksi kelak.

"Sebagaimana yang dijanjikan Saiful akan buat akuan bersumpah di hadapan al-Quran dalam masa terdekat, tarikhnya sedang diteliti," katanya.

Pada 28 Jun lalu, Mohd Saiful membuat laporan polis mendakwa Anwar yang merupakan bekas majikannya meliwatnya beberapa kali, termasuk kali terakhir di sebuah kondominium di Damansara dua hari sebelum laporan polis itu dibuat.

No comments: