Friday, May 09, 2008

60 kali mohon bina kompleks Kemas, guru

Oleh Ramli Hussin

PASIR PUTEH: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) masih gagal mendapatkan tapak dan kerjasama bagi membina sebuah kompleks untuk kegiatan guru dan kanak-kanak di negeri ini yang bernilai RM24 juta, walaupun lebih 60 permohonan dikemukakan kepada Kerajaan Pas Kelantan.

Pengarah Kemas negeri, Dr Sanusi Mohd Yazid, berkata disebabkan masalah itu, pihaknya juga tidak dapat membina kompleks yang sama di setiap jajahan di negeri ini bagi menampung keperluan 682 kelas Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TBK).

"Kita sudah membuat permohonan lebih 60 kali sejak 2006 kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan tapak bagi membina kompleks terbabit, tetapi semua jawapannya mendukacitakan iaitu - permohonan tuan tidak diluluskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan komputer kepada TBK Kemas di Sekolah Kebangsaan Seri Aman, di sini, semalam yang disempurnakan Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, Datuk Kamaruddin Mohd Noor.

Dr Sanusi berkata, pembinaan kompleks itu penting bagi membolehkan pelbagai aktiviti berfaedah kepada kanak-kanak dijalankan selain melatih guru meningkatkan keupayaan pengajaran.

Beliau berkata, cadangan pembinaan kompleks di kawasan seluas lebih satu hektar itu antara lain turut mengandungi dewan serba guna, bilik latihan amali, asrama, padang permainan dan tempat riadah.

No comments: