Tuesday, December 19, 2006

Isu serbuan khalwat: Pemuda PAS bantah syor Mufti Perlis

Saidah Hairan
Tue | Dec 19, 06 | 05:00:38 AM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Hrkh)- Cadangan Mufti baru Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin kepada pihak berkuasa agama supaya menghentikan serbuan khalwat di hotel seolah-olah menyokong tindakan yang pernah dilakukan golongan liberal bahawa perbuatan berdua-duaan itu tidak menyalahi agama kerana ia merupakan soal peribadi.

Dewan Pemuda PAS Pusat kesal dan menyelar cadangan tersebut kerana ia datang daripada seorang mufti yang sepatutnya menegur atau mengambil tindakan tegas terhadap umat Islam yang tidak segan silu melakukan maksiat.

Mengulas cadangan itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Idris Ahmad mempersoalkan mengapa Dr Mohd Asri tidak berani menegur program 'Sure Heboh' atau 'Jom Heboh' dan program maksiat lain yang sering berlaku di hadapannya.

"Apakah program yang bersandarkan maksiat itu bertepatan dengan sunnah menurut pandangan beliau," katanya yang dihubungi Harakahdaily.

Sebelum ini, Dr Mohd Asri berkata, kesilapan dalam kes-kes tangkapan khalwat termasuk menangkap pasangan suami isteri yang tidur di hotel dan juga terhadap pasangan asing bukan Islam merupakan perkara yang boleh memalukan agama Islam.

Dr Mohd Asri menambah, jika isu seperti khalwat menjadi keutamaan pihak berkuasa dengan melakukan serbuan maka perkara mungkar yang lain juga wajar diambil tindakan yang sama.

"Kalau begitu kita kena intip rumah-rumah yang dikatakan berlaku kemungkaran termasuk suami isteri yang mungkin melakukan perkara mungkar seperti tidak bersembahyang dan menahan pasangan lelaki dan perempuan yang menaiki kereta yang sama," ujarnya.

Mengulas kenyataan Dr Mohd Asri, Idris berkata, berkenaan hadis Nabi dan firman Allah SWT melarang mengintip ialah perkara yang berlaku secara tertutup yang tidak diketahui dengan sengaja hendak mengintip.

Tambah beliau, sedangkan pihak berkuasa yang hendak mencegah khalawat pergi membuat serbuan setelah mereka mendapat laporan daripada pihak tertentu dan mereka disyaki berada dalam hotel tersebut.

Katanya, tindakan itu tidak termasuk dalam kategori mengintai kerana Islam melarang umatnya mengintai perbuatan seseorang yang berada dalam rumahnya untuk mengetahui sama ada orang tersebut minum arak atau tidak.

Sehubungan itu beliau melahirkan kebimbangan kerana dalam keadaan umat Islam dilanda gejala keruntuhan moral tiba-tiba seorang mufti mengeluarkan kenyataan yang mungkin akan diguna pakai oleh golongan yang gemar melakukan maksiat terutama khalwat.

"Kita mencadangkan mufti yang baru dilantik ini memberikan tumpuan berkenaan keruntuhan akidah umat Islam seperti serangan terhadap hukum Islam, serangan ulama dan ajaran sunnah," tegasnya. - lanh

1 comment:

wan chik said...

assalamu'alaikum

inilah kalau mufti tidak dapat membezakan antara hukum khalwat dan tajasus...dimana kedua hukum ini berbeza dengan syarat dan rukun yang berbeza...
mungkin ada alasan lain yang dari mufti ini kenapa dia menggunakan dalil ini-menyamakan dan menyatukan antara hukum khalwat dan tajasus-

problem ini tejadi karena kita salah melatakkan dia sebagai mufti...karena selalu menyamakan juga ahli hadits dengan faqih (ahli fiqah) ..seorang pakar hadits tidak sutomatically adalah faqih..dan tidak sebaliknya...

maka inilah yangmerusak islam karena meletakkan pakar hadis sebagai faqih..sehingga berfatwa sebagai mufti dengan dan dari sesuatu diluar ilmunya...

wassalam